backup og meta

Mata Kering? Kenali Simptom Dan Puncanya

Mata Kering? Kenali Simptom Dan Puncanya

Mata kering merupakan satu situasi yang amat tidak menyelesakan. Apabila berlakunya mata kering, ia bermakna anda mempunyai mata yang kering, mata anda mungkin terasa seperti menyengat atau terbakar. Ikuti artikel ini untuk lebih mengenali simptom dan punca yang menyebabkan mata kering.

Apakah mata kering?

Mata kering adalah satu keadaan biasa yang berlaku apabila air mata tidak dapat memberikan pelincir yang mencukupi untuk mata. Pelbagai faktor yang boleh menjadi punca air mata yang tidak mencukupi.

Keadaan ini mungkin berlaku dalam situasi tertentu seperti di dalam kapal terbang, dalam bilik berhawa dingin, semasa menunggang basikal atau selepas melihat skrin komputer untuk tempoh yang lama.

Walaupun ketika anda gembira, mata anda akan dipenuhi air mata. Air mata ini akan memberikan kelembapan dan pelincir yang akan membantu untuk anda melihat dan mengekalkan keselesaan pada lensa mata.

Kandungan air mata

Apa yang terkandung di dalam air mata? Ia adalah campuran:

  • Air, untuk kelembapan
  • Minyak, sebagai pelincir
  • Mukus, memudahkan penyebaran
  • Antibodi dan protein khas, untuk melindungi dari jangkitan

Bahan-bahan ini datang dari kelenjar khas yang wujud di sekitar mata. Mata kering bermaksud sistem air mata anda mengalami masalah.

Simptom mata kering

Apabila air mata tidak dapat memberikan kelembapan yang secukupnya, anda mungkin akan merasai:

  • Mata berpasir
  • Terasa seperti ada sesuatu pada mata
  • Gatal-gatal
  • Kemerahan
  • Penglihatan kabur
  • Sensitif pada cahaya
  • Rasa menyengat, terbakar pada mata
  • Muncul mukus berlendir pada mata atau sekitarnya
  • Sukar memakai kanta lengkap
  • Berdepan kesukaran memandu pada waktu malam
  • Mata terasa letih

Ada masa, mata kering menghasilkan air mata yang terlalu banyak. Keadaan yang mengelirukan ini dirujuk sebagai reaksi tangisan. Ia berlaku kerana kekurangan kelembapan menyebabkan kerengsaan pada mata dan isyarat kecemasan dihantar melalui sistem saraf untuk mendapatkan lebih pelincir. Tubuh anda akan ‘menghantar’ air mata yang banyak untuk menyingkirkan kekeringan; perkara yang sama berlaku jika mata dimasuki pasir.

Tetapi tangisan ini hampir keseluruhan kandungannya adalah air, ia tidak bertindak sama seperti air mata yang normal. Ia hanya berfungsi untuk menghilang kekeringan dan menyingkirkan kotoran, tetapi tidak berfungsi untuk melapisi dan melindungi permukaan mata.

Apakah punca mata kering?

Ada masanya, berlaku kekurangan keseimbangan dalam sistem aliran air mata. Atau keadaan sekeliling, seperti penghawa dingin, pemanas suhu, atau benda lain di sekitar anda yang turut boleh mengeringkan air mata.

Penghasilan air mata yang tidak mencukupi ini dipanggil sebagai keratoconjunctivitis sicca. Punca umum yang menyebabkan berlakunya keadaan ini, termasuk:

  • Proses penuaan semula jadi, terutamanya menopaus
  • Kesan sampingan ubatan seperti antihistamin
  • Keadaan kesihatan yang menjejaskan keupayaan mata untuk menghasilkan air mata, seperti sindrom Sjogren, arthritis rheumatiod, kencing manis, kekurangan vitamin A dan penyakit vaskular kolagen
  • Keadaan mata yang tidak membenarkan kelopak mata menutup dengan cara yang sepatutnya
  • Pembedahan mata secara laser, tetapi simptom mata kering disebabkan prosedur ini hanya bersifat sementara
  • Kerosakan kelenjar air mata disebabkan keradangan atau radiasi

Walaupun bagi sesetengah individu, mata kering berpunca kerana pengeluaran air mata yang tidak mencukupi, namun, terdapat juga sesetengah individu, mata kering menyebabkan mereka berdepan dengan peningkatan dan ketidakseimbangan air mata.

Punca umum yang menyebabkan berlakunya keadaan ini, termasuk:

  • Angin, asap, udara kering
  • Mata kurang berkedip, cenderung berlaku apabila anda fokus kepada sesuatu, seperti membaca, memandu atau menghadap komputer
  • Masalah pada kelopak mata, kelopak mata ke luar (out-turning of the lids, ectropion) atau kelopak mata ke dalam (in-turning of the lids, entropion)

Ketidakseimbangan dalam komposisi air mata juga, seperti kelenjar pada kelopak mata tersumbat, juga boleh menyebabkan berlakunya mata kering.

Siapa berisiko?

Antara faktor yang boleh menyebabkan anda berisiko untuk berdepan masalah mata kering adalah:

  • Berusia lebih 50 tahun. Penghasilan air mata cenderung berkurangan apabila anda semakin meningkat usia. Mata kering kerap berlaku kepada individu berusia lebih 50 tahun
  • Individu wanita. Kekurangan air mata kerap berlaku kepada wanita, terutama jika mengalami perubahan hormon kerana mengandung, pengambilan pil kawalan kelahiran atau menopaus
  • Pengambilan diet pemakanan rendah vitamin A, yang terdapat dalam hati, lobak dan brokoli atau rendah kandungan asid lemak omega-3, yang terdapat dalam ikan, walnut dan sayuran
  • Pemakaian kanta lekap untuk tempoh yang lama

Rawatan

Bagi kebanyakan individu yang mengalami mata kering yang tidak kronik atau ringan, pengguna ubat titisan mata sudah mencukupi. Sekiranya masalah yang anda hadapi serius dan berterusan, anda mempunyai pilihan rawatan lain. Ia bergantung kepada penyebab yang membuatkan mata anda kering.

  • Merawat penyebab mata kering.Jika masalah ini berlaku disebabkan ubatan, doktor mungkin akan mengesyorkan ubatan yang berbeza yang tidak menyebabkan kesan sampingan.
  • Pembedahan. Jika anda menghadapi masalah kelopak mata, doktor akan merujuk anda kepada pakar bedah mata yang pakar dalam pembedahan plastik kelopak mata.
  • Masalah kesihatan. Jika keadaan ini berlaku kerana masalah kesihatan yang lain, seperti arthritis rheumatoid, anda akan dirujuk kepada pakar rheumatologi.
  • Ubatan. Pelbagai preskripsi ubatan boleh diperolehi untuk merawat masalah mata kering ini seperti ubat untuk mengurangkan keradangan kelopak mata.

Tip menghindari dari berlakunya mata kering

Sekiranya anda kerap mengalami mata kering, beri perhatian kepada situasi yang mungkin menyebabkan ia terjadi. Dan cari penyelesaian untuk mengelakkan situasi ini untuk menghindari dari terdedah kepada simptom mata kering.

Sebagai contoh:

  • Hindari dari terdedah kepada tiupan angin secara langsung kepada mata. Jangan biarkan mata berhubung secara terus dengan pengering rambut, penghawa dingin dan kipas
  • Pertimbangkan untuk memakai pelindung mata
  • Berikan mata anda rehat selepas melakukan tugasan yang panjang. Jika anda membaca atau melakukan sesuatu yang memerlukan tumpuan visual, berikan mata anda rehat secara berkala. Tutupkan mata anda untuk beberapa minit atau kedipkan mata berulang kali untuk beberapa saat untuk membantu menyebarkan air mata secara rata pada mata
  • Ambil peduli dengan persekitaran anda. Terdedah pada udara pada ketinggian yang tinggi, kawasan padang pasir, dan di dalam pesawat boleh menjadi antara tempat yang sangat kering. Apabila berada di persekitaran sebegitu, adalah sangat membantu jika anda kerap menutup mata selama beberapa minit untuk meminimumkan penyejatan air mata
  • Pastikan posisi komputer anda di bawah paras mata. Ini untuk membantu memperlahankan penyejatan air mata ketika anda mengerdipkan mata. Jika komputer anda berada di atas paras mata, mata anda akan terbuka lebih luas untuk melihat skrin
  • Berhenti merokok dan elakkan merokok
  • Gunakan ubat titisan mata secara kerap. Jika anda mempunyai mata kering yang kronik, pastikan anda tetap menggunakan ubat titisan mata walaupun mata anda merasa baik

Anda mungkin berminat untuk membaca:

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Dry eyes

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/dry-eyes/symptoms-causes/syc-20371863 / Accessed on Feb 27, 2019.

 

Dry Eye Syndrome

https://www.healthline.com/health/dry-eye-syndrome / Accessed on Feb 27, 2019.

 

What Causes Dry Eyes?

https://www.webmd.com/eye-health/eye-health-dry-eyes#2 / Accessed on Feb 27, 2019.

Versi Terbaru

13/07/2020

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Mata Juling VS Mata Malas: Benarkah Hanya Kanak-kanak Yang Berisiko Alaminya?

8 Mitos Berkenaan Kesihatan Mata Paling Popular! #5 Tu Boleh Percaya Ke?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Amy Kor

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan