backup og meta

Kaum Adam Kena Rajin Jumpa Doktor, Ini 7 Ujian Perubatan Yang WAJIB Dilakukan Setiap Lelaki

Kaum Adam Kena Rajin Jumpa Doktor, Ini 7 Ujian Perubatan Yang WAJIB Dilakukan Setiap Lelaki

Antara fakta yang diketahui ramai adalah orang lelaki tidak suka berjumpa doktor walaupun ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan kesihatannya. Tetapi anda harus ingat bahawa anda tidak dapat mencapai impian yang lebih besar jika tubuh anda dalam keadaan yang tidak sihat. Oleh itu, jadilah proaktif dan tetapkan temujanji dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan. Berikut adalah 7 ujian setiap lelaki perlu ambil dalam kehidupan mereka.

Diabetes

Sekiranya anda mempunyai pelan pemakanan sihat, berat ideal dan tiada masalah dengan kolesterol tinggi atau tekanan darah tinggi, anda tidak perlu melakukan ujian ini. Walau bagaimanapun, jika anda berusia lebih daripada 45 tahun, atau berat badan berlebihan, atau anda mempunyai sejarah keluarga dengan kencing manis, hubungi doktor anda untuk semak secepat mungkin. Ujian darah akan dilakukan untuk mendiagnosis diabetes.

Jangkitan seksual

Tidak kira sama ada anda mempunyai hubungan monogami atau tidak, anda tidak sepatutnya mengabaikan sebarang ujian yang berkaitan dengan jangkitan seksual terutamanya HIV dan hepatitis C. Ini kerana, kedua-dua penyakit ini boleh bertahan lebih daripada 10 tahun tanpa sebarang tanda dan simptom. Sekitanya anda terdedah kepada seks tanpa perlindungan atau suntikan ubat-ubatan atau pemindahan darah, jangan teragak-agak untuk memeriksa kesihatan anda.

Indeks Jisim Badan (BMI)

Lelaki sentiasa disyorkan untuk mengambil ujian BMI, ukuran lemak badan berdasarkan ketinggian dan berat badan anda. Jika BMI anda adalah antara 18.5 dan 24.9, berat badan anda dianggap normal. Walaupun pengiraan ini tidak selalu sempurna, anda boleh menilai dan mengetahui masalah berat badan berlebihan anda.

Kolesterol

Kevin Polsley, MD, penolong profesor perubatan dalaman di Loyola University Health System di Chicago, mengatakan bahawa lelaki mempunyai risiko lebih tinggi untuk penyakit kardiovaskular berbanding wanita, dan kolesterol tinggi merupakan faktor utama. Oleh itu, anda perlu berjumpa doktor untuk menguji paras kolesterol anda setiap empat hingga enam tahun apabila anda berusia 20 tahun atau bahkan melakukan saringan dengan lebih kerap apabila anda mempunyai faktor risiko penyakit jantung seperti diabetes, penggunaan tembakau, atau tekanan darah tinggi.

Tekanan darah

Dr. Polsley menyatakan bahawa lelaki harus mendapatkan pemeriksaan tekanan darah hampir setiap kali anda berjumpa doktor apabila anda mula berumur 18 tahun. Ujian untuk tekanan darah agak cepat, mudah dan tidak menyakitkan. Ia boleh diperiksa di mana-mana pameran kesihatan, farmasi, atau di rumah.

Kolonoskopi

Kebanyakan lelaki sepatutnya mendapatkan ujian untuk kanser kolon dari usia 50 tahun. Tetapi apabila keluarga anda mempunyai sejarah penyakit ini, anda sepatutnya memastikan kolon anda diperiksa lebih awal. Proses ujian mungkin kedengaran teruk apabila doktor memasukkan kamera kecil ke dubur untuk memeriksa usus besar untuk polip atau tanda-tanda kanser lain. 

Pemeriksaan prostat

Dalam sesetengah laporan, pakar menyatakan bahawa ujian prostat mungkin mahal dan tidak diperlukan, dan juga mempunyai hasil positif palsu atau negatif palsu. Dalam sesetengah kes, pemeriksaan kanser prostat boleh menyelamatkan nyawa anda, tetapi dalam keadaan lain, sesetengah lelaki tidak mendapat manfaat daripada rawatan yang agresif. Jadi sebelum mengambil ujian ini, anda harus meminta nasihat doktor anda.

Melakukan ujian perubatan yang kerap akan membuatkan anda lebih baik. Ini boleh meningkatkan peluang penyembuhan penyakit. Sentiasa utamakan kesihatan anda agar anda dapat memanjangkan lagi jangka hayat anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

7 Medical Tests Every Man Needs. http://www.health.com/mind-body/7-medical-tests-every-man-needs. Accessed June 10, 2014

Versi Terbaru

02/09/2020

Ditulis oleh Farah Aziz

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Zakar Bengkok Ke Kiri Semasa Ereksi, Normal Atau Tanda Penyakit Peyronie?

Wahai Kaum Adam, Ini 6 Ujian Saringan Kesihatan Yang Wajib Anda Jalani!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 02/09/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan