Selain daripada kanser payudara, golongan lelaki juga berpotensi untuk mengalami payudara sakit. Ia disebut sebagai ginekomastia (gynecomastia).
Apakah yang dimaksudkan dengan jenis masalah kesihatan pada payudara lelaki ini?
Jika anda ingin tahu, sila teruskan pembacaan anda melalui artikel yang kami sediakan di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkan di sini.
Ginekomastia: pembesaran payudara lelaki
Ginekomastia adalah satu keadaan di mana payudara lelaki membesar tidak seperti biasa.
Ia disebabkan oleh peningkatan atau pertambahan jumlah tisu kelenjar payudara dalam kalangan lelaki.
Puncanya adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon estrogen dan juga testosteron. Ia boleh terjadi sama ada pada sebelah bahagian atau boleh juga berlaku pada kedua-dua belah payudara lelaki.
Siapakah yang berisiko mengalami ginekomastia atau payudara sakit?
Kesemua peringkat umur kaum lelaki berpotensi atau berisiko untuk mengalami keadaan penyakit payudara sakit ini.
Sama ada ia bayi lelaki, remaja mahupun warga emas. Keadaan ini bukanlah satu keadaan yang serius.
Namun, pasti ramai lelaki yang tidak mahu kelihatan seperti memiliki buah dada persis individu wanita. Malahan, ia juga kerap menyebabkan payudara sakit.
Apakah simptom-simptom payudara sakit?
Berikut adalah antara tanda atau simptom-simptom jika seseorang lelaki tersebut mengalami ginekomastia atau payudara sakit:
- Mempunyai tisu payudara yang membengkak
- Payudara terasa seperti sedikit lembut
Namun, anda perlu bersegera untuk berjumpa dengan doktor jika mengalami simptom-simptom seperti berikut:
- Payudara membengkak dengan jelas
- Rasa sakit pada payudara
- Keluarnya cairan daripada puting payudara anda
Apakah penyebab kepada berlakunya ginekomastia?
Punca utama kepada berlakunya keadaan ini adalah disebabkan oleh perubahan pada hormon dalam tubuh lelaki.
Hormon testosteron mengalami pengurangan berbanding hormon estrogen.
Pengurangan hormon testosteron ini mungkin disebabkan oleh beberapa keadaan yang menghalang kesan hormon testosteron itu sendiri ke atas tubuh.
Bagi bayi yang baru lahir, ginekomastia yang dialami biasanya disebabkan oleh memiliki paras hormon estrogen yang tinggi.
Manakala bagi remaja lelaki, ia biasanya disebabkan oleh fasa akil baligh yang dilalui itu yang menyebabkan paras hormon menjadi tidak seimbang.
Manakala bagi warga emas, paras hormon mereka dipengaruhi oleh sebab penuaan yang dialami.
Selain itu, terdapat juga beberapa penyebab lain yang menjadi punca kepada ketidakseimbangan hormon yang berlaku. Antaranya ialah:
Keadaan kesihatan:
- Tumor pada kelenjar adrenal, kelenjar pituitari, atau testis
- Hipertiroidism (tiroid yang terlalu aktif)
- Hipogonadism (paras testosteron yang rendah)
- Penyakit buah pinggang
- Penyakit hati
Kesan ubat ubatan:
- Ubat-ubatan rawatan HIV/AIDS
- Kemoterapi dan juga sinar radiasi
- Antibiotik
- Ubat-ubatan rawatan jantung
- Ubat anti keresahan
- Antidepresan
- Ubat ulser dan pedih ulu hati
Pengambilan dadah berbahaya:
- Opiod
- Steroid
- Amfetamin
- Heroin
- Ganja
Faktor gaya hidup:
- Mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti
- Mengambil minuman beralkohol
- Mengambil ubat-ubatan yang megandungi estrogen
Apakah rawatan yang tersedia bagi merawat ginekomastia ini?
Ginekomastia boleh berlaku dan menghilang dalam tempoh antara 6 bulan hingga 2 tahun.
Namun, jika keadaan yang dialami itu disebabkan oleh beberapa keadaan lain seperti hipogonadism, kekurangan zat makanan atau sirosis, maka puncanya ini akan dirawat untuk mengelakkan ginekomastia daripada terus terbentuk.
Bolehkah sakit pada payudara jenis ini dicegah?
Kebanyakan daripada kes-kes ginekomastia tidak boleh dielakkan kerana ia disebabkan oleh perubahan semula jadi pada tahap hormon.
Namun, anda boleh mengelakkan daripada melakukan beberapa perkara seperti berikut untuk mengurangkan risikonya:
- Elakkan daripada terlibat dengan pengambilan dadah terlarang
- Elakkan pengambilan minuman beralkohol sekiranya boleh
- Lihat kepada pengambilan ubat-ubatan anda. Berbincang dengan doktor jika ada ubat-ubatan yang diambil tersebut menyebabkan ginekomastia
Kesimpulan
Walaupun keadaan kesihatan ini biasanya tidaklah berbahaya dan akan sembuh dengan sendirinya, ia sebenarnya boleh menjadi satu isu besar bagi kaum lelaki.
Penonjolan payudara yang lebih besar berbanding payudara normal lelaki akan menyebabkan kaum Adam ini menjadi malu.
Ia mungkin tidak memberi kesan kepada kesihatan lelaki secara umumnya, namun ia boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang lelaki.