Walaupun tahap kesedaran berhubung kepentingan menjaga kesihatan kian meningkat, namun obesiti masih menjadi masalah utama! Kegemukan diketahui menyebabkan banyak kesan negatif pada kesihatan dan bagi golongan lelaki, ia kerap dikaitkan dengan ukuran zakar. Ura-ura mengatakan, zakar orang gemuk bersaiz kecil, benarkah?
Sekiranya kalian juga tertanya-tanya akan kebenaran di sebalik khabar angin ini, anda wajib baca sampai ke penghujung okey!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.
Obesiti & ukuran zakar, apa kaitannya?
Ukuran zakar orang gemuk dikatakan lebih kecil jika dibandingkan dengan mereka yang mempunyai berat badan normal.
Khabar angin turut mengatakan, semakin bertambah berat badan, semakin kecil saiz zakar. Tapi, sejauh mana kebenarannya?
Untuk pengetahuan pembaca sekalian, saiz zakar tidak mengecil atau bahkan, mengecut sama sekali apabila berlakunya kenaikan berat badan.
Sebaliknya, perkara ini yang sebenarnya berlaku…
Apabila seseorang lelaki mula alami obesiti, lapisan lemak di kawasan perut, pangkal zakar dan paha menjadi semakin tebal.
Peningkatan jumlah lemak di kawasan-kawasan ini secara tidak langsung membuatkan zakar tampak lebih kecil!
Dalam kata yang lebih mudah, ukuran zakar orang gemuk ‘disembunyikan’ oleh lemak-lemak badan mereka sendiri.
Kondisi ini juga mempunyai terma saintifiknya tersendiri, iaitu zakar tertanam (buried penis).
Zakar yang tertanam berlaku apabila ditutupi oleh kulit berlebihan di kawasan kemaluan atau skrotum. Skrotum adalah kantung kulit yang mengelilingi zakar.
Tambahan itu, panjang dan fungsi zakar orang gemuk masih berfungsi dengan normal, tetapi tersembunyi.
Kondisi ini biasanya disebabkan oleh:
- Lemak berlebihan
- Pengekalan cecair (fluid retention)
- Masalah dengan ligamen
- Komplikasi selepas berkhatan
Ia juga boleh menjejaskan proses kencing dan rangsangan seksual, tetapi kondisi ini selalunya boleh dirawat dengan pembedahan.
Selain itu, zakar orang gemuk yang tertanam juga boleh menyebabkan rasa malu dan menjejaskan psikologi.
Apa lagi kaitan zakar kecil dengan obesiti? Hah! Tahukah anda, obesiti turut dikaitkan dengan disfungsi ereksi, atau mati pucuk? Bagaimana?
Saluran darah di zakar akan menjadi lemah dek kerana lemak berlebihan, menyebabkan lelaki obes sukar untuk alami ereksi yang penuh dan kuat apabila bersama.
Micropenis, kondisi zakar terlalu kecil
Sekiranya zakar orang gemuk berukuran normal, masih wujudkah masalah zakar kecil? Tentu sekali!
Terdapat zakar yang berukuran sangat kecil, dikenali dengan istilah perubatan ‘micropenis‘.
Menurut statistik, stretched penis length (SPL) untuk micropenis adalah 3 dan 2 pertiga inci atau kurang.
Walaupun begitu, doktor masih teragak-agak untuk mengesyorkan pembedahan pada lelaki yang SPLnya lebih panjang daripada 3 inci, dek kerana pembedahan yang bersifat kontroversi dan berisiko.
Micropenis selalunya tidak terbentuk di usia dewasa kerana ia biasanya disebabkan oleh kelainan genetik atau hormon, mengakibatkan masalah kesihatan lain yang lebih serius di awal kehidupan.
Ini kerana zakar mula berkembang ketika janin mencecah usia 8 minggu. Menjelang minggu ke-12, zakar telah terbentuk dan mula menumbuh.
Semasa trimester ke-2 dan 3, hormon seks lelaki akan membuatkan zakar tumbuh dengan normal.
Namun, beberapa faktor yang mengganggu pengeluaran dan tindakan hormon akan membantutkan pertumbuhan zakar, mengakibatkan micropenis!
Atasi masalah zakar orang gemuk dengan cara-cara ini!
Jika anda berasa malu dan takut kerana memiliki saiz zakar kecil, ada beberapa langkah yang boleh dibuat untuk menurunkan berat badan, secara tidak langsung membuatkan ‘adik’ kelihatan lebih ketara!
Mengekalkan berat badan yang sihat akan membuahkan hasil dengan manfaat-manfaat kesihatan yang ditawarkan, selain membuat lelaki lebih bangga dengan ukuran zakar mereka.
Tetapi kalau anda sudah lama obes, dapatkan pandangan daripada doktor bertauliah terlebih dahulu sebelum meneruskan sebarang diet baharu atau rutin senaman, okey?
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh diamalkan untuk bantu ‘mengeluarkan’ penampilan zakar tertanam.
- Amalkan diet yang sihat: Punca lelaki gemuk atau obes adalah kerana pengambilan makanan bergula dan berlemak yang terlalu banyak! Jadi, menyingkirkan makanan tidak sihat ini adalah 1 keperluan dalam usaha menurunkan berat badan. Jangan lupa juga untuk menambah lebih banyak buah-buahan dan sayuran ke dalam diet harian.
- Makan dalam porsi lebih kecil: Latih diri untuk lawan nafsu, dan makan dalam porsi yang lebih kecil. Untuk mengelak rasa lapar yang keterlaluan, anda boleh makan (makanan sihat) secara kerap, dalam kuantiti kecil.
- Bersenam secara berkala, ikut kemampuan: Bersenam pastinya menjadi aktiviti yang sukar dilakukan, terutama jika ia sudah lama ditinggalkan. Bagi lelaki obes, anda boleh mulakan rutin senaman dengan aktiviti seperti brisk walking terlebih dahulu, mengikut keupayaan badan. Kalian perlu peka dengan had badan dan masa untuk berhenti. Berjalan kaki selama 30 minit sehari sudah cukup bermanfaat, bagi mereka yang jarang bersenam.
- Kebersihan zakar: Selain membuatkan zakar tampak lebih kecil, kegemukan juga boleh menyukarkan lelaki untuk menjaga kebersihan bahagian intimnya dengan betul. Justeru, sentiasa berikan usaha dan perhatian yang lebih untuk membersihkan kawasan zakar, agar risiko jangkitan dapat dicegah!