Disfungsi ereksi (ED) atau turut dikenali sebagai mati pucuk merujuk kepada ketidakupayaan untuk mendapatkan atau mengekalkan ereksi semasa melakukan aktiviti seksual. Ia boleh berlaku atas pelbagai faktor, termasuklah ketagihan menonton video porn!
Mati pucuk boleh terjadi dek kerana masalah fizikal dan psikologi, seperti kegelisahan prestasi, kemurungan, atau kesihatan fizikal.
Tetapi bagaimana pula dengan habit menonton pornografi, benarkah ia boleh menjadi punca mati pucuk?
Berikut adalah dapatan yang ditunjukkan oleh penyelidikan, ingin tahu jawapannya? Ayuh teruskan pembacaan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.
Video porn & ‘anoreksia seksual’
Walaupun kondisi ini kebanyakannya menjejaskan lelaki yang lebih tua, namun tinjauan yang dilakukan di Itali mendapati peningkatan tontonan pornografi internet dalam kalangan remaja boleh mencetuskan ‘anoreksia seksual’.
Apa itu ‘anoreksia seksual’?
Ia membawa maksud kehilangan selera atau keinginan untuk berinteraksi secara romantis-seksual.
Ura-ura yang mengatakan bahawa menonton terlalu banyak video porn menyebabkan ED telah menular dengan luas, tetapi tidak semua pakar berpendapat sedemikian.
Menurut Dr. Nicole Prause, Psikofisiologi Seksual dan Psikologi Berlesen di Sexual Psychophysiology and Affective Neuroscience Laboratory, UCLA, kajian yang telah dijalankan mendapati tiada hubungan antara jumlah video porn ditonton dengan fungsi ereksi bersama pasangan!
Penyelidikan yang telah beliau jalankan bersama Dr. Jim Pfaus telah diterbitkan di dalam Sexual Medicine dan merupakan kajian pertama daripada topik ini.
Malah, dalam 1 kes, kajian mendapati rangsangan seksual menjadi lebih kuat pada lelaki yang menonton lebih banyak bahan pornografi di rumah.
Hal ini bermakna menonton bahan lucah tidak menyumbang kepada masalah disfungsi ereksi, kata Dr. Prause.
Tapi, pornografi masih boleh jejaskan selera seksual anda!
Walau bagaimanapun, para pakar ada mengatakan bahawa tabiat menonton pornografi boleh menjejaskan selera seksual.
Hal ini mungkin menyukarkan sesetengah individu untuk mendapat ereksi dan mengalami orgasma apabila bersama pasangan seksual.
Menurut Ahli Psikologi, Dr. Nikki Martinez pula, akses mudah terhadap pelbagai jenis bahan pornografi boleh menyukarkan seseorang untuk terangsang dengan pasangan atau terlibat dalam aktiviti seksual seperti yang selalu dilakukan sebelumnya.
Tambah Dr. Martinez lagi, apabila mereka yang ketagih video porn sudah terbiasa ‘melepaskan keinginan’ menggunakan medium tersebut, mereka bakal alami kesulitan untuk terangsang tanpa kehadiran bahan porno.
Perkara ini akan mewujudkan elemen negatif dengan pasangan, membuatkan isteri berasa ‘ditolak’, seolah-olah tidak cukup cantik atau menarik.
Pada masa yang sama, encik suami juga mungkin malu untuk mengakui habit menonton video porn.
Cara anda ‘melihat’ diri sendiri juga boleh terjejas!
Pakar terapi, Natalie Finegood Goldberg turut mengatakan, pornografi boleh mewujudkan jangkaan yang tidak realistik; bagaimana hubungan seks harus kelihatan, cara pasangan beraksi dan perkara yang perlu dilakukan.
Bagi kebanyakan orang juga, pornografi boleh menimbulkan rasa malu sekiranya mereka tidak memenuhi standard yang ditonton di dalam video tersebut.
Bukan itu sahaja, sesetengah orang turut menggunakan medium ini sebagai tempat ‘merealisasikan’ fantasi nakal yang diidam-idamkan berbanding berkomunikasi secara terbuka dan berkongsi mengenainya dengan pasangan.
Selain itu, pakar juga mengatakan bahawa mereka tidak menganggap pornografi sebagai pemicu disfungsi ereksi, tetapi cukup penting untuk melihat cara pandangan seseorang terhadap pornografi.
Misalnya, menonton video porn secara kompulsif, menonton beberapa adegan sekali gus, atau kecenderungan untuk cepat beralih daripada 1 adegan ke adegan lain, boleh menimbulkan banyak rangsangan yang biasanya tidak dapat dirasai apabila bersama.
Oleh itu, tabiat sebegini boleh menimbulkan masalah mati pucuk!
Di samping itu, menonton pelakon lelaki beraksi di dalam video porn juga berupaya menimbulkan perasaan insecurity apabila anda mula membanding diri, lantas memicu masalah disfungsi ereksi.
Apa yang boleh dilakukan jika anda @ pasangan alami isu ketagihan pornografi?
Masalah ketagihan pornografi tidak mudah untuk dipulihkan.
Namun usah risau, beberapa perkara berikut mungkin boleh mengurangkan rasa ketagih yang dihadapi untuk menonton bahan lucah. Antaranya:
- Berhenti tonton video lucah: Cuba berhenti selama beberapa hari atau minggu, dan lihat kesan yang mungkin timbul. Selain itu, perhatikan perasaan anda saat bersetubuh dengan pasangan; sama ada bertambah baik atau sebaliknya.
- Pasang perisian untuk penyekat pornografi di komputer: Tetapkan kata laluan yang sukar dan sembunyikan di suatu tempat yang memerlukan usaha banyak untuk dicari. Kesulitan ini dapat mematahkan semangat anda untuk menonton video porn!
- Fikirkan sebab perlu berhenti, dan senaraikan untuk dibaca semula: Senaraikan keburukan yang menimpa diri apabila anda atau pasangan terjerumus ke dalam ‘kancah pornografi’. Tulis kesan pada diri, hubungan, apabila bersama dan sebagainya. Apabila terasa seperti ingin menontonnya, baca semula senarai yang telah dibuat.
- Cari ahli terapi seks yang terlatih: Sekiranya anda mengalami masalah ketagihan pornografi yang kronik dan mengalami konflik dalaman, dapatkan khidmat bantuan ahli terapi seks yang terlatih. Hal ini akan dapat bantu kalian kenal pasti masalah yang menjadi pemicu.
- Dapatkan bantuan di pusat pemulihan: Jika masalah dialami terlalu melampau dan tidak dapat dipulih dengan bantuan ahli terapi seks, anda perlu mempertimbangkan untuk dapatkan bantuan di pusat pemulihan.