Kesedaran mengenai gaya hidup sihat kian meningkat dalam kalangan masyarakat. Kini, aktiviti berbasikal dilihat sedang hangat menjadi trend untuk kekal aktif. Pun begitu, wujudnya ura-ura mengatakan ia penyebab mati pucuk, benarkah?
Berbasikal merupakan bentuk senaman yang sangat baik, memberikan manfaat kesihatan yang sama seperti aktiviti kardio lain; berjalan kaki, berjoging, berenang, dan banyak lagi.
Namun sesetengah individu, lebih-lebih lagi kaum Adam menghindari senaman ini, kerana mereka bimbang ia boleh merosakkan organ pembiakan dan fungsi seksual mereka.
Yang menjadi persoalan sekarang, sejauh mana kebenarannya? Adakah benar kayuh basikal penyebab mati pucuk? Mari kita merungkai jawapannya!
Kayuh basikal penyebab mati pucuk?
Kajian Massachusetts Male Aging Study mendapati, dalam keadaan tertentu senaman basikal boleh merosakkan saraf dan memampatkan arteri di zakar, yang berisiko memicu masalah ereksi.
Jawapan pendeknya, aktiviti berbasikal berupaya mengakibatkan mati pucuk (erectile dysfunction) dan sains menyokong kebimbangan ini!
Namun, kebanyakannya berlaku dalam kalangan kaki kayuh yang berbasikal dengan terlalu kerap untuk tempoh yang lama.
Seperti kita sedia maklum, aktiviti berbasikal dapat membakar kalori dan meningkatkan kecergasan kardiovaskular.
Namun, duduk terlalu lama di atas pelana basikal berupaya memicu tekanan pada arteri dan saraf penting yang menuju ke zakar.
Hasilnya? Wujudlah risiko kekebasan, kesakitan, dan bahkan, mati pucuk!
Penunggang basikal lelaki meletakkan majoriti peratusan berat badan mereka pada perineum (kawasan antara skrotum dan dubur yang menjadi laluan saraf dan arteri ke zakar).
Oleh itu, tekanan pada perineum berserta faktor ruangan duduk pelana yang sempit, bakal menyebabkan kecederaan pada arteri dan saraf.
Antara tanda amaran paling awal yang boleh dikenal pasti adalah rasa kebas atau kesemutan di bahagian intim, menurut Dr. Irwin Goldstein, Pengarah Perubatan Seksual San Diego.
Berapa banyak tunggangan diperlukan untuk menjadi mati pucuk?
Kajian The Massachusetts Male Aging mendapati bahawa risikonya adalah tertinggi dalam kalangan lelaki yang berbasikal lebih dari 3 jam seminggu.
Tetapi adakah berbasikal dan erectile dysfunction (ED) merupakan masalah serius?
1 kajian pemerhatian yang dijalankan pada tahun 2014 dalam Journal of Men’s Health mendapati, berbasikal tidak menimbulkan ancaman serius terhadap ED atau kemandulan.
Walaupun ED dan kekebasan yang berpunca daripada berbasikal boleh berlangsung selama beberapa minggu atau bulan, namun ia tidak bersifat kekal dan mudah dirawat.
Kajian dilakukan ke atas kira-kira 5,300 penunggang basikal lelaki yang melengkapkan soal selidik berkaitan; jangka masa, kekerapan menunggang dan sama ada dalam tempoh 5 tahun terakhir, pernah mengalami gejala ED atau didiagnosis dengan kemandulan.
Keputusannya tidak menunjukkan hubungan yang jelas antara jumlah kayuhan tinggi dan ED/kemandulan.
Meskipun begitu, risiko mati pucuk masih wujud dan tidak harus dipandang enteng, terutama dalam golongan kaki kayuh yang tidak mengamalkan langkah-langkah pencegahan!
Solusi mudah untuk kaki kayuh!
Walaupun berbasikal berkemungkinan sebabkan mati pucuk, ini tidak bermakna anda harus mengorbankan aktiviti sihat ini sama sekali.
Kecergasan kardiovaskular juga sangat penting untuk fungsi ereksi. Justeru, ia harus dilakukan dengan kadar yang mencukupi untuk memperbaiki atau mengekalkan kesihatan di dalam seluar.
Tiada salahnya untuk kalian meneruskan minat kayuhan di samping meningkatkan kualiti kesihatan. Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk amalkan langkah pencegahan ya!
Penyelidikan telah mencadangkan untuk fokus pada 3 aspek meliputi bentuk pelana, ketinggian palang, dan jenis basikal.
Berikut adalah beberapa pengubahsuaian yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko ED:
- Tukar pelana tirus anda kepada pelana yang berbentuk lebih lebar dengan padding tambahan yang menyokong perineum. Juga, pelana basikal tanpa ‘hidung’ (berbentuk lebar seakan segi 4 tepat) boleh digunakan untuk mengurangkan tekanan.
- Rendahkan hendal ke paras bawah pelana. Mengayuh dengan posisi badan ke depan secara langsung akan mengangkat belakang anda daripada tempat duduk, lantas mengurangkan tekanan pada perineum.
- Pakai seluar sukan dengan padding tebal untuk mendapatkan lapisan perlindungan tambahan.
- Kurangkan intensiti kayuhan dan cuba berbasikal hanya selama beberapa jam pada satu masa.
- Tukar posisi dan rehatkan badan semasa perjalanan yang panjang. Berhenti untuk berjalan atau berdiri di atas pengayuh secara berkala dapat kurangkan tekanan perineum.
- Pelbagaikan rutin senaman anda. Selain berbasikal secara eksklusif, cuba beralih kepada senaman lain seperti joging atau berenang. Jadikan aktiviti mengayuh basikal sebagai sebahagian daripada rutin senaman yang lengkap.
Sekiranya anda alami sebarang kesakitan atau kekebasan saat menunggang basikal, pastikan untuk berhenti serta-merta!
Perkara yang terpenting adalah untuk berwaspada dengan simptom amaran awal.
Jika gejala-gejala ini masih berulang walaupun sudah menukar pelana lebar dan mengamalkan kesemua langkah penjagaan, pertimbangkan untuk beralih ke basikal recumbent (basikal baring).
Kepada kaki kayuh di luar sana, usah terlalu risau ya! Anda masih boleh meneruskan minat berbasikal seperti biasa tanpa menjejaskan aktiviti di kamar tidur.
Melakukan beberapa pengubahsuaian dan langkah pencegahan seperti di atas sudah memadai untuk mengurangkan risiko mati pucuk dan memastikan tunggangan yang lebih selamat.
Jika didapati anda menghidap ED, rujuk doktor untuk mengenal pasti punca (sama ada berkaitan dengan berbasikal) dan cari jalan penyelesaian yang dapat memulihkan kehidupan seks anda dengan selamat dan berkesan!