backup og meta

13 Punca Lelaki Tak Subur, Berat Badan Salah Satu Sebabnya!

13 Punca Lelaki Tak Subur, Berat Badan Salah Satu Sebabnya!

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan lelaki mandul. Secara umumnya, ia berkisarkan sperma yang tidak cukup kuantiti, tidak aktif atau mempunyai kecacatan struktur.

Jika dilihat pada statistik, sekitar 15% pasangan suami isteri mengalami kesukaran untuk mendapatkan zuriat.

Masalah ketidaksuburan lazimnya hanya didiagnosis sekiranya mereka telah mencuba sekurang-kurangnya setahun dengan kekerapan seks yang mencukupi dan tidak mengamalkan perancang keluarga.

Wanita kebiasaannya dipersalahkan dalam situasi sebegini walhal hampir ⅓ masalah sukar untuk mendapatkan zuriat berpunca daripada lelaki.

Artikel ini akan membincangkan serba sedikit perihal ketidaksuburan lelaki. Teruskan membaca.

Tidak mudah untuk mengenal pasti punca lelaki mandul

Bagi meningkatkan kebarangkalian kejayaan bagi proses persenyawaan di antara sperma dan ovum, lelaki perlu mempunyai fungsi seksual yang normal. Ini maksudnya:

  • Sperma yang dihasilkan sihat dan tidak mempunyai kecacatan struktur
  • Air mani yang dihasilkan cukup untuk membawa keluar sperma ke saluran reproduktif wanita
  • Jumlah sperma perlu melebihi 15 juta bagi setiap mililiter air mani
  • Sperma berupaya untuk bergerak (berenang) dengan normal

Sekiranya terdapat masalah kesihatan yang boleh mengganggu fungsi organ testis untuk menghasilkan sperma yang sihat, ia boleh menjadi punca kemandulan lelaki.

Penyakit dan situasi klinikal yang boleh menyebabkan lelaki mandul

lelaki mandul

Jangkitan kuman 

Sekiranya anda mengalami sebarang jangkitan yang memberi kesan kepada saluran keluar sperma (tiub uretra dan sebagainya), ia boleh mempengaruhi kesuburan.

Proses keradangan yang berlaku boleh menyebabkan saluran tersebut tersumbat dan memberikan simptom sakit kepada penghidap.

Ejakulasi terbalik

Ejakulasi retrograd (terbalik) boleh menyebabkan lelaki mandul. Keadaan kesihatan ini menyebabkan air mani anda masuk ke dalam pundi kencing dan tidak keluar daripada zakar.

Kesannya, penghidap akan mengalami orgasme kering (tanpa air mani). Ejakulasi terbalik boleh berlaku disebabkan oleh masalah kencing manis dan penyakit saraf yang lain.

Testis tidak turun

Dalam embriologi manusia, proses testis turun dari abdomen ke dalam kantung telur merupakan keadaan yang penting berikutan ia boleh mempengaruhi kebolehan badan untuk menghasilkan hormon testosteron.

Mereka yang mengalami masalah kesihatan ini kebiasaannya mempunyai paras testosteron yang sangat rendah daripada normal. Jika dirawat pada peringkat awal, paras testosteron boleh kembali ke nilai normal semula.

Varikosel

Keadaan kesihatan di mana saluran vena pada testis membengkak. Aliran darah secara berlebihan boleh menyebabkan suhu kantung telur menjadi tidak ideal bagi proses penghasilan sperma. Ini boleh menyebabkan ketidaksuburan lelaki.

Isu seksual yang lain

Terdapat pelbagai jenis masalah kesihatan yang boleh mempengaruhi minat individu untuk melakukan hubungan seks.

Perkara ini penting memandangkan ia boleh memberi kesan kepada kekerapan melakukan hubungan seks.

Antaranya adalah mati pucuk, ejakulasi pramatang dan keadaan yang boleh menyebabkan kesakitan semasa hubungan seks.

Faktor persekitaran dan gaya hidup turut memainkan peranan

lelaki mandul

Walaupun penyakit kronik merupakan punca utama lelaki mandul, faktor persekitaran juga boleh mempengaruhi integriti sperma lelaki.

Sebagai contoh, pendedahan kepada kawasan sekitar (contoh: sauna) atau meletakkan objek panas berhampiran dengan testis lelaki (menggunakan laptop di atas riba untuk satu tempoh masa yang lama) boleh mengubah suhu ideal untuk penghasilan sperma.

Selain itu, bahan kimia juga merupakan salah satu punca mengapa seseorang itu boleh mandul.

  • Pendedahan kepada bahan kimia yang lazim digunakan dalam industri seperti benzene, toluene dan racun boleh mempengaruhi kuantiti sperma berkualiti
  • Pekerjaan yang mendedahkan lelaki terhadap sinar radiasi seperti juru imbasan x-ray dalam satu tempoh masa yang lama turut boleh menyebabkan masalah kesuburan. Risiko ia berlaku bergantung kepada faktor seperti pemakaian alatan pelindung peribadi (PPE) dan sebagainya
  • Terdedah kepada logam berat

Selain itu, gaya hidup juga boleh mempengaruhi integriti sperma secara langsung dan tidak langsung.

Jika faktor penting seperti pemakanan, senaman dan lain-lain tidak terjaga, ia boleh menyebabkan kemandulan lelaki melalui beberapa perkara:

  1. Kemurungan.
  2. Penggunaan alkohol secara berlebihan.
  3. Tabiat merokok.
  4. Peningkatan berat badan sehingga menyebabkan masalah obesiti.
  5. Penggunaan ubat atau suplemen seperti steroid untuk satu jangka masa yang lama.

Konklusi

Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan lelaki mandul.

Oleh itu, jika anda mengalami kesukaran untuk mendapatkan anak, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat kesihatan dan pemeriksaan.

Jangan mudah terpedaya dengan suplemen penambah sperma dan sebagainya yang terjual di pasaran.

Hanya ambil suplemen jika ia dibenarkan oleh doktor.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. How common is male infertility, and what are its causes? (https://www.nichd.nih.gov/health/topics/menshealth/conditioninfo/infertility) Diakses pada 17 Februari 2021.
  2. What is male infertility? (https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/m/male-infertility). Diakses pada 17 Februari 2021.
  3. Male infertility. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/male-infertility/symptoms-causes/syc-20374773. Diakses pada 10 Oktober 2021.
  4. Infertility in men. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/infertility-in-men. Diakses pada 10 Oktober 2021.
  5. Male Infertility. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/male-infertility. Diakses pada 10 Oktober 2021.

Versi Terbaru

29/09/2022

Ditulis oleh Nurul Halifah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Lelaki Dengan Jambang Lebih Subur? Bukan Itu Saja, Ada Kajian Kata Ia Juga Perisai Jejaka!

Jejaka Jangan Banyak Main Telefon Sebelum Tidur, Risiko TIDAK SUBUR Tinggi


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 29/09/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan