Fahami risiko-risiko di bawah:
-
Ganja akan mengurangkan bilangan sperma lelaki
Penggunaan ganja bagi kaum Adam akan mengurangkan jumlah sperma dalam air mani.
Jumlah sperma akan berkurangan sebanyak 29% jika anda mengambil ganja lebih daripada sekali dalam masa seminggu.
Namun apa yang menariknya, terdapat kajian kecil yang menunjukkan bahawa jumlah sperma lelaki yang pernah mengambil ganja lebih tinggi jika mahu dibandingkan dengan mereka yang tidak pernah menyentuh ganja.
Tetapi kajian ini masih belum mencukupi. Lebih banyak kajian harus dilakukan bagi memahami kesan-kesan jangka pendek serta panjang disebabkan ganja terhadap kesihatan sperma lelaki.
-
Ganja mampu mengganggu proses ovulasi wanita
Bagi kaum Hawa pula, ganja boleh menghalang atau melambatkan proses ovulasi.

Menurut Pakar Sakit Puan, Dr. Felice Gersh, jumlah THC yang tinggi akan mengurangkan pengeluaran estrogen dan tanpa jumlah yang mencukupi, ovulasi tidak akan terjadi.
Kehamilan terjadi dengan proses ovulasi, pelepasan sel telur ke tiub falopio untuk bertemu dengan sperma.
Jika proses ini terganggu, persenyawaan juga tidak akan terjadi dan ini menjadi punca seseorang itu susah untuk hamil.
Ada kajian membuktikan, ganja mampu memperlahankan proses ovulasi sekiranya seseorang wanita mengambil dadah ini lebih daripada 3 kali dalam tempoh 3 bulan.
-
Ganja dapat memburukkan lagi masalah kesuburan yang ada
Bagi individu yang sudahpun mempunyai masalah kesuburan, ganja berpotensi untuk memburukkan lagi masalah ini.
Menurut Gersh, ganja berupaya untuk mengganggu sistem endocannabinoid yang normal.
Ia juga memberikan kesan kepada sistem biologi yang kompleks yang melibatkan setiap aspek kesuburan seperti ovulasi, penyediaan lapisan rahim serta penanaman embrio yang tepat pada tahap blastokista.
Oleh itu, potensi bagi ganja merosakkan lagi peluang untuk mengandung bagi individu yang kurang subur itu tinggi dengan menyerang sistem-sistem reproduktif yang terlibat.
Rumusan
Sekiranya anda sememangnya diharuskan menggunakan ganda atas faktor perubatan, anda perlu menimbang tara risiko dan kebaikan penggunaan dadah ini secara teliti.
Pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat doktor atau golongan profesional bagi mengetahui solusi terbaik jika anda merancang untuk hamil kerana pengambilan ganja boleh menyukarkan perancangan untuk membina keluarga.
Pengambilan dadah ini sememangnya berisiko dalam mempengaruhi keupayaan pasangan untuk menimang cahaya mata.
Bagi pasangan yang ingin menimang cahaya mata di luar sana terutamanya yang pernah terlibat dengan pengambilan dadah ini, anda dinasihatkan untuk mengelak dan menjauhi ganja bagi kebaikan pada masa hadapan.