home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Kesihatan Batin Lelaki, Ini Semua Yang Perlu Kaum Adam Tahu!

Maksud kesihatan lelaki|Bilangan sperma |Kesimpulan
Kesihatan Batin Lelaki, Ini Semua Yang Perlu Kaum Adam Tahu!

Tahukah anda, apakah masalah kesihatan yang berbahaya terhadap orang lelaki? Selain kesihatan batin lelaki, penyakit seperti sakit jantung, kanser dan juga kemalangan merupakan antara masalah yang mempengaruhi kesihatan lelaki dari segi fizikal dan emosi.

Untuk pengetahuan anda, jangka hayat lelaki lebih pendek berbanding wanita sebanyak 4 hingga 6 tahun hampir setiap negara di seluruh dunia.

Punca utama kematian dan masalah kesihatan batin dalam kalangan orang lelaki selalunya dikaitkan dengan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, minum arak dan kegemukan.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah orang lelaki mempunyai pelbagai masalah kesihatan. Malah, mereka juga sering mengelak daripada berjumpa doktor dan tidak mengambil berat mengenai kesihatan diri seperti wanita.

Risau tentang kesihatan diri atau orang yang anda sayang? Jom ikuti penjelasan kami mengenai kesihatan lelaki melalui artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

Maksud kesihatan lelaki

Apakah maksud kesihatan lelaki?

Kesihatan batin lelaki

Kesihatan batin lelaki mendapat perhatian kini disebabkan impaknya terhadap kualiti hidup kaum Adam. Malah, kesihatan batin lelaki juga mempunyai kaitan rapat dengan penyakit kardiovaskular.

Namun, tahap kesihatan lelaki mungkin berbeza mengikut umur. Seperti yang ramai sedia maklum, umur merupakan antara faktor utama peningkatan risiko penyakit dalam kalangan lelaki.

Masalah kesihatan orang lelaki yang lazim di Malaysia

Pada tahun 2006, punca utama yang menyebabkan kematian dalam kalangan orang lelaki ialah penyakit jantung iskemia (13.3%), kemalangan jalan raya (7.9%), septicaemia (6.2%), penyakit serebrovaskular (6.3%) dan pneumonia (5.2%).

Dari segi kesihatan seksual lelaki pula, penyakit yang sering dijadikan kajian di negara kita ialah disfungsi erektil dan ejakulasi pramatang.

Menurut kajian, prevalens untuk penyakit disfungsi erektil berada pada sekitar 15 hingga 54% untuk lelaki berusia 40 tahun ke atas.

Manakala, untuk penyakit ejakulasi pramatang pula, ia didapati berlaku sebanyak 22-38% ke atas lelaki daripada setiap kumpulan umur.

Di Malaysia, penyakit ini mula mendapat perhatian disebabkan kesan negatifnya terhadap kualiti hidup kaum Adam.

Namun, ada banyak lagi penyakit lelaki lain yang perlu diambil berat seperti penyakit Peyronie, kesihatan zakar, masalah hormon dan lain-lain.

Simptom lazim masalah seksual dalam kalangan lelaki

Ada banyak simptom lazim yang menandakan masalah batin dalam kalangan orang lelaki. Sebagai contoh:

  1. Tidak mempunyai keinginan seksual atau kurang berminat untuk melakukan seks.
  2. Sukar mengekalkan ereksi.
  3. Tidak boleh mengekalkan ereksi untuk penetrasi.
  4. Ada ketulan pada kawasan kemaluan.
  5. Zakar membengkok secara keterlaluan.
  6. Sakit ketika membuang air kecil.
  7. Tidak boleh mencapai orgasma walaupun dengan stimulasi seksual.
  8. Hanya boleh klimaks selepas satu tempoh masa yang sangat lama.
  9. Hanya boleh orgasma melalui masturbasi atau seks oral.
  10. Perlukan situasi yang pelik atau dianggap taboo untuk mencecah orgasma.
  11. Sukar mengawal orgasma atau ejakulasi.
  12. Tidak boleh mengalami ejakulasi atau ejakulasi yang amat sedikit.
  13. Kerap alami ereksi walaupun tidak mempunyai keinginan seksual.
  14. Ketagihan terhadap seks.

Bagaimanakah lelaki dapat kekalkan kesihatan batin yang baik?

Kesihatan batin lelaki

Ada banyak langkah yang boleh dilakukan untuk kesihatan seksual yang baik. Sebagai contoh:

  1. Guna kondom semasa melakukan hubungan seks atau kekal dengan seorang pasangan yang bebas daripada penyakit kelamin.
  2. Ambil vaksin untuk mengelakkan jangkitan human papillomavirus (HPV).
  3. Kerap bersenam dan jalani kehidupan aktif untuk elak masalah disfungsi erektil.
  4. Makan makanan yang sihat untuk mengelakkan masalah seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit lain yang boleh meningkatkan risiko disfungsi erektil.
  5. Jaga kebersihan diri. Ambil berat mengenai kebersihan kelamin lebih-lebih lagi lelaki yang tidak berkhatan.
  6. Berhenti merokok dan kurangkan pengambilan alkohol. Kedua-dua amalan ini hanya akan meninggalkan kesan buruk terhadap kesihatan lelaki.

Bila saya perlu berjumpa doktor?

Pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika mengalami simptom seperti yang digariskan di atas.

Walaupun bukan semua masalah berkaitan kesihatan seksual lelaki boleh dipulihkan, pemeriksaan berkala dapat membantu anda mengesan sebarang perubahan abnormal yang berlaku.

Ia juga membolehkan sebarang penyakit untuk didiagnosis secepat mungkin.

Bilangan sperma

Apakah bilangan sperma yang tidak normal?

Melalui analisis sperma, lelaki boleh mengetahui sama ada masalah kesuburan yang dialami berlaku disebabkan bilangan sperma yang tidak normal atau wujudnya sebarang kecacatan pada sperma mereka.

Ujian ini mengukur pelbagai faktor yang berbeza seperti kualiti, kuantiti dan pergerakan sperma. Kaum Adam juga boleh mengetahui sama ada sistem reproduktif mereka berfungsi dengan baik ataupun tidak.

Masalah ketidaksuburan orang lelaki

Kesihatan batin lelaki

Badan lelaki menghasilkan sel kecil yang dikenali sebagai sperma. Ketika melakukan hubungan seksual, sperma akan masuk ke dalam badan wanita melalui proses ejakulasi.

13 daripada 100 pasangan tidak dapat mengandung selepas melakukan seks. Ada banyak penyebab kemandulan dalam kalangan lelaki dan wanita, namun 1/3 daripadanya adalah disebabkan lelaki.

Ada banyak sebab mengapa lelaki mengalami masalah kesuburan. Antara punca lazim ialah masalah sperma, ejakulasi retrograde, masalah hormon, ubat-ubatan dan banyak lagi.

Rawatan untuk masalah kesuburan

Rawatan untuk masalah ini bergantung kepada punca ketidaksuburan. Kebanyakkan boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan ataupun pembedahan.

Selepas rawatan, pesakit boleh menimang cahaya mata melalui seks normal. Malah, banyak masalah ketidaksuburan boleh diperbetulkan tanpa sebarang pembedahan.

Kesimpulan

Lelaki yang mempunyai masalah kesihatan batin perlu berjumpa doktor dengan kadar yang segera. Ini bukan sahaja akan menyebabkan masalah dari segi fizikal, ia juga boleh melumpuhkan mental orang lelaki yang mengalaminya.

Letak rasa malu jauh-jauh apabila anda bercakap dengan doktor mengenai masalah kelamin atau mengenai kesuburan.

Doktor akan bantu untuk atasi masalah ini asalkan anda sudi untuk memberikan kerjasama penuh kepada doktor.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Kaiser Permanente. n.d. Men’s health issues. Accessed May 27, 2021. https://wa.kaiserpermanente.org/healthAndWellness/index.jhtml?topic=adult%2FmensHealth.
  2. Mayo Clinic. 2020. Men’s health. January 18. Accessed May 27, 2021. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/mens-health/basics/mens-health/hlv-20049438.
  3. Mayo Clinic. 2021. Penis health: Identify and prevent problems. April 20. Accessed May 27, 2021. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/mens-health/in-depth/penis-health/art-20046175.
  4. Urology Care Foundation. n.d. What is Male Infertility? Accessed May 27, 2021. https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/m/male-infertility.
  5. USC Fertility. n.d. Abnormal sperm counts and what they mean. Accessed May 27, 2021. https://uscfertility.org/fertility-treatments/abnormal-sperm-counts/.
  6. Nicolosi A, Moreira ED Jr, Shirai M, Bin Mohd Tambi MI, Glasser DB. Epidemiology of erectile dysfunction in four countries: cross-national study of the prevalence and correlates of erectile dysfunction. Urology. 2003 Jan;61(1):201-6. doi: 10.1016/s0090-4295(02)02102-7. PMID: 12559296.
  7. Tong, S. F., Low, W. Y., & Ng, C. J. (2011). Profile of men’s health in Malaysia: problems and challenges. Asian journal of andrology, 13(4), 526–533. https://doi.org/10.1038/aja.2010.125
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 01/09/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman