backup og meta

Hormon Testosteron Rendah Punca Sperma Kurang? Ini Rawatan Kaum Adam Boleh Cuba!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 27/12/2020

    Hormon Testosteron Rendah Punca Sperma Kurang? Ini Rawatan Kaum Adam Boleh Cuba!

    Tahukah anda bahawa Jun adalah Bulan Kesihatan Lelaki? Inilah masanya untuk kita semua memberi lebih perhatian, kepekaan serta kesedaran tentang perihal kesihatan kaum Adam!

    Antara isu yang sering diutarakan setiap kali berbicara tentang golongan lelaki adalah kesuburan. Ini kerana ramai juga dalam kalangan mereka yang mengalami masalah ketidaksuburan.

    Puncanya tentu sekali didalangi oleh sperma yang kurang kualiti serta kuantiti. Ada individu yang beranggapan bahawa sperma kurang adalah disebabkan oleh testosteron rendah.

    Benarkah begitu? Jika ya, apa yang boleh dilakukan? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi untuk tahu jawapannya!

    Apa itu hormon testosteron?

    Sebelum pergi dengan lebih lanjut, wajarlah untuk kita semua belajar tentang perkara asas ini terlebih dahulu.

    Untuk pengetahuan anda, hormon testosteron (turut dikenali secara saintifik sebagai ‘T’) adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh tubuh badan lelaki di dalam testis mereka.

    Ia terlibat dalam pertumbuhan tulang, rambut serta organ seks seperti zakar dan prostat. Namun yang paling utama, ia diperlukan untuk sistem seksual lelaki berfungsi dengan baik.

    Setiap individu berbeza kadar testosteron?

    Bergantung kepada individu, kadar testosteron di dalam tubuh badan masing-masing adalah berbeza-beza. Ada yang kadarnya tinggi, normal dan rendah (hypoginadism).

    Sekiranya kadar hormon ini tinggi dan normal, maka tiada apa yang kalian perlu risaukan. Pun begitu, anda mungkin akan mengalami sedikit masalah jika ia rendah.

    Antara petanda anda mempunyai kadar testosteron yang rendah adalah zakar kurang kemampuan untuk ereksi serta kurang kemahuan atau keinginan seksual (libido).

    hubungan seksual

    Kemungkinan punca kepada masalah ini termasuklah:

    • Penyakit kronik; penyakit buah pinggang, hati, obesiti, diabetes
    • Kelenjar pituitari yang kurang aktif
    • Kecederaan atau penyakit pada hypothalamus (bahagian otak yang mengawal penghasilan hormon)
    • Kecederaan atau penyakit pada testis
    • Tumor yang tidak bersifat kanser pada sel pituitari
    • Kondisi genetik; contohnya sindrom Klinefelter
    • Pengambilan ubatan tertentu; contohnya ubat tahan sakit opiate
    • Terkena radiasi
    • Rawatan kimoterapi

    Dalam pada itu, kadar hormon testosteron yang rendah dikatakan akan mempengaruhi sperma lelaki. Adakah penyataan ini benar?

    Hormon testosteron rendah punca sperma kurang?

    Jawapannya, tidak. Ini kerana penghasilan sperma tidak hanya didorongi oleh hormon ini semata-mata malahan terdapat juga pelbagai lagi hormon yang lain.

    Ya, testosteron memang diperlukan dalam penghasilan sperma. Namun kadarnya di dalam testis kebiasaannya jauh lebih tinggi berbanding yang wujud di dalam darah.

    Ini bermakna lelaki yang mempunyai kadar ‘T’ rendah dalam tubuh badan sekalipun akan memiliki kadar hormon testosteron yang cukup untuk penghasilan sperma.

    Jadi, mana datangnya kepercayaan yang mengatakan hormon testosteron rendah punca sperma kurang?

    Sebenarnya, ia bukan menyebabkan sperma kurang kualiti dan kuantiti. Sebaliknya, testosteron yang rendah akan mengakibatkan lelaki kurang kemampuan seksual.

    Masalah seperti ereksi kurang kuat, ejakulasi pramatang serta lemah libido akan menjadikan lelaki itu kurang berminat dengan aktiviti seksual bersama pasangan.

    Kesannya, kemungkinan untuk pasangan hamil adalah lebih rendah. Inilah punca mengapa ada individu yang beranggapan hormon testosteron rendah punca sperma kurang.

    kesilapan seks lelaki

    Bolehkah jika ambil rawatan hormon testosteron?

    Ramai yang akan mengesyorkan golongan ini untuk menjalani rawatan hormon testosteron bagi meningkatkan kadarnya di dalam tubuh badan. Nanti dulu!

    Menurut Dr. Puneet Masson yang merupakan Pengarah Program Kesuburan Lelaki di Penn Fertility Care, segala rawatan hormon testosteron sama ada dalam bentuk suntikan atau suplemen hanya akan menyebabkan masalah menjadi lebih teruk.

    Ini kerana pengambilannya secara klinikal akan menjadikan tubuh badan lelaki hilang kemampuan untuk menghasilkan testosteron secara semula jadi.

    Selain itu, ia juga akan mengakibatkan tubuh badan turut hilang kemampuan untuk menghasilkan hormon lain yang diperlukan untuk penghasilan sperma.

    Follicelstimulating hormone (FSH) – sangat penting untuk penghasilan sperma, adalah antara hormon yang akan terjejas teruk akibat dari rawatan ini.

    Jadi, antara rawatan alternatif yang boleh lelaki cuba adalah pengambilan ubatan clomiphene citrate dan letrozole serta suntikan hormon pituitari yang akan merangsang kenaikan kadar testosteron secara semula jadi.

    Pun begitu, sila dapatkan pandangan pakar terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk mendapatkan sebarang ubatan, suntikan atau rawatan okay!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 27/12/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan