Bagi penghidap diabetes, adakah anda tahu apa yang mesti dibuat jika bacaan gula rendah? Jika anda mengalami tanda-tanda hypo atau hipoglisemia, ikuti langkah-langkah ini untuk stabilkan semula gula darah anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Bacaan gula rendah: Tanda-tanda hypo yang mungkin anda tidak perasan
Semua penghidap diabetes pasti tahu, bahawa mereka amat mudah atau berisiko untuk mengalami bacaan gula rendah atau hipoglisemia.
Seseorang individu akan mengalami hipoglisemia jika bacaan gula mereka lebih rendah daripada 70 mg/dL atau 3.9 mmol/L.
Apabila berada dalam keadaan hipoglisemia, tubuh badan dan juga otak tidak dapat berfungsi dengan baik akibat kekurangan glukosa yang menjadi sumber utama tenaga.
Setiap individu akan menunjukkan tanda-tanda hypo yang berbeza, malah ada yang mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala.
Keadaan ini amatlah berbahaya memandangkan ia boleh mengancam nyawa jika tidak diuruskan dengan segera.
Namun secara umumnya, tanda-tanda hypo boleh berlaku seperti berikut:
- Mengalami sakit kepala
- Berpeluh
- Badan jadi menggigil atau gementar
- Jantung berdebar-debar
- Menjadi gugup atau cemas
- Berasa lapar secara tiba-tiba
- Sukar memberikan tumpuan atau fokus
Sekiranya tanda-tanda hypo ini tidak ditangani dengan kadar segera, bacaan gula rendah akan menjadi semakin teruk dan boleh menyebabkan hipoglisemia yang lebih berat.
Hipoglisemia yang lebih teruk memerlukan bantuan perubatan dengan kadar segera kerana pada waktu itu gula darah menjadi sangat rendah dan mengancam nyawa.
Buat 2 perkara ini jika bacaan gula rendah
Individu yang menggunakan rawatan insulin atau ubat-ubatan diabetes yang lain lebih berisiko untuk mengalami hipoglisemia.
Ini kerana insulin atau ubat-ubatan diabetes berpotensi menurunkan paras gula darah sehingga menjadi lebih rendah daripada yang sepatutnya.
Jika anda ada mengalami salah satu tanda-tanda hypo seperti yang telah dinyatakan di atas, sila lakukan dua perkara ini dengan segera.
#1. Bagi hipoglisemia yang baru berlaku, lakukan ini:
Persatuan Diabetes Amerika Syarikat (ADA) menyarankan “peraturan 15-15″ diguna pakai bagi menangani masalah hipoglisemia yang berlaku secara tiba-tiba.
Berikut ialah pertolongan pertama mengikut “peraturan 15-15″ untuk menangani hipoglisemia:
- Makan atau minum 15 gram karbohidrat dalam bentuk tablet glukosa, minuman teh, jus buah-buahan, minuman ringan, gula-gula atau satu sudu makan gula atau madu
- Tunggu selama 15 minit dan periksa bacaan gula darah anda selepas itu
- Jika bacaan gula darah masih lagi di bawah 70 mg/dL, ulangi makan atau minum 15 gram karbohidrat seperti sebelumnya
- Ulangi langkah-langkah di atas sehinggalah bacaan gula darah anda mencapai bacaan 70 mg/dL. Jika bacaan masih tidak berubah setelah tiga kali percubaan, segeralah berjumpa dengan doktor
[embed-health-tool-bmr]
#2. Bagi hipoglisemia yang berat, lakukan ini:
Hipoglisemia boleh dianggap semakin teruk atau berat jika bacaan gula darah anda menunjukkan bacaan kurang 40 mg/dL sehingga anda memerlukan bantuan orang lain untuk kembali normal.
Bagi kes hipoglisemia yang teruk ini, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan melakukan suntikan glukagon atau pemberian glukosa secara infusi.
Jika ada individu di sekeliling anda yang mengalami hipoglisemia berat sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri, perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah meminta bantuan kecemasan ke hospital.
Doktor akan melakukan infusi glukosa dengan dos yang sesuai.
Kesilapan dalam melakukan pertolongan cemas bagi bacaan gula yang rendah
Sila elakkan kesalahan seperti berikut ketika anda memberikan pertolongan cemas kepada diri anda atau individu dengan bacaan gula rendah:
- Mengabaikan bacaan gula rendah kerana tiada gejala. Walaupun anda tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hypo, tidak bermakna anda tidak mengalaminya langsung
- Mengabaikan gejala awal hipoglisemia. Gejala yang bersifat ringan cenderung untuk diabaikan dan ia akan bertambah teruk jika ia tidak diuruskan dengan kadar segera
- Tidak mencari bantuan perubatan dengan kadar segera ketika gejala semakin teruk. Anda perlu mendapatkan bantuan perubatan segera sekiranya gula darah tetap rendah walaupun telah melakukan pertolongan awal untuk menstabilkannya
- Jangan memilih makanan sewaktu berlaku hipoglisemia. Makanan yang terbaik sewaktu hipoglisemia ialah makanan yang manis atau makanan dengan kandungan gula yang mudah dihadam. Jika tiada, makanlah apa sahaja jenis makanan yang tersedia pada ketika itu
- Elakkan memandu kenderaan. Memandangkan hipoglisemia boleh menyebabkan anda kehilangan fokus, memandu kenderaan ketika mengalaminya bukanlah satu idea yang baik
Kesimpulan
Penghidap diabetes sangat berisiko untuk mengalami hipoglisemia, lebih-lebih lagi apabila mengambil rawatan insulin atau ubat-ubatan diabetes.
Oleh itu, amat penting untuk pesakit diabetes mengetahui kaedah pertolongan cemas atau tindakan awal bagi menstabilkan semula bacaan gula ketika mengalami hipoglisemia.
Pertolongan cemas seperti ini bukan sahaja mengurangkan gejala hipoglisemia yang dialami, tetapi juga boleh menyelamatkan nyawa pesakit diabetes.
Oleh itu, sebarkan maklumat ini kepada mana-mana individu yang anda rasa memerlukannya, tidak kira sama ada pesakit diabetes sendiri atau ahli keluarga yang berdekatan.