Makanan dengan kadar indeks glisemik 55 dan ke bawah merupakan jenis makanan yang rendah nilai GI dan amat sesuai dimakan oleh pesakit diabetes. Tetapi, apakah contoh makanan kadar indeks glisemik 55 dan ke bawah ini? Ikuti penerangan yang kami sediakan di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Apa itu indeks glisemik?
Dalam bahasa Melayu, ia disebut sebagai indeks glisemik. Manakala dalam bahasa Inggeris pula, ia dikenali sebagai glycemic index atau GI.
Ia merupakan sejenis skala yang menentukan kedudukan jumlah karbohidrat dalam makanan daripada nilai 0 hinggalah 100.
Ia berfungsi mengukur secepat mana sesuatu makanan itu menyebabkan gula darah seseorang individu meningkat.
Terdapat tiga pengkelasan atau kategori bagi indeks glisemik ini iaitu, GI rendah, sederhana dan juga tinggi.
Bagi makanan dengan nilai GI yang rendah, ia akan menunjukkan nilai indeks glisemik 55 dan ke bawah.
Makanan dengan nilai GI yang sederhana pula akan mempunyai nilai antara 56 hinggalah 69.
Manakala bagi makanan dengan nilai GI yang tinggi akan menunjukkan nilai 70 dan ke atas.
Biasanya, makanan yang terdiri daripada karbohidrat halus dan tinggi gula lebih cepat dicerna dan mempunyai nilai GI yang tinggi.
Sebagai contoh, gula tulen akan menunjukkan nilai 100 pada indeks glisemik.
Manakala makanan yang tinggi dengan kandungan protein, lemak dan juga serat biasanya mempunyai nilai GI yang rendah.
Adakah makanan dengan kadar indeks glisemik 55 dan ke bawah lebih sihat?
Sesetengah jenis makanan kadar indeks glisemik 55 dan ke bawah perlu diambil sebagai sebahagian daripada diet yang seimbang.
Namun, penggunaan nilai indeks glisemik semata-mata untuk menentukan sama ada makanan itu menyihatkan atau tidak adalah tidak tepat.
Ini kerana, makanan yang tinggi nilai GI tidak semestinya tidak sihat dan tidak semua jenis makanan dengan nilai GI yang rendah itu sihat.
Sebagai contoh, buah tembikai mempunyai nilai GI yang tinggi tetapi ia bukanlah makanan yang tidak sihat.
Begitu juga dengan kek coklat, ia mempunyai nilai GI yang rendah tetapi ia jelas sekali bukan jenis makanan yang menyihatkan.
Contoh-contoh makanan dengan kadar indeks glisemik 55 dan ke bawah
Terdapat banyak jenis makanan yang mempunyai nilai GI yang rendah.
Kebanyakannya adalah jenis makanan yang menyihatkan dan boleh dijadikan sebagai diet harian.
Antara makanan dengan kadar indeks glisemik 55 dan ke bawah ialah seperti spageti, jagung manis, asparagus, brokoli, timun, salad, bayam, tomato dan kacang kuda.
Untuk buah-buahan yang rendah nilai GI pula ialah seperti epal, pic, oren, anggur dan juga pisang.
Begitu juga dengan yogurt rendah lemak, susu dan susu soya, kesemuanya adalah makanan yang rendah GI dan sesuai untuk diambil oleh pesakit diabetes.
Hampir semua jenis kekacang juga mempunyai nilai GI yang rendah.
Kelebihan mengikuti diet rendah GI
Bagi anda yang sering mengambil makanan yang diproses, tinggi karbohidrat dan juga gula, anda mungkin mahu menggantikannya dengan makanan yang rendah GI.
Lebih-lebih lagi jika anda ada menghidap penyakit kencing manis.
Ini kerana, diet yang rendah nilai GI boleh memberikan manfaat yang terbaik kepada diri anda.
Antara kelebihan utama jika anda mengamalkan diet yang rendah nilai GI ialah:
#1. Mengawal gula darah ke tahap yang lebih baik
Banyak kajian mendapati bahawa dengan mengikuti diet rendah GI, ia boleh membantu mengurangkan paras gula dalam darah.
Selain itu, ia juga boleh memperbaiki pengurusan gula darah dalam kalangan penghidap diabetes jenis 2.
#2. Mengurangkan paras kolesterol dalam tubuh
Sekiranya anda mengikuti pemakanan yang rendah nilai GI, ia juga boleh membantu mengurangkan paras kolesterol jahat dalam tubuh.
Kolesterol jahat merupakan antara faktor utama kepada penyakit berkaitan jantung.
#3. Mengurangkan berat badan
Ada kajian mendapati, jika seseorang itu mengikuti pemakanan yang rendah nilai GI, ia boleh membantu mengurangkan berat badan dalam jangka masa pendek.
Namun, lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan kesannya terhadap pengurusan berat badan jangka panjang.
Kesimpulan
Walaupun jenis makanan tertentu mengandungi nilai GI yang khusus, terdapat juga beberapa faktor lain yang boleh mempengaruhi nilai GI sesuatu makanan.
Antaranya ialah komposisi nutrien, kematangan makanan, kaedah memasak makanan dan juga jumlah pemprosesan yang telah dilalui oleh makanan tersebut.
Walau bagaimanapun, jika anda terus mengikuti pelan diet yang rendah nilai GI, ia sememangnya memberikan banyak manfaat seperti yang telah diterangkan di atas.
Manfaat ini sudah tentunya sangat berguna kepada penghidap penyakit kencing manis.
[embed-health-tool-bmi]