backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Mama, Apabila Si Manja Capai Usia Ini, Tak Perlu Lagi Beri Susu Formula!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/03/2022

    Mama, Apabila Si Manja Capai Usia Ini, Tak Perlu Lagi Beri Susu Formula!

    Umum mengetahui, ibu-ibu disarankan untuk meneruskan penyusuan badan sehingga bayi berusia 2 tahun. Tetapi bagaimana pula dengan susu formula? Jom ketahui tempoh penyusuan bayi yang disarankan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Saranan tempoh penyusuan bayi dan kanak-kanak

    Kita mengetahui mengenai kepentingan pemakanan seimbang dan keperluan nutrien untuk tumbesaran si kecil. 

    Namun bagaimana dengan susu? Adakah ia sebahagian daripada diet keseluruhan? Adakah ia perlu diberikan sepanjang 5 tahun pertama tumbesaran si kecil?

    Bertenang, berikut Hello Doktor kongsikan mengenai saranan tempoh penyusuan bayi dan kanak-kanak sama ada melibatkan susu ibu mahupun susu formula.

    Tempoh penyusuan bayi 0-6 bulan

    Susu ibu 

    Bagi bayi yang baru lahir, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan untuk diberikan penyusuan susu badan selama 6 bulan pertama kehidupan. 

    Kemudian penyusuan diteruskan bersama pengambilan makanan berkhasiat pelengkap sehingga usia bayi 2 tahun atau selama yang anda dan si manja inginkan.

    Ini kerana penyusuan susu ibu menawarkan beberapa kebaikan bukan sahaja kepada bayi, malahan kepada ibu sendiri.

    Penyusuan susu badan memberikan bayi semua nutrisi penting dan penghidratan yang diperlukan dan dapat menyesuaikan diri mengikut keperluan si manja yang sentiasa berubah-ubah.

    Ia juga membantu melindungi bayi daripada jangkitan dan membina sistem imun yang sihat. 

    Di samping itu, kelebihan penyusuan susu badan ini adalah ia merupakan cara yang mudah dan murah untuk memberikan si manja makan di mana sahaja tanpa mengira masa.

    tempoh penyusuan bayi

    Susu formula bayi

    Namun tidak semua ibu dapat melakukan penyusuan susu badan.

    Maka pemberian susu formula adalah pilihan paling sesuai untuk menggantikan susu ibu dan menjadi satu-satunya sumber nutrisi si manja semasa fasa penyusuan bayi bagi 6 bulan pertama.

    Susu ibu atau susu formula bayi harus menjadi minuman pertama bayi semasa tahun pertama kehidupan mereka. Susu lembu dan alternatif lain tidak boleh diberikan sehinggalah si manja berusia 1 tahun.

    6-12 bulan 

    Apabila bayi mencecah usia 6 bulan, anda akan mula memperkenalkan makanan pejal dan jumlah makanan yang diberikan ke dalam diet mereka akan bertambah dari masa ke masa, sekali gus keinginan si manja untuk menyusu akan beransur-ansur berkurangan.

    Jika anda menyusu badan, bayi akan secara semula jadi menyesuaikan jumlah susu yang diperlukan mengikut makanan lain yang mereka makan.

    Manakala bayi yang diberikan susu formula, mereka mungkin memerlukan sekitar 600 ml sehari pada usia 7-9 bulan dan akan menurun sehingga anggaran 400 ml pada usia 10-12 bulan – ini hanyalah sekadar panduan. 

    Anda boleh mula menawarkan susu lembu atau alternatif lain dengan mencampurkannya dalam masakan.

    Tetapi harus diingatkan, pilihan susu ini tidak boleh ditawarkan sebagai minuman utama menggantikan susu ibu mahupun susu formula.

    Baca juga:

    Tempoh penyusuan bayi 12-24 bulan

    Apabila anak memasuki usia setahun, mereka akan makan lebih banyak, kerap dan memperolehi sebahagian besar nutrisi daripada pemakanan selain susu.

    WHO mengesyorkan agar bayi terus diberikan susu ibu sehingga berusia 2 tahun dan seterusnya mengikut keinginan si manja dan ibu.

    Tetapi amnya, keperluan penyusuan susu ibu akan berkurang kerana pengambilan pelbagai jenis makanan lain.

    Selepas 12 bulan, pemberian susu formula kepada si manja boleh dihentikan kerana mereka mempunyai pilihan lain untuk dijadikan sebagai minuman harian, seperti:

    Susu lembu

    Kanak-kanak bawah usia 2 tahun, harus diberikan susu lembu penuh lemak untuk membantu mereka memperoleh tenaga yang mencukupi.

    Susu kambing

    Susu ini juga tidak boleh dijadikan minuman utama sehingga bayi berusia 12 bulan. Namun ia harus dipastikan telah dipasteur sebelum diberikan kepada si manja.

    Susu soya & susu alternatif lain

    tempoh penyusuan bayi

    Susu berasaskan tumbuhan seperti soya, oat, badan dan susu kacang lain boleh ditawarkan atau digunakan dalam makanan si manja.

    Namun susu jenis ini tidak mempunyai nutrisi setanding susu lembu, jadi ia tidak boleh digunakan sebagai pengganti langsung susu lembu dalam diet anak.

    Tempoh penyusuan bayi 2 tahun ke atas

    Selepas berumur 2 tahun, anak akan mula mengamalkan diet yang pelbagai, seimbang dan mungkin kurang bergantung kepada susu sebagai sumber nutrien.

    Sekitar 350-400 ml susu atau 3 hidangan harian makanan tenusu disyorkan untuk anak berusia 1-3 tahun.

    Sekiranya tidak memasukkan makanan tenusu dalam diet anak, anda mungkin ingin mempertimbangkan untuk menggantikan kehilangan nutrien tersebut dengan pengambilan makanan lain.

    tempoh penyusuan bayi

    Kesimpulannya

    Tempoh penyusuan bayi yang diberikan susu badan digalakkan untuk diteruskan sehingga anak berusia 2 tahun, manakala anak yang berusia setahun tidak lagi perlu bergantung kepada susu formula dan boleh bertukar kepada susu lembu penuh lemak.

    Namun tidak dinafikan ada anak yang tidak suka minum susu dan jika itu situasinya, usah memaksa mereka.

    Anak kecil sememangnya memerlukan nutrien dalam susu – kalsium dan protein – walau bagaimanapun, nutrien ini juga boleh didapati dalam sumber makanan lain.

    Jika anda tidak pasti makanan yang boleh membekalkan kalsium dan protein untuk si manja, berundinglah dengan doktor untuk lebih kepastian. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan