Pernahkah anda lihat bayi yang baru lahir? Kulit mereka diselubungi dengan rambut yang dikenali sebagai lanugo.
Jika anda tidak tahu akan lanugo, pasti anda tertanya-tanya, bahayakah rambut tersebut?
Lanugo adalah rambut halus yang boleh tumbuh di merata badan terutamanya pada bahagian belakang, bahu, lengan dan dahi bayi.
Ia mempunyai fungsi khas bagi melindungi bayi ketika di dalam kandungan.
Kawasan badan yang tidak mempunyai folikel rambut seperti bibir, tapak tangan dan kaki tidak mengalami pertumbuhan lanugo.
Kebanyakan bayi yang mempunyai lanugo adalah mereka yang mengalami kelahiran pramatang.
Pun begitu, bayi yang lahir matang juga boleh dilahirkan dengan lanugo.
Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau. Ia bukanlah satu petanda masalah kesihatan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Bukan sekadar perhiasan, ini rupanya fungsi lanugo
Banyak kajian telah dijalankan bagi memahami fungsi lanugo dan bagaimana ia berupaya untuk melindungi janin di dalam kandungan.
Antaranya adalah:
- Melindungi kulit: Oleh sebab air ketuban boleh mempengaruhi keadaan kulit bayi, cecair vernix caseosa (cecair putih pekat) bertindak sebagai pelindung utama. Namun, ia tidak berupaya untuk melekat pada permukaan kulit bayi. Lanugo merupakan struktur anatomi yang memegang cecair vernix bagi melindungi kulit bayi.
- Mengawal suhu badan bayi: Pada fasa awal kehamilan, lanugo merupakan struktur utama yang mengawal suhu badan bayi sebelum lapisan lemak terbentuk dan mengambil alih fungsi tersebut.
- Merangsang tumbesaran dan perkembangan bayi: Terdapat kajian yang menunjukkan keupayaan lanugo untuk merangsang rembesan hormon bagi mengurangkan stres dan menggalakkan proses tumbesaran dalam badan.
Pembentukan lanugo kebiasaannya berlaku pada sekitar minggu ke 16 hingga 20.
Jumlah rambut halus tersebut berada pada tahap yang paling tinggi apabila bayi mencecah usia 28 minggu.
Setelah ibu hamil memasuki trimester ketiga, lanugo akan gugur perlahan-lahan.
Semakin dekat dengan tarikh matang kehamilan, semakin kuranglah lanugo pada permukaan kulit bayi.
Tatkala bayi dilahirkan, jumlah lanugo tinggal sedikit dan lama-kelamaan, semuanya gugur.
Oleh sebab itulah, jika anda lihat bayi yang lahir lewat (lebih daripada 42 minggu), kulit mereka lebih berkedut.
Ia berikutan pendedahan secara langsung kulit kepada air ketuban. Tanpa lanugo, cecair vernix tidak boleh melindungi kulit bayi.
Rambut tersebut akan digantikan dengan rambut yang lebih halus kelak. Ia dikenali sebagai rambut vellus.
Baca juga: