
Avokado mungkin menjadi pilihan pertama para ibu ketika ingin memperkenalkan bayi mereka kepada buah-buahan. Anda juga mungkin akan melakukan perkara yang sama jika anda mengetahui manfaat avokado kepada bayi anda:
1. Perkembangan otak, kesihatan jantung, dan faedah lain
Avokado adalah makanan berkalori tinggi yang mengandungi sehingga 160 kalori setiap 100 gram. 75 hingga 80 peratus daripada kalorinya berasal daripada lemak, menjadikannya salah satu buah penuh lemak. Walau bagaimanapun, majoriti lemak dalam avokado adalah asid oleik – sejenis lemak tak tepu mono (monounsaturated fat) yang memainkan peranan penting dalam pembentukan, fungsi, dan perkembangan otak dan sistem visual.
Memandangkan 2 tahun pertama kehidupan kanak-kanak adalah waktu pertumbuhan intelek utama mereka berlaku, avokado menjadi salah satu sumber makanan yang paling penting untuk ditambah dalam diet setiap kanak-kanak.
Tahap lemak tak tepu mono juga terbukti dapat meningkatkan kesihatan jantung dan meningkatkan penyerapan vitamin larut lemak lain seperti vitamin A, E, D, dan K.
2. Peningkatan imuniti
Avokado sarat dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral, yang menjadikannya salah satu sumber makanan terbaik untuk meningkatkan sistem imuniti tubuh seseorang apatah lagi dengan rasanya yang enak. Malah, dalam hanya 1 hidangan avokado, yang hanya kira-kira separuh buah, kita boleh mendapatkan:
-60 miligram folat (15 peratus daripada keperluan harian): Folat adalah penting untuk fungsi sel normal dan pertumbuhan tisu. Diet wanita hamil yang kaya dengan folat akan mengurangkan risiko janin mendapat kecacatan tiub neural.
-14 miligram vitamin K (19 peratus daripada keperluan harian): Vitamin K adalah penting untuk pembekuan darah, pembentukan protein dalam hati, dan perkembangan tulang yang sihat. Sekiranya bayi tidak mendapat vitamin K yang mencukupi dalam diet mereka, mereka berisiko mengalami keadaan yang disebut sebagai pendarahan disebabkan kekurangan vitamin K di mana mereka tidak dapat sembuh daripada luka dan menghentikan pendarahan.
-6 miligram vitamin C (12 peratus daripada keperluan harian): Vitamin C membantu menguatkan gusi, tulang, dan saluran darah bayi. Ia juga menyumbang kepada pembentukan sel darah merah dan penyerapan zat besi yang efektif.
-343 miligram kalium (10 peratus daripada keperluan harian): Potassium atau kalium mengawal keseimbangan air tubuh, mengekalkan tekanan darah yang sihat dan dapat mengurangkan risiko osteoporosis serta batu karang dalam ginjal. Avokado mengandungi lebih banyak kalium daripada pisang, yang lebih terkenal sebagai makanan kaya kalium.
-Avokado juga merupakan sumber yang kaya dengan vitamin B, itamin E, dan asid pantothenik.
3. Penyingkiran toksin
Selain daripada menyediakan pelbagai nutrien penting, avokado juga boleh berfungsi untuk menyingkirkan toksin dalam tubuh kerana ia mengandungi lebih banyak serat larut air dan sifat antioksidan berbanding kebanyakan makanan. Jumlah serat yang tinggi menggalakkan pergerakan usus yang teratur sementara sebatian antioksidan dan antimikrob yang terdapat dalam avokado telah terbukti dapat meneutralkan dan menghapuskan radikal bebas dan bahan kimia beracun daripada tubuh manusia.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.