backup og meta

Ibu Ayah, Kalau Bayi Gemar Gosok Mata, Perhatikan Tanda Ini, Takut Nanti Jadi Buta!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 07/06/2022

    Ibu Ayah, Kalau Bayi Gemar Gosok Mata, Perhatikan Tanda Ini, Takut Nanti Jadi Buta!

    Terdapat pelbagai jenis kecacatan kelahiran, salah satunya adalah kebutaan pada bayi. Bagaimana ingin kenal pasti? Apakah ciri-ciri yang harus diperhatikan?

    Teruskan pembacaan anda.

    Fahami kebutaan

    Kemampuan untuk melihat dengan baik dan jelas pada bayi memainkan peranan penting dalam menyokong proses perkembangannya.

    Jadi, apakah tanda-tanda atau ciri yang perlu dipertimbangkan untuk mengenal pasti sama ada bayi anda mengalami kebutaan?

    Sebelum mengetahui tentang perkara ini, fahami dahulu maksud kebutaan.

    Kebutaan adalah ketidakupayaan segelintir individu untuk melihat apa-apa, termasuk cahaya dan golongan ini dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

    Kebutaan juga mempunyai tahapnya yang tersendiri, sama ada buta secara total ataupun buta separa.

    Bagi golongan yang buta separa, mereka mungkin mempunyai penglihatan kabur atau ketidakupayaan untuk membezakan bentuk objek.

    Namun bagi golongan buta sepenuhnya mereka tidak akan dapat melihat sebarang objek atau cahaya sama sekali.

    Apakah ciri-ciri buta?

    penyakit mata

    Sekiranya anda benar-benar buta, anda tidak akan melihat apa-apa. Manakala bagi golongan buta secara separa, mereka mungkin mengalami ciri-ciri penglihatan yang berikut:

    • Penglihatan tidak jelas seakan kelabu
    • Ketidakupayaan untuk melihat bentuk
    • Hanya mampu melihat bayang-bayang
    • Penglihatan malam yang buruk
    • Penglihatan sempit

    Demikian adalah ciri-ciri bagi golongan yang buta secara separa, tetapi apa pula simptom kebutaan pada bayi?

    Ciri-ciri kebutaan pada bayi dan kanak-kanak

    Keupayaan bayi untuk melihat dengan jelas ada kaitannya dengan mata dan otak.

    Selain itu, mata terdiri daripada pelbagai bahagian termasuk kornea, lensa, iris, dan retina.

    Semua bahagian mata bekerjasama sehingga cahaya, gambar, dan objek yang dilihat dapat ditangkap dengan jelas dan difokuskan oleh mata.

    Selanjutnya, saraf pada mata bertanggungjawab untuk menghantar objek, gambar, dan cahaya yang dapat dilihat ke otak.

    Lalu, otak akan berfungsi untuk memproses dan mengenali apa yang dilihat oleh mata.

    Walaupun prosesnya kelihatan rumit, sebenarnya kerjasama antara mata dan otak sehingga ketika seseorang individu melihat berlaku dalam masa yang singkat.

    Justeru, apabila rangkaian proses ini tidak berjalan dengan baik, si manja anda akan menunjukkan tanda-tanda kebutaan.

    Tanda-tanda atau ciri kebutaan pada bayi boleh berlaku pada satu atau kedua-dua belah mata.

    Sebilangan besar bayi biasanya mula fokus melihat wajah dan objek sejak lahir. Namun, ada juga yang mengembangkan kemampuan ini pada usia 4 minggu hingga 5 minggu.

    Malangnya, jika bayi mengalami masalah penglihatan, secara automatik kemampuan ini tidak akan berkembang dengan baik.

    Untuk mengenal pasti sama ada si manja anda mempunyai kesukaran untuk melihat atau buta, pastikan ibu bapa memerhatikan ciri-ciri di bawah:

    • Mempunyai sensitiviti tinggi terhadap cahaya
    • Mempunyai fokus mata yang lemah
    • Gosok mata dengan kerap
    • Mata merah yang kronik
    • Mempunyai kesukaran untuk melihat atau memerhatikan objek
    • Pergerakan mata yang tidak normal selepas bayi berusia 6 bulan
    • Bayi berusia lebih daripada 1 bulan tetapi cahaya, telefon bimbit atau alatan lain tidak menarik perhatiannya
    • Mata bayi anda tidak pernah terbuka

    Selain bayi, ibu bapa juga boleh memerhatikan ciri-ciri ini pada anak yang lebih besar.

    Sama seperti apa yang dialami oleh bayi, berikut adalah ciri-ciri mata buta pada kanak-kanak:

    • Mata kelihatan tidak sejajar, seperti juling atau tidak fokus
    • Mata kemerah-merahan
    • Terdapat kerak pada satu atau kedua mata
    • Satu atau kedua mata sentiasa berair
    • Kelopak mata terkulai atau kelihatan tidak normal
    • Mata sensitif terhadap cahaya

    Pemeriksaan mata bayi dan kanak-kanak

    lobak-merah-mitos-penglihatan

    Bagi kanak-kanak yang boleh membaca, doktor akan menilai fungsi penglihatan anak dengan memintanya membaca huruf dalam pelbagai ukuran.

    Pemeriksaan mata ini bertujuan untuk mengetahui seberapa baik kemampuan penglihatan mereka.

    Sekiranya penglihatan anak anda sihat, secara umumnya dia dapat membaca huruf dengan ukuran berbeza dalam jarak 20 kaki atau 6 meter.

    Sementara itu, bagi anak yang belum dapat membaca, doktor boleh melakukan pemeriksaan visual menggunakan ujian khas.

    Ujian yang dapat dilakukan, misalnya, dengan meletakkan mainan di depan bayi untuk menilai seberapa fokus penglihatan mereka.

    Selain itu, doktor juga dapat memeriksa kemampuan penglihatan bayi dan kanak-kanak dengan menggunakan alat pencahayaan khas.

    Alat ini berfungsi untuk membolehkan doktor melihat di dalam bebola mata si kecil anda. Dengan cara ini, doktor mata akan melihat setiap bahagian mata si kecil anda untuk mengetahui masalah yang mempengaruhi kemampuannya untuk melihat.

    Selepas itu, barulah doktor dapat menentukan langkah-langkah yang tepat untuk merawat masalah penglihatan pada anak anda.

    Konklusi

    Sekiranya anda mendapati mata si manja memenuhi kriteria di atas atau kelihatan berbeza, jangan buang masa dan segera bertemu dengan pakar mata sebelum kondisi bertambah melarat.

    Untuk mengesan penyakit mata dan membantu mencegah kehilangan penglihatan, pastikan anda bawa anak-anak melakukan pemeriksaan mata secara berkala.

    Para pakar turut mengesyorkan agar mata kanak-kanak diperiksa:

    • Pada usia 6 bulan
    • Pada usia 3 tahun
    • Setiap tahun antara 6 hingga 17 tahun

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 07/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan