backup og meta

Bahasa Isyarat Bukan Hanya Untuk OKU, Orang Biasa Juga Kena Belajar! Ini Sebabnya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 28/06/2021

    Bahasa Isyarat Bukan Hanya Untuk OKU, Orang Biasa Juga Kena Belajar! Ini Sebabnya

    Orang kelainan upaya (OKU) adalah insan istimewa yang mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi dan berinteraksi, salah satunya adalah melalui penggunaan bahasa isyarat.

    Seperti yang kita semua ketahui, bahasa isyarat merupakan bahasa berbentuk visual dan bermanfaat bagi golongan ini terutamanya mereka yang pekak dan bisu.

    Namun, tahukah anda sebenarnya bahasa isyarat ini bukan hanya bermanfaat untuk golongan OKU sahaja, bahkan individu normal juga turut boleh peroleh kebaikan daripadanya.

    Sempena Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa yang berlangsung pada 23 September ini, kami sediakan artikel mengenai manfaat penggunaan bahasa isyarat yang bukan sahaja terhad kepada orang kelainan upaya.

    Jom ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!

    Fahami apa itu bahasa isyarat

    bahasa isyarat

    Bahasa ini merangkumi tanda yang dibuat melalui pergerakan tangan dan organ lain, termasuk ekspresi wajah serta postur badan. Ia digunakan terutamanya oleh individu yang pekak.

    Di samping itu, bahasa isyarat juga mempunyai beberapa jenis yang berbeza seperti bahasa isyarat Inggeris serta Amerika.

    Bagi bahasa isyarat Inggeris (BSL), ia tidak mudah difahami oleh pengguna bahasa isyarat Amerika (ASL).

    Namun begitu, tahukah anda bahawa bahasa isyarat bukan sahaja membantu orang kelainan upaya, malahan individu dengan masalah berikut juga boleh mendapat manfaat daripadanya, seperti:

    1. Autisme

    Kanak-kanak dengan masalah autisme sering kali bergelut dengan komunikasi dan bahasa yang dituturkan.

    Justeru, bahasa isyarat adalah antara pilihan lain untuk berkomunikasi. Penyelidikan menunjukkan bahawa ia dapat membantu perkembangan pertuturan, interaksi sosial dan pembelajaran kata-kata baru.

    Komunikasi secara visual ini dikatakan dapat membantu individu autisme yang sukar untuk berkomunikasi.

    2. Apraxia of Speech

    Apraxia of Speech adalah gangguan pertuturan motor yang mempengaruhi mesej dari otak sehingga ke mulut.

    Masalah ini akan menyukarkan seseorang individu untuk menggerakkan bibir, lidah dan melontarkan bunyi dengan betul.

    Oleh itu, bahasa isyarat dapat membantu golongan ini bersuara untuk bercakap dengan mengingati proses motor untuk melontarkan sebutan perkataan.

    Selain itu, bahasa ini juga memberikan manfaat kepada mereka secara emosi dan juga sosial.

    3. Cerebral Palsy

    Cerebral Palsy boleh mempengaruhi cara seseorang dalam menggerakkan mulut, rahang, kepala serta bahagian badannya yang lain.

    Ia juga mampu menyukarkan golongan ini untuk bercakap dan makan. Terapi pertuturan dan bahasa isyarat dapat membantu meningkatkan masalah komunikasi bagi kanak-kanak dengan Cerebral Palsy.

    4. Sindrom Down

    Down Syndrome adalah kondisi genetik disebabkan oleh kromosom tambahan. Individu yang mengalaminya akan mendapat perkembangan yang perlahan dan juga masalah kesukaran untuk belajar.

    Bahasa isyarat juga dapat membantu bayi dan kanak-kanak dengan masalah sindrom Down dengan cara meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

    Selain itu, ia dapat menyokong dalam pengembangan bahasa ekspresif, komunikasi fungsi, dan kemahiran sosial.

    Pernahkah anda mendengar bahawa mengajar bahasa isyarat kepada bayi adalah cara yang baik untuk meningkatkan kemahiran komunikasi sebelum mereka dapat berkomunikasi melalui pertuturan?

    Menurut para penyelidik, belajar bahasa isyarat mungkin bermanfaat pada tahun-tahun pertama kehidupan seseorang bayi.

    Di samping itu, mempunyai kemahiran bahasa isyarat adalah baik bagi golongan kanak-kanak serta juga orang dewasa. Ia bukan hanya terhad kepada golongan OKU.

    Beberapa faedah yang akan dinyatakan di bawah ini mungkin mengejutkan anda!

    Baca juga:

    5 faedah belajar bahasa isyarat

    1. Meningkatkan kemahiran mengeja

    Penyelidikan menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempelajari kemahiran asas bahasa isyarat seperti bahasa isyarat Amerika (ASL), mempunyai peningkatan dalam kemahiran mengeja.

    Tambahan itu, mempelajari bahasa ini dapat membantu memberi anak-anak satu ‘peralatan’ lain untuk mengingat ejaan perkataan dan meninggalkan kesan yang lebih besar pada otak.

    2. Meningkatkan kemahiran motor kecil

    Bahasa isyarat boleh membantu mengembangkan kemahiran motor kecil dengan cara menggunakan isyarat tangan.

    Mereka yang berjaya menggunakan kekuatan dan koordinasi otot yang kecil dapat belajar untuk berkomunikasi bahasa lain dengan lebih berkesan.

    3. Membina kemahiran berkomunikasi secara keseluruhan

    bercakap-dengan-anak

    Apabila berfikir mengenai ‘bahasa,’ anda mungkin hanya memikirkan bahasa ibunda yang dituturkan, seperti bahasa Melayu.

    Walau bagaimanapun, bahasa sebenarnya melibatkan aspek-aspek yang lain termasuk bahasa badan, bahasa emosi, dan banyak lagi.

    Kajian ada menunjukkan individu yang menguasai kemahiran ini, mempunyai kebolehan yang lebih baik untuk membaca bahasa badan secara umum.

    Bahasa isyarat juga membantu menyampaikan emosi, terutamanya bagi individu yang sukar mengekspresikan emosi mereka melalui pertuturan.

    4. Membina perbendaharaan kata yang lebih baik

    Mereka yang mempunyai kecenderungan semula jadi menggunakan badan mereka untuk berkomunikasi seperti menunjuk, mengangkat bahu, atau mengerut hidung, akan mendapat manfaat yang lebih apabila mempelajari bahasa ini.

    Bahasa isyarat menggunakan kecenderungan semula jadi dan membantu mengukuhkan perbendaharaan kata dan makna perkataan.

    Rumusan

    Dapat dilihat bahawa penggunaan bahasa isyarat tidak hanya terhad bagi golongan OKU, mereka yang mempunyai masalah pertuturan malah kanak-kanak juga boleh mendapat manfaat dengan mempelajarinya!

    Bahasa isyarat bukan sahaja merupakan medium komunikasi bahkan mampu meningkatkan kemahiran mengeja, membina perbendaharaan kata dan banyak lagi, seperti yang dinyatakan di atas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 28/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan