Masalah pernafasan seperti jangkitan selesema adalah keadaan yang biasa berlaku kepada sesiapa termasuklah kanak-kanak. Namun jika anak dijangkiti penyakit influenza, ibu bapa perlu berwaspada kerana ia boleh mengakibatkan kematian!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Apa itu jangkitan penyakit influenza?
Saluran pernafasan manusia membolehkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida. Namun, ia juga boleh menjadi laluan untuk virus menjangkiti tubuh kita.
Keadaan ini juga menjadikannya tempat masuk yang mudah bagi virus yang berpotensi menjadi punca penyakit.
Ciri ciri influenza adalah ia boleh menularkan virus dari seorang individu kepada yang lain1.
Apabila seseorang yang dijangkiti flu batuk atau bersin, virus influenza akan tersebar ke udara. Kemudian, individu berdekatan, termasuk kanak-kanak, boleh menyedutnya melalui hidung atau mulut.
Kebanyakan kanak-kanak menghidap flu untuk tempoh kurang daripada seminggu. Namun begitu, terdapat juga yang mengalami keadaan lebih serius dan perlu menerima rawatan di hospital.
Penyakit flu ini juga boleh menyebabkan radang paru-paru (pneumonia) atau kematian2.
Dapatkan vaksin influenza anda di klinik berdekatan. Klik link di bawah untuk buat janji temu dengan klinik berhampiran anda!
Risiko dijangkiti penyakit influenza
Seorang kanak-kanak lebih berisiko dijangkiti flu sekiranya2:
- Dikelilingi individu dengan flu
- Belum mendapat vaksin flu
- Tidak membasuh tangan selepas menyentuh permukaan yang dijangkiti
Punca penyakit influenza
Virus flu boleh terbahagi kepada 3 jenis3:
-
Influenza jenis A dan B
2 jenis virus ini sering kali menyebabkan peningkatan jangkitan. Komplikasi paling teruk adalah kematian, terutamanya ketika musim sejuk.
Salah satu sebab virus flu ini masih sukar dibendung kerana ia bermutasi (berubah). Ini bermakna setiap tahun, jangkitan virus jenis baharu akan berlaku.
-
Penyakit influenza jenis C
Virus jenis ini menyebabkan masalah pernafasan ringan atau tidak bergejala. Ia tidak menular dan tidak mengakibatkan kesan teruk kepada individu sekeliling seperti influenza jenis A dan B.
Risiko untuk dijangkiti ketiga-tiga jenis virus ini adalah tinggi, iaitu dalam tempoh 24 jam sebelum gejala bermula dan semasa ia paling aktif.
Manakala, kebarangkalian penularan jangkitan akan berakhir adalah dalam tempoh 5 hingga 7 hari selepas dijangkiti.
Virus flu boleh disebarkan daripada seorang kanak-kanak kepada yang lain semasa bersin atau batuk.
Virus ini juga boleh hidup pada permukaan seperti tombol pintu, barang permainan, pen atau pensel, papan kekunci, telefon dan tablet walaupun untuk tempoh yang singkat. Ia juga boleh menular melalui perkongsian peralatan makanan dan minuman.
Anak boleh mendapat jangkitan virus flu dengan menyentuh sesuatu yang disentuh individu dijangkiti, dan kemudian menyentuh mulut, hidung atau mata mereka.
Ciri ciri influenza pada anak
Walaupun flu adalah berkaitan masalah pernafasan, namun ia boleh menjejaskan seluruh badan. Kanak-kanak boleh jatuh sakit dan mengalami mana-mana atau semua simptom berikut1,2:
- Demam melebihi 38°C ke 40.5°C
- Sakit badan, boleh menjadi teruk
- Sakit kepala
- Sakit tekak
- Batuk yang semakin teruk
- Keletihan
- Hidung tersumbat atau berair
- Badan menggigil
Dalam sesetengah kes, kanak-kanak boleh mengalami simptom seperti:
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit
Kebanyakan kanak-kanak akan pulih daripada flu dalam tempoh seminggu. Namun begitu, terdapat kemungkinan mereka akan mengalami keletihan yang berlanjutan selama 3 hingga 4 minggu.
Oleh itu, amat penting untuk mengetahui bahawa ciri ciri influenza dan selesema biasa adalah berbeza, seperti:
Selesema biasanya ringan dan akan hilang selepas beberapa hari2. Sebaliknya, flu boleh mengakibatkan gejala yang teruk dan berisiko mengembangkan masalah kesihatan seperti pneumonia, bahkan boleh mengancam nyawa!
Berita baiknya, terdapat langkah pencegahan yang boleh anda lakukan untuk menghindari jangkitan penyakit influenza kepada si kecil.
Langkah pencegahan dengan vaksinasi
Cara terbaik untuk mencegah jangkitan adalah dengan mendapatkan vaksin influenza tahunan2.
Anak yang berusia lebih 6 bulan amat disarankan untuk mendapat suntikan vaksinasi ini setiap tahun.
Sekiranya terdapat anak kecil di bawah usia 5 tahun atau individu dengan masalah kesihatan kronik serius di rumah, semua individu yang tinggal serumah perlu mendapatkan suntikan flu4.
Mendapatkan suntikan vaksinasi flu adalah penting terutamanya jika terdapat bayi di bawah usia 6 bulan yang tinggal bersama.
Ini kerana kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut tidak boleh diberikan suntikan flu dan berisiko tinggi untuk dijangkiti.
Tip pencegahan lain
- Ajari anak untuk menutup hidung dan mulut dengan tisu, dihalakan ke lengan atau siku (sekiranya tiada tisu) semasa bersin atau batuk5
- Amalkan tabiat mencuci tangan
- Elakkan berkongsi barang mainan yang dimasukkan ke mulut si kecil sehingga dibersihkan
- Elakkan berkongsi cawan, perkakasan dapur atau tuala sehingga dicuci
- Pastikan anak menerima semua vaksin yang disyorkan, ia membantu mencegah beberapa komplikasi seperti jangkitan kuman pada telinga atau paru-paru4
Kaedah rawatan penyakit influenza
Rawatan akan bergantung pada simptom, umur dan kesihatan anak. Ia juga bergantung kepada tahap keterukan keadaan kanak-kanak tersebut.
Amnya, matlamat rawatan adalah untuk membantu mencegah atau meredakan simptom.
Rawatan mungkin termasuk ubat-ubatan seperti1,5:
Acetaminophen
Ini untuk membantu mengurangkan sakit badan dan demam. Jangan berikan aspirin kepada kanak-kanak yang demam kerana berisiko mengalami sindrom Reye.
Ubat antivirus
Ini boleh membantu meringankan gejala dan memendekkan tempoh penyakit. Ubat ini boleh mengurangkan kemungkinan mendapat jangkitan telinga akibat selesema.
Ia juga mungkin dapat mengurangkan komplikasi lain termasuk keperluan untuk dimasukkan ke hospital.
Ubat ini paling berguna sekiranya diberi dalam masa 2 hari selepas gejala bermula. Namun ia juga boleh diberikan kemudian jika anak mengalami komplikasi atau berisiko tinggi untuk mengalaminya1.
Pastikan juga anak mendapat rawatan influenza di rumah seperti5:
- Banyakkan berehat
- Minum air secukupnya
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan penyakit influenza, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.
[embed-health-tool-child-growth-chart]