home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Si Kecil Cirit-birit? Mama Lakukan Ini Elak Bayi Dehidrasi

Si Kecil Cirit-birit? Mama Lakukan Ini Elak Bayi Dehidrasi

Apabila bayi cirit birit, ia keadaan yang membimbangkan kerana boleh menyebabkan si manja dehidrasi. Jom ketahui petua hilangkan cirit-birit bayi melalui penyusuan dan pemakanan.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Keadaan bayi cirit birit

Cirit-birit adalah apabila keluar najis cair atau berair.

Bagi sesetengah anak, ia adalah masalah ringan dan akan hilang dalam masa beberapa hari. Namun ada juga yang berlanjutan.

Jika itu situasinya ia akan menyebabkan si kecil kehilangan terlalu banyak cecair atau mengalami dehidrasi dan berasa lemah.

Dehidrasi kesan bayi cirit birit

Dehidrasi bermakna tubuh kehilangan terlalu banyak cecair – boleh terjadi kerana cirit-birit. Biasanya akan turut menyebabkan kehilangan 3% berat badan.

Ia merupakan komplikasi cirit-birit yang tidak boleh dipandang ringan.

bayi cirit birit

Berikut antara tanda dehidrasi disebabkan bayi cirit birit:

  • Air kencing berkurangan – tidak kencing lebih daripada 8 jam – berlaku pada awal dehidrasi. Warna air kencing gelap juga petanda anak dehidrasi
  • Lidah dan bahagian dalam mulut kering. Bibir yang kering bukan petanda khusus
  • Mata kering dan air mata berkurangan atau tiada
  • Bahagian ubun-ubun bayi tenggelam
  • Ujian isi semula darah perlahan – lebih daripada 2 minit. Mula -mula tekan ibu jari dan biarkan ia pucat, kemudian lepaskan. Kira tempoh masa yang diperlukan untuk kuku menjadi merah jambu semula
  • Si kecil lebih meragam dan kelihatan sakit

Petua hilangkan cirit-birit bayi & anak kecil

Matlamat utama merawat bayi cirit birit adalah untuk mengelakkan dehidrasi kesan daripada kehilangan terlalu banyak air dan mineral daripada tubuh.

Apabila keadaan itu berlaku, cecair tubuh mesti diganti. Ia boleh dilakukan dengan kerap memberikan anak cecair.

Anda juga boleh memberikan anak larutan rehidrasi oral (ORS) – campuran air bersih, garam dan gula. Tetapi pastikan anda bertanya kepada doktor terlebih dahulu.

Jika masalah cirit-birit yang dialami anak adalah jenis ringan, mereka boleh makan seperti biasa.

Jika menyusu badan:

bayi cirit birit

  • Teruskan proses penyusuan susu badan, lakukan dengan lebih kerap
  • Jika cirit-birit teruk, berikan ORS antara sesi penyusuan
  • Apabila cirit-birit berkurangan, hentikan pemberian ORS dan teruskan penyusuan seperti biasa

Petua hilangkan cirit-birit bayi & anak kecil minum susu formula

  • Berikan jumlah cecair yang sedikit tetapi kerap, antara 30-60 mL setiap 30 minit dapat memperbaiki gejala. Mulakan dengan 1 sudu teh (5 mL) setiap 5 minit dan ditingkatkan jumlahnya secara beransur-ansur selagi boleh diterima anak
  • Terus memberikan susu formula seperti biasa. Jika cirit-birit teruk, berikan ORS antara sesi penyusuan
  • Jika selepas susu diberikan dan cirit-birit tidak sembuh, hentikan. Dalam sesetengah kes, susu boleh memburukkan lagi simptom. Cuba susu berasaskan soya
  • Jangan memberikan anak jus epal, soda atau minuman manis lain kerana ia hanya akan memburukkan cirit-birit
  • Jika bayi sihat selepas 24 jam, teruskan jadual penyusuan seperti biasa
  • Sekiranya keadaan bayi menjadi lebih teruk, berikan cecair jernih sahaja

Tip atasi bayi cirit birit bagi yang telah mengambil makanan pejal

  • Perlu diingatkan bahawa cecair adalah lebih penting daripada makanan pejal ketika ini, maka tidak perlu tergesa-gesa untuk memberikan anak makan
  • Jangan paksa anak makan sekiranya mereka mengalami sakit perut atau kekejangan

bayi cirit birit

  • Jangan memberikan anak makan dalam jumlah yang banyak walaupun mereka lapar, kerana ia akan memburukkan keadaan. Tingkatkan jumlah makanan secara perlahan-lahan mengikut kesesuaian
  • Jika susu yang diberikan menyebabkan cirit-birit tidak hilang, hentikan susu. Cuba untuk berikan anak ORS
  • Untuk masalah cirit-birit teruk, berikan ORS antara sesi penyusuan
  • Sekiranya si kecil sihat selepas 24 jam, cuba berikan anak makanan pejal seperti bijirin, buah atau sayuran seperti pisang, lobak merah atau kentang dilenyekkan, roti bakar kering, sup dengan mi beras
  • Jangan berikan anak cirit-birit makanan tinggi lemak
  • Elakkan beri anak makanan tinggi gula seperti jus buah dan soda
  • Untuk bayi 4 bulan ke atas yang keadaannya lebih baik, anda boleh berikan mereka bijirin, kentang, pisang atau lobak merah dilenyekkan. Bayi setahun ke atas boleh diberikan kraker, roti putih, nasi atau makanan berkanji lain
  • Anda boleh teruskan diet normal anak dari masa ke masa jika keadaannya lebih baik
  • Jika keadaan anak semakin teruk selepas makan, kembali berikan cecair jernih

Elakkan daripada memberikan bayi atau si kecil minum minuman sukan atau tenaga.

Ini kerana ia mengandungi terlalu banyak gula dan tidak cukup elektrolit untuk memulihkan masalah dehidrasi yang dialami si kecil. Bahkan ia tidak sama dengan ORS.

Baca juga:

Kesimpulannya

Masalah bayi cirit birit adalah perkara biasa untuk terjadi. Dalam kebanyakan kes ia akan hilang dengan sendiri serta tidak memerlukan rawatan

Anda boleh memastikan bayi selesa dan kekal terhidrat di rumah sehingga serangan cirit-birit hilang. Dalam kes yang jarang berlaku, cirit-birit mungkin akan berlanjutan lebih lama daripada biasa.

Sekiranya cirit-birit tidak hilang mahupun semakin teruk selepas tempoh 24 jam atau selepas mencuba petua hilangkan cirit-birit bayi, bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Diet for Diarrhea Only (Infant/Toddler). https://www.fairview.org/Patient-Education/Articles/English/d/i/e/t/_/Diet_for_Diarrhea_Only_InfantToddler_115974en, Accessed on Dec 11, 2021
  2. When your child has diarrhea. https://medlineplus.gov/ency/patientinstructions/000693.htm, Accessed on Dec 11, 2021
  3. Diarrhea (0-12 Months). https://www.seattlechildrens.org/conditions/a-z/diarrhea-0-12-months/, Accessed on Dec 11, 2021
  4. Diarrhea in Children: What Parents Need to Know. https://www.healthychildren.org/English/health-issues/conditions/abdominal/Pages/Diarrhea.aspx, Accessed on Dec 11, 2021
  5. Vomiting and Diarrhea in Children. https://www.aafp.org/afp/2001/0215/p775.html, Accessed on Dec 11, 2021

 

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 15/12/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor