Apabila meletakkan tangan pada dahi anak dan ia terasa hangat, tentunya anda akan berasa bimbang. Pun begitu jika anda mencuba cara turunkan suhu badan anak yang dikongsikan ini, pastinya si kecil akan lebih selesa. Bila perlu ke hospital jika anak demam? Kenapa bila demam badan terasa sejuk?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Anak demam
Sebelum mengetahui cara menurunkan panas badan anak, ayuh kita fahami secara ringkas mengenai demam ini.
Demam adalah peningkatan suhu badan melebihi paras normal. Suhu badan biasanya paling rendah pada waktu pagi dan meningkat sepanjang hari.
Suhu badan setiap individu adalah berbeza. Sukar memberikan suhu tepat sebagai petanda demam. Pun begitu, kebanyakan doktor bersetuju bahawa individu demam adalah apabila suhu mencecah 38˚C atau lebih tinggi.
Demam boleh menunjukkan badan sedang melawan jangkitan virus atau bakteria. Ia juga boleh berlaku selepas suntikan vaksin, berada dalam persekitaran terlalu panas atau mengalami selaran matahari yang teruk.
Cara turunkan suhu badan anak
Biasanya demam tidak perlu dirawat melainkan anak menunjukkan tanda tidak selesa. Namun anda boleh membantu mengatasinya dengan:
Pakaian sesuai
Apabila anak panas dalam badan, berikan mereka pakaian yang nipis. Elakkan pakaian tebal yang boleh memerangkap haba badan dan meningkatkan suhu.
Tanggalkan pakaian yang boleh menyebabkan anak tidak selesa. Sebaiknya pilihlah material ringan.
Cara turunkan suhu badan anak #Berikan cecair tambahan
Pastikan anak mengambil air secukupnya.
- Bawah usia 1 tahun: Teruskan penyusuan susu badan seperti biasa
- 1 tahun ke atas: Tawarkan air tambahan untuk diminum seperti susu yang diperkaya, air, jus buah-buahan dan popsicle
Anak mungkin tidak berselera untuk makan, jadi tawarkan makanan lembut dengan kerap dalam kuantiti yang kecil.
Mandi
Merupakan antara cara menurunkan panas badan anak yang boleh dicuba. Lakukan mandian span atau biarkan anak berendam seketika di dalam tab mandi.
Air hendaklah suam, tidak terlalu panas atau sejuk. Anda juga boleh menggunakan kain bersih yang direndam air suam untuk menyapu badan anak.
Jangan biarkan anak menggigil kerana air sejuk. Ia boleh meningkatkan suhu badan. Elakkan juga untuk meninggalkan anak tanpa pengawasan dalam tab mandi.
Pemberian ubat sebagai cara turunkan suhu badan anak
Jika anda memutuskan untuk memberikan ubat selesema, berundinglah dengan pakar pediatrik untuk menentukan jenis ubat yang bersesuaian.
- Acetaminophen boleh digunakan pada anak yang berumur 2 bulan ke atas
- Ibuprofen boleh diberikan kepada anak berusia 6 bulan ke atas
Menurut Food and Drug Administration (FDA), kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tidak boleh diberikan sebarang produk ubat batuk atau selesema yang mengandungi dekongestan atau antihistamin.
Malah, anak berusia 2 tahun ke atas juga harus berhati-hati untuk diberikan ubat yang mengandungi dekongestan atau antihistamin.
Manakala bagi anak di bawah usia 4 tahun, mereka tidak boleh diberikan gabungan ubat batuk dan selesema. Ini kerana kesan sampingannya boleh menjadi serius dan mungkin mengancam nyawa.
Sekiranya anak mengalami muntah-muntah dan/atau mengalami cirit-birit, tanyakan kepada doktor sama ada perlu diberikan larutan elektrolit oral (oral rehydration solution).
Rehat secukupnya
Benarkan anak berehat. Dalam kebanyakan kes, anda tidak seharusnya membangunkan anak yang sedang tidur untuk memberi ubat demam sebagai cara turunkan suhu badan anak.
Elakkan cara menurunkan panas badan anak ini
Berikut antara perkara yang harus anda hindari:
- Jangan sekali-kali memberikan anak aspirin. Ia boleh menyebabkan keadaan serius dipanggil sindrom Reye, yang boleh membawa maut
- Jangan berikan anak mandian sejuk berais
- Walaupun anak menggigil, usah menyelubung mereka dengan selimut atau pakaian tebal
Peringatan!
[embed-health-tool-child-growth-chart]