backup og meta

Pipi Bayi Berkudis Selepas Menyusu Badan? Ini Cara Untuk Atasi Ruam Ekzema!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/01/2024

    Pipi Bayi Berkudis Selepas Menyusu Badan? Ini Cara Untuk Atasi Ruam Ekzema!

    Ruam susu pada bayi adalah disebabkan susu ibu, betul ke? Kalau begitu, adakah perlu untuk menghentikan penyusuan susu badan?

    Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu ruam susu?

    Ada yang mengatakan ruam susu terjadi apabila susu badan terkena bahagian pipi si kecil. Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan buat para ibu yang melakukan penyusuan eksklusif. 

    Tidak kurang juga yang mengatakan ekzema pada pipi si kecil ini berkembang kesan pemakanan ibu yang mencetuskan alahan kulit kepada bayi – yang disalurkan melalui susu badan.

    Bahan-bahan yang mencetuskan alahan tersebut juga dipercayai menjadi punca ruam susu pada bayi apabila susu ibu bersentuhan secara langsung dengan kulit ketika penyusuan.

    Tetapi adakah ia benar susu ibu yang menjadi punca ruam atau ekzema pada kulit bayi ini?

    ekzema bayi
    Punca ruam bayi.

    Hakikatnya, andaian dan kepercayaan tersebut adalah tidak benar. Bahkan istilah ruam atau ekzema susu itu juga tidak tepat bagi menggambarkan punca sebenarnya.

    Ini kerana dalam dunia perubatan hanya terdapat istilah ekzema atau dermatitis atopik – yang merupakan salah satu jenis dermatitis paling biasa terjadi kepada bayi atau kanak-kanak.

    Fahami punca ruam susu pada bayi

    Ekzema adalah keradangan kronik yang dicetuskan oleh ketidakupayaan badan untuk menghasilkan sel lemak yang cukup dikenali sebagai ceramides.

    Punca ekzema masih belum dapat dipastikan tetapi yang pastinya ruam atau bintik yang menyebabkan pipi si manja menjadi kemerahan, bersisik dan gatal ini bukanlah disebabkan oleh penyusuan ibu. 

    Risiko untuk mengembangkan dermatitis atopik ini mungkin dipengaruhi oleh faktor genetik, fungsi sistem imun bayi dan faktor luaran yang lain.

    ekzema pada bayi
    Jenis-jenis ekzema kulit.

    Biasanya gejala ekzema ini boleh muncul sendiri dalam 6 bulan pertama kehidupan bayi. Dalam tempoh ini juga, penyusuan eksklusif amat digalakkan bagi memenuhi keperluan bayi.

    Tetapi harus diingat bahawa masalah ekzema pada pipi bayi ini bukan disebabkan penyusuan atau terkena susu ibu.

    Ruam susu pada bayi adalah cenderung untuk terjadi sekiranya mereka dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai sejarah alahan makanan. Antara jenis alahan makanan yang sering dialami adalah seperti kacang, telur dan susu.

    Walaupun terdapat hubungan antara alahan makanan susu yang menjadi punca kemunculan ekzema tetapi susu itu sendiri bukanlah penyebab ekzema buat kali pertama.

    Bagi kanak-kanak yang mempunyai alergi kepada susu atau produk tenusu, tindak balas alahan ini boleh memburukkan lagi gejala ekzema jika terus mengambilnya.

    Bayi dengan ruam susu, boleh ke menyusu?

    Dengan penjelasan di atas, jelas menunjukkan ruam susu ini bukanlah disebabkan pengambilan atau pendedahan kepada susu ibu. Jadi keputusan untuk menghentikan penyusuan secara eksklusif bukanlah penyelesaian yang tepat bagi menghilangkan ekzema.

    Ini kerana sekiranya penyusuan susu ibu dihentikan atau dihadkan, ia boleh menghalang si kecil daripada mendapat makanan terbaik yang dapat memenuhi keperluan hariannya. 

    Untuk kesan jangka masa panjang, ia boleh menjejaskan proses tumbesaran dan perkembangan bayi.

    Bayi yang tidak mendapat cukup protein daripada susu berisiko untuk mendapat masalah kwashiorkor – kekurangan protein, keadaan berpotensi memburukkan lagi masalah kulit.

    Maka bayi walaupun mempunyai ruam susu, masih perlu dan boleh meneruskan penyusuan. Namun sebaiknya ibu haruslah mengelakkan jenis-jenis makanan yang boleh mencetuskan alahan makanan pada bayi.

    Rawatan

    Antara gejala ekzema biasa pada bayi adalah kulit kering dengan ruam merah, bersisik dan gatal.

    Ibu boleh menggunakan petua hilangkan ruam susu pada bayi seperti yang berikut:

    1. Sapu ubat ekzema selepas mandi 

    Semasa mandi, cuba rendam seluruh badan bayi terutama yang terkena ekzema untuk mendapatkan kelembapan sepenuhnya. Bilas dengan air bersih.

    Kemudian sapukan krim ruam susu atau salap ekzema dalam masa tiga minit selepas keluar dari tab mandi untuk memastikan kulit sentiasa lembap.

    ruam susu
    Cara merawat ruam bayi.

    2. Pilih sabun bayi yang selamat, antara petua hilangkan ruam susu

    Bagi mengelakkan kerengsaan kulit menjadi lebih teruk akibat ekzema susu, idea yang baik adalah untuk memilih sabun mengandungi bahan hipoalergenik, tidak berwarna mahupun ditambah pewangi.

    Biasanya sabun wangi dan berwarna mengandungi bahan kimia yang boleh memburukkan lagi masalah ekzema.

    3. Pelembap kulit, sebagai ubat ruam susu

    Pilihlah pelembap hipoalergenik yang lembut, pH seimbang dan mengandungi bahan organik. Seelok-eloknya, pelembap pilihan anda juga harus mengandungi ceramida – berfungsi untuk membaiki tisu kulit sensitif bayi.

    Baca dan perhatikan bahan-bahan dalam pelembap pada produk bayi. Sapukan pelembap sekurang-kurangnya 3-5 minit selepas memandikan bayi.

    Elakkan juga memakai pakaian yang diperbuat daripada bahan yang sering mencetuskan kegatalan atau kerengsaan seperti kain bulu atau sintetik.

    Semoga masalah ruam kemerahan pada pipi si kecil akan bertambah baik. Pun begitu, jika masalah ruam susu pada bayi tidak pulih atau bertambah teruk, lakukan pemeriksaan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian dan penyelesaian yang berkesan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/01/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan