backup og meta

Pemakaian Barut Baby PENTING! Ketahui Cara Serta Manfaatnya Buat Si Manja

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 02/05/2023

    Pemakaian Barut Baby PENTING! Ketahui Cara Serta Manfaatnya Buat Si Manja

    Kenapa ya ibu-ibu disarankan untuk barut perut baby? Ada apa-apa kelebihan ke? Sampai bila agaknya perlu dipakaikan barut baby ini? 

    Segala persoalan anda mengenai barut untuk si kecil akan terjawab dalam perkongsian artikel ini. Semoga bermanfaat!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Amalan barut perut baby

    Anda mungkin menganggap bahawa berbarut untuk bayi ini adalah amalan tradisional masyarakat Melayu sahaja, betul tak?

    Sebenarnya anda silap! Amalan ini juga turut diamalkan oleh masyarakat di Filipina, Amerika Syarikat dan juga Eropah. Di Filipina menggelarkan barut ini sebagai bigkis, manakala di negara Barat dikenali sebagai baby binder atau belly banding.

    Tujuan pemakaiannya adalah sama, iaitu bagi menghindari bayi daripada mengalami ketidakselesaan perut seperti perut kembung atau berangin mahupun sakit perut, dengan hanya membalut kain atau mengikat kain pada bahagian pinggang dan perut si kecil.

    Mesti akan ada yang bertanya, “Barut baby pakai sampai bila, ya?”

    Kebiasaannya barut akan dipakaikan pada bayi yang berusia sehari – selepas dilahirkan – hingga mencecah usia 4 bulan, bergantung kepada kesesuaian serta keadaan bayi.

    Kini terdapat banyak jenis barut yang boleh dijadikan pilihan. Ada yang jenis tradisional, jenis sarung mahupun jenis pelekat velcro sahaja.

    Selalunya barut ini dihasilkan daripada kain kapas jenis flannel yang lembut dan tidak sensitif pada kulit bayi. Materialnya juga tidak terlalu tebal sehingga boleh menyebabkan bayi berasa tidak selesa kerana kepanasan.

    barut baby

    Jom ketahui lebih lanjut mengenai kebaikan pemakaian barut perut baby ini.

    Manfaat barut baby

    Kegunaan utama barut adalah untuk memastikan perut bayi sentiasa hangat dan mampat (compressed).

    Walaupun tampak seperti tidak menyelesakan, tetapi bagi si manja balutan barut itu memberikan ketenangan dan kehangatan.

    Berikut kelebihan lain pemakaian barut yang patut anda ketahui:

    Hindari masalah kembung perut

    Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, tujuan berbarut bayi adalah untuk mengelakkan ketidakselesaan perut. Ini kerana si kecil amat terdedah kepada masalah perut berangin.

    Elakkan bayi menyusu secara berlebihan

    Pemakaian barut boleh mengelakkan si kecil daripada menyusu secara berlebihan. Eh, baguslah kalau bayi menyusu lebih, cepat besar. Itu mungkin secara teorinya, ‘lebih banyak makan, lebih cepat besar’. 

    Tetapi hakikatnya jika bayi terlebih menyusu ia boleh menyebabkan tekanan pada perut mereka. Ini kerana sistem pencernaan si kecil masih belum mampu menampung jumlah nutrisi yang terlalu banyak.

    barut baby

    Melindungi tali pusat bayi

    Biasanya dalam tempoh 1-2 minggu selepas dilahirkan, tali pusat bayi akan tertanggal. Keadaan itu boleh menyebabkan bahagian pusat mereka menjadi lebih sensitif apabila terkena pakaian atau sebarang sentuhan.

    Jadi dengan memakaikan barut baby, bahagian tersebut akan dapat dilindungi dan dijaga daripada sebarang kecederaan atau perkara yang tidak diingini.

    Cara pemakaian barut baby yang betul

    Oleh sebab kulit adalah organ terbesar yang meliputi keseluruhan tubuh, maka pada bahagian tertentu kulit anak adalah sensitif. Perut juga merupakan salah satu bahagian sensitif bayi.

    Pada bahagian perut jugalah terletaknya tunggul tali pusat, yang turut merupakan antara bahagian sensitif si manja kerana mudah terdedah kepada jangkitan.

    Kaedah berbarut yang betul dapat membantu melindungi bahagian perut dan tunggul tali pusat bagi memastikan bayi kekal selesa.

    Ingin tahu cara yang betul?

    1. Perkara paling utama adalah untuk memandikan bayi dengan air suam.
    2. Sekiranya tali pusat si kecil belum tertanggal, pastikan anda mengeringkan bahagian tersebut terlebih dahulu dengan menggunakan tuala lembut.
    3. Setelah bayi dan bahagian tali pusat dikeringkan, sapukan minyak telon.barut baby
    4. Kemudian pakaikan barut yang bersesuaian saiznya dengan bayi. 
    5. Pastikan ikatan barut baby tidak terlalu ketat atau longgar. 

    Jika anda tidak pasti mengenai ikatan yang sesuai dengan bayi, mungkin menggunakan barut moden berpelekat adalah pilihan terbaik.

    3 perkara harus dielakkan 

    Memakaikan barut perut baby mungkin memberikan manfaat tetapi ada perkara yang perlu anda elakkan seperti:

    Sapu herba semasa berbarut

    Pastinya anda sudah mengetahui bahawa kulit bayi sangat sensitif. Jadi penggunaan herba yang dicampur pelbagai rempah ratus boleh menyebabkan iritasi pada kulit mereka. 

    Jika anda tidak mahu keadaan tersebut berlaku, elakkan. Sebaiknya sapukan hanya minyak telon bayi.

    Baca juga:

    Menutupi tali pusat

    Tunggul tali pusat memerlukan masa untuk tertanggal dengan sendirinya. Jadi sehingga ia tertanggal, pastikan pemakaian barut tidak menutupi tunggul tali pusat itu.

    Jika tidak, ia boleh mengakibatkan lembapan terkumpul pada bahagian tersebut. Ini sekali gus melambatkan proses luruh tali pusat dan meningkatkan risiko jangkitan.

    Ikatan terlalu ketat

    Walaupun di pasaran terdapat barut moden yang hanya menggunakan pelekat, tetapi tiada salahnya jika anda masih mahu menggunakan jenis tradisional.

    Cuma anda perlu pastikan ikatan barut baby tidak terlalu ketat atau ia boleh menjejaskan proses tumbesaran organ mereka.

    Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai pemakaian barut ini, rujuklah kepada doktor untuk mendapatkan lebih kepastian. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 02/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan