Pertama kali bergelar ibu bapa pasti menimbulkan rasa debaran dan teruja apatah lagi jika ini kali pertama anda ingin menggendong bayi sendiri.
Walaupun anda telah biasa memegang bayi, namun perasaannya pasti berbeza apabila memegang bayi sendiri, tambahan pula memegang bayi baru lahir.
Badan bayi baru lahir masih belum kuat, jadi anda perlu tahu cara mengangkat bayi baru lahir yang betul!
Cara mengangkat bayi baru lahir menggunakan kaedah dakapan
#1. Tenang dan yakin sebelum mengangkat bayi
Lazimnya, bayi akan rasa jika anda tidak selesa untuk memegangnya.
Jadi, keyakinan adalah kunci penting sebelum anda mengangkat dan membawa bayi ke dakapan anda untuk pertama kalinya.
Angkat bayi dengan berhati-hati, namun ingat bahawa badan bayi tidak selemah mana yang anda fikirkan.
#2. Pegang kepala baby menggunakan sebelah lengan dan pegang bahagian bawah tubuh menggunakan sebelah lengan lagi
Kepala bayi baru lahir adalah bahagian yang paling berat antara bahagian tubuh lain, jadi anda perlu lebih berhati-hati semasa memegang kepala dan lehernya.
#3. Bawa baby dekat dengan dada supaya dia boleh merehatkan kepalanya pada dada
Bayi juga akan rasa tenang dan selesa apabila dapat mendengar denyutan jantung anda.
Ketika ini, sebelah tangan dan lengan anda (tidak kira kanan atau kiri, mengikut mana yang anda selesa) mestilah menyokong berat badan bayi, sementara sebelah tangan lagi menyokong kepala dan leher bayi.
Cuma, pastikan muka bayi tidak menutup dada anda kerana dikhuatiri boleh membuatkan dia sukar bernafas.
Posisi kepala bayi perlu lebih tinggi daripada bahagian lain tubuhnya.
#4. Nikmati bonding dengan bayi
Memegang dan mendakap bayi akan menyuntik satu perasaan halus yang menenangkan antara ibu dan si manja.
Dalam pada anda menggendongnya, anda boleh mendodoikan bayi dengan zikir ataupun lagu lullaby.
Jika anda ingin menukar tangan semasa memegang bayi, pastikan sebelah tangan anda berada di bawah kepala bayi sementara anda menukar posisi si manja.
[embed-health-tool-vaccination-tool]