Untuk tahun pertama kehidupan, penglihatan si manja akan berkembang cepat tetapi berbeza berbanding individu dewasa. Ini yang perlu anda fahami mengenai penglihatan bayi baru lahir.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Perkembangan penglihatan bayi baru lahir
Semasa di dalam kandungan lagi, bayi sudah boleh membezakan antara cahaya terang dan gelap.
Selepas dilahirkan, mereka akan melihat bentuk dengan mengikut garis di mana cahaya terang dan gelap bertemu.
Pun begitu, si manja memerlukan tempoh beberapa minggu sebelum melihat warna pertama mereka iaitu merah.
Umumnya, pada minggu dan bulan pertama, bayi belajar menggunakan mata – atau lebih tepat mata mereka ‘belajar’ bagaimana untuk melihat.
Walaupun setiap mata mempunyai struktur fizikal yang diperlukan untuk melihat secara normal, namun kedua-dua belah mata masih perlu belajar untuk ‘bekerjasama’.
Binocular vision ini cenderung untuk berkembang dengan pantas bagi tempoh beberapa minggu dan bulan pertama kehidupan.
Ayuh, kita mendalami beberapa fakta menarik penglihatan bayi baru lahir!
Penglihatan bayi baru lahir: Perkembangan 3 bulan pertama
Bayi yang baru lahir hanya boleh memusatkan jarak penglihatan mereka sekitar 8 hingga 12 inci daripada wajah mereka.
Ini adalah jarak terbaik untuk menatap wajah ibu dan ayah yang merupakan kegemaran si kecil.
Untuk jarak yang lebih jauh daripada itu, bayi hanya akan dapat melihat bentuk kabur kerana mereka pada ketika ini adalah rabun jauh!
Secara amnya, bayi hanya akan dapat melihat warna hitam, putih dan kelabu. Tak ubah seperti siaran televisyen lama, bukan?
Penglihatan bayi baru lahir: Bila bayi mula dapat melihat dengan jelas?
Persepsi kedalaman dan koordinasi tangan-mata bayi hanya akan mula berkembang apabila mereka mencapai usia sekitar 5 bulan.
Pada usia 4 hingga 6 bulan, bayi akan mula mencapai dan menyentuh objek. Jika sebelum ini si manja mungkin mencapai sesuatu daripada anda, ia hanyalah berlaku secara kebetulan.
Anda mungkin pernah mendengar istilah penglihatan 20/20, yang dianggap sebagai ketajaman penglihatan normal, betul tak?
Walau bagaimanapun, pada usia 6 bulan, ketajaman penglihatan si manja hanya pada sekitar 20/100.
Anak akan dapat mencapai tahap ketajaman penglihatan individu dewasa sehingga mereka berusia 4 atau 5 tahun.
Anda akan melihat bagaimana penglihatan menjadi elemen penting dalam kemampuan bayi untuk menyelaraskan pengerakan seluruh tubuh seperti berdiri dan berjalan.
Perkembangan koordinasi mata
Menjelang usia 8 hingga 12 bulan, si manja semakin menghampiri ulang tahun pertama kelahirannya, koordinasi antara mata, pergerakan dan memori adalah sangat kuat.
Anda pastinya menyedari peningkatan luar biasa si manja dalam kemampuannya untuk menggolekkan bola, mengambil mainan dan barangan kecil serta menyuap diri sendiri makanan seperti bijirin atau hirisan buah.
Sebarang aktiviti yang mendorong koordinasi mata-tangan bayi, seperti bermain susunan kotak atau blok, boleh membantu mendorong memperkuatkan kemampuan bayi untuk melihat, menyentuh dan mengingati perkara tertentu mengenainya.
Baca juga: