backup og meta

Mainan Gantung Bayi Tak Dapat Bantu Si Manja Cepat Tidur, Tapi Ada Manfaat Lain!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/01/2023

    Mainan Gantung Bayi Tak Dapat Bantu Si Manja Cepat Tidur, Tapi Ada Manfaat Lain!

    Geramnya apabila si manja asyik merengek dan susah hendak tidur waktu malam. Sudah pelbagai cara menidurkan bayi dicuba, tapi hasilnya mengecewakan.

    Zaman kini, ramai pula ibu bapa yang melaburkan duit untuk mainan gantung di katil bayi. Ramai yang berkongsi maklum balas mengenai mainan tersebut.

    Namun sejauh manakah mainan gantung di katil bayi membantu si manja anda nyenyak tidur? Jom, kita kupas isu ini bersama-sama!

    Apakah itu mainan gantung?

    cara menidurkan bayi

    Mainan gantung mobil bayi lebih daripada sekadar benda comel yang tergantung di buaian atau katil bayi.

    Mainan ini bukan sahaja dapat menenangkan si manja anda, tetapi juga merupakan salam satu cara merangsang perkembangan otak bayi anda.

    Betul ke mainan gantung cara menidurkan bayi yang berkesan?

    Tidak ada kajian yang menyokong atau membantah penggunaan mainan gantung untuk menidurkan bayi.

    Namun, pelbagai pendapat ibu bapa boleh dilihat di laman web yang berkaitan dengan keibubapaan.

    Ada yang memberi tindak balas positif di mana mereka merasakan mainan gantung yang sesuai untuk masa tidur dapat membantu si kecil tidur dengan cepat dan lena.

    Sungguhpun begitu, ada juga ibu bapa dan blog keibubapaan yang beranggapan ia boleh mengganggu atau melambatkan masa tidur bayi.

    Bertentangan dengan kepercayaan popular, mainan gantung mobil bayi tidak bertujuan untuk membantu bayi tidur. Tujuan utamanya adalah untuk merangsang perkembangan otak dan saraf.

    Kelebihan mainan mobil bayi

    cara menidurkan bayi

    1. Rangsangan visual

    Apabila mata bayi mengikut pergerakan mainan gantung, ia membantu menguatkan otot yang mengawal pergerakan mata. Rangsangan yang kerap akan membantu otot-otot tersebut berkembang lebih baik.

    2. Kawalan kepala yang lebih baik

    Apabila bayi anda semakin membesar dan berjaya mengawal kepalanya, bayi akan mula mengikuti pergerakan mainan gantung dengan memusing atau mengangkat kepalanya.

    Otot yang mengawal pergerakan kepala akan menjadi lebih kuat dengan tindakan ini.

    3. Penyelarasan tangan-mata

    Sekitar usia 3 bulan, bayi anda akan mula mencapai mainan gantung, dan mula belajar mengawal pergerakan tangan mereka.

    Dalam tempoh tersebut, penglihatan bayi anda telah meningkat sehingga pandangan matanya dapat mengikuti objek bergerak di mainan tersebut.

    4. Kesedaran ruang

    Mencapai mainan gantung juga membantu mata bayi anda memahami kedalaman, manakala otak akan memahami konsep jarak. Hal ini akan membantu perkembangan bayi dari segi kesedaran ruang.

    Mempunyai mainan mobil yang berlainan dan menarik perhatian lebih bagus untuk perkembangannya.

    Walaupun begitu, ia sepatutnya dikeluarkan daripada buaian atau katil bayi sekitar 5 bulan, usia di mana bayi anda mula banyak bergerak.

    Rahsia cara menidurkan bayi yang mujarab

    Menidurkan bayi bukannya kerja yang mudah. Kajian menunjukkan sekitar 25-50% bayi akan terbangun selepas tidur beberapa jam.

    Mungkin anda boleh cuba beberapa cara menidurkan bayi ini dengan si comel anda ya!

    1. Ketahui tanda-tanda bayi anda mengantuk

    Sebilangan bayi akan merengek atau menangis ketika mereka letih, sementara yang lain akan menggosok mata, termenung atau menarik telinga mereka.

    Bayi anda akan cepat dan mudah lena sekiranya anda memahami tanda-tanda dia mengantuk dan menidurkannya selepas itu.

    2. Menyediakan jadual tidur harian

    Bayi akan tidur nyenyak apabila mereka mempunyai waktu tidur dan bangun yang konsisten. Selain itu, mengurangkan tidur siang tidak akan mendorong bayi anda untuk tidur lebih awal pada waktu malam.

    Sebaliknya, ia akan mengakibatkan keletihan dan bayi akan lebih susah untuk lelap.

    3. Menghasilkan rutin tidur

    Ibu ayah, cuba untuk wujudkan rutin waktu tidur yang konsisten, merangkumi aktiviti yang tenang dan menyeronokkan untuk bayi anda.

    Pastikan rutin yang anda laksanakan seiring dengan peningkatan umur bayi anda.

    Sebagai contoh, membaca buku untuk bayi sebelum tidur, menyanyi atau memandikan si manja sebelum tidur.

    Ingatlah, elakkan memberi makanan kepada bayi anda hampir dengan masa tidur mereka selepas berumur 6 bulan.

    4. Sediakan persekitaran tidur yang sama

    Pastikan persekitaran bilik tidur anak anda sama pada waktu tidur sepanjang malam. Bayi menjadi lebih selesa jikalau terdapat rutin dalam kehidupan mereka.

    Di samping itu, si manja anda juga akan tidur lebih nyenyak di dalam bilik yang gelap, sejuk dan tenang.

    Konklusi

    Belum ada kajian yang membuktikan keberkesanan mainan gantung mobil bayi dengan corak tidur mereka.

    Walaupun begitu, ingatlah bahawa setiap bayi berbeza sifat dan interaksi terhadap persekitaran mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan