backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Ibu Nak Tahu Cara Menghilangkan Kahak Bayi? Cuba 4 Tip Ini Di Rumah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/12/2023

Ibu Nak Tahu Cara Menghilangkan Kahak Bayi? Cuba 4 Tip Ini Di Rumah!

Batuk adalah tindakan refleks membantu membersihkan lendir atau perengsa seperti zarah debu pada saluran pernafasan. Tetapi bagaimana jika bayi batuk berkahak, adakah terdapat cara menghilangkan kahak bayi?

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.

Bayi batuk berkahak: Fahami jenis batuk yang dialami

Sebelum mengetahui cara menghilangkan kahak bayi, ibu bapa harus fahami bahawa seperti individu dewasa, bayi dan kanak-kanak juga boleh menghidap pelbagai jenis batuk

Ia sama ada boleh hilang dalam tempoh masa yang singkat atau mungkin mengambil sedikit masa.

Umumnya, tempoh bayi batuk boleh membantu menentukan punca dan rawatan yang bersesuaian.

  • Batuk basah (batuk dada / chesty cough) – penumpukan lendir pada bahagian tekak atau dada dan boleh menjadi punca bayi batuk berkahak
  • Batuk kering – batuk yang terjadi kerana tekak berasa gatal, umumnya ia tidak akan menyebabkan penghasilan kahak

Batuk juga boleh digambarkan sebagai akut atau kronik.

Batuk yang dialami selama tidak lebih 3 minggu dikategorikan sebagai akut dan biasanya disebabkan oleh virus atau jangkitan.

Mendapatkan rehat yang mencukupi adalah rawatan paling mudah untuk merawat batuk jenis ini.

Pun begitu, sekiranya anak mengalami batuk lebih daripada 8 minggu, doktor akan menganggap ia sebagai batuk kronik atau berterusan. 

Batuk jenis ini biasanya didasari oleh keadaan kesihatan tertentu atau masalah kesihatan sedia ada seperti asma, anak mempunyai alahan atau refluks. 

cara menghilangkan kahak bayi

Cara menghilangkan kahak bayi: Ketahui puncanya

Batuk yang berkahak akan kedengaran seperti lendir ‘berkeroncong’ di dalam tekak ketika batuk. 

Si kecil juga mungkin akan mengalami hidung berair, bersin dan demam ringan.

Kemungkinan penyebab utamanya adalah bayi mengalami selesema!

Bagi sesetengah kanak-kanak, batuk yang dialami mungkin merupakan gejala pertama akan mengalami selesema. 

Manakala ada juga kanak-kanak akan mengalami masalah hidung berair atau bersin sebagai gejala yang akan muncul terlebih dahulu.

Keadaan kahak yang normal

Sekiranya bayi batuk berkahak yang berwarna kuning atau hijau, ia adalah perkara normal bagi penyembuhan virus bronkitis. 

Kahak tersebut terhasil daripada lapisan trakea – saluran udara – yang rosak disebabkan virus tersebut.

Cara menghilangkan kahak bayi melalui rawatan di rumah

Ibu bapa mana tidak susah hati apabila melihat bayi batuk berkahak, bukan?

Namun, ia sebenarnya dianggap sebagai 1 tindak balas rawatan semula jadi tubuh (natural expectorant) dengan fungsi perlindungan daripada selesema dan jangkitan lain.

Untuk bayi dan anak kecil, penggunaan rawatan di  rumah adalah yang terbaik dan selamat.

Berikut beberapa cara hilangkan kahak bayi dan anak kecil yang boleh dicuba di rumah:

cara menghilangkan kahak bayi

#1. Pelembap udara:

Sekiranya udara di dalam rumah anda kering, gunakan pelembap udara (humidifier).

Kelembapan dalam udara dapat memudahkan bayi mengeluarkan batuk yang berkahak atau mengatasi kekeringan pada tekak. 

Sebagai 1 cara menghilangkan kahak bayi, pelembap udara ini juga boleh diletakkan di dalam bilik tidur si manja bagi memberikan lebih banyak kelembapan pada persekitarannya.

Anda juga boleh menjadikan bilik mandi sebagai bilik stim. Bagaimana? 

Pasangkan pancuran air panas, tutup pintu dan duduk bersama si kecil untuk tempoh sekurang-kurangnya 15 minit. Lakukannya 2 kali sehari; waktu pagi dan sebelum tidur.

Wap yang ada akan membantu melega dan melancarkan kahak dan lendir pada saluran pernafasan anak.

#2. Pengambilan cecair

Cuba pastikan anak sentiasa terhidrasi.

Apabila anak mendapat cukup air, ia akan membantu merendahkan suhu badan. 

Dalam masa yang sama ia turut akan melembut dan melancarkan lendir tersekat pada tekak yang menjadi punca utama batuk berkahak terjadi. 

Bagi bayi yang mengalami batuk berkahak, susukan mereka sama ada penyusuan susu badan atau susu formula dengan lebih kerap sebagai cara hilangkan kahak bayi.

Untuk bayi yang berusia 6 bulan ke atas, ibu boleh berikan air kosong sebagai tambahan.

Cara menghilangkan kahak bayi #3. Alat penyedut hidung

Untuk bayi dan anak kecil yang masih belum pandai menghembus hidung, penggunaan ubat titis hidung dan alat penyedut boleh membantu.

Penggunaan ubat titis dan alat penyedut boleh mengeluarkan mukus yang terdapat pada tekak dan hidung.

Anda boleh melakukan cara ini sebelum memberikan mereka susu, supaya bayi dapat bernafas dengan lebih mudah semasa proses penyusuan.

#4. Madu

Jangan memberikan bayi di bawah usia setahun madu. Ia tidak membantu mengatasi masalah batuk berkahak, sebaliknya boleh menyebabkan keadaan yang disebut botulisme – keadaan boleh mengancam nyawa si kecil! 

Untuk kanak-kanak berumur setahun ke atas, tawarkan 1 sudu madu – 2 hingga 5 mL – sebelum tidur untuk melindungi tekak dan mengurangkan kesakitan.

cara menghilangkan kahak bayi

Jika anda terfikir untuk memberikan ubat batuk atau selesema kepada si kecil, tunggu!

Food and Drug Administration (FDA) dan American Academy of Pediatrics (AAP) tidak mengesyorkan pemberian ubat batuk atau selesema pada anak kecil.

Ia tidak berkesan dan lebih teruk lagi, mungkin boleh membahayakan anak dengan risiko kesan sampingan yang boleh terjadi!

Sekiranya terdapat apa-apa kebimbangan mengenai keadaan kesihatan si kecil, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera!

Kini anda telah tahu cara menghilangkan kahak bayi!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/12/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan