Ibu Hamil Sakit Gigi? Boleh Cuba 9 Petua Ini Hanya Di Rumah, Boleh Melegakan!
Kesakitan gigi semasa berbadan dua sememangnya boleh menimbulkan ketidakselesaan. Jom ketahui apakah petua hilangkan sakit gigi ketika mengandung yang boleh dicuba.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Masalah sakit gigi
Sebelum kita pergi kepada petua hilangkan sakit gigi ketika mengandung, jom fahami mengenai kepentingan pemeriksaan gigi.
Melakukan pemeriksaan gigi adalah penting buat wanita yang merancang kehamilan atau bakal hamil.
Ini kerana terdapat peningkatan risiko untuk kecenderungan mengalami masalah pergigian apabila anda mengandung. Tetapi kenapa ya?
Ini disebabkan kadar naik turun hormon, perubahan dalam corak pemakanan, lebih banyak pendedahan kepada asid dan amalan rutin kebersihan mulut yang kurang sempurna.
Boleh ke melakukan pemeriksaan gigi semasa hamil?
Secara amnya, melakukan pemeriksaan gigi sebelum berlakunya kehamilan adalah amat disarankan.
Ia bertujuan untuk mengenal pasti dan membolehkan sebarang rawatan pergigian dilakukan – jika perlu – sekali gus mengurangkan kebimbangan semasa kehamilan nanti.
Namun sekiranya anda sudah hamil, teruskan janji temu seperti yang dijadualkan.
Namun dalam kebanyakan kes, anda disarankan untuk menunggu trimester kedua sebelum melakukan sebarang rawatan pergigian.
Anda dinasihatkan untuk memaklumkan kepada doktor gigi, sekiranya:
- Sebaik sahaja anda tahu atau mengesyaki diri hamil
- Tahap kehamilan
- Ada menggunakan sebarang ubat preskripsi atau OTC
- Mengalami kehamilan berisiko tinggi
Paling penting, pada bila-bila masa anda mengalami sakit gigi atau masalah gusi semasa hamil, lakukan pemeriksaan dengan doktor gigi.
9 petua hilangkan sakit gigi ketika mengandung
Berikut beberapa rawatan di rumah yang boleh dilakukan semasa hamil bagi memberikan kelegaan jangka pendek:
Kenal pasti sensitiviti makanan & minuman
Ada kalanya ibu hamil sakit gigi berlubang mungkin akan menyedari sensitiviti gigi meningkat apabila mereka makan makanan atau minum minuman panas. Terdapat juga yang mengalami kepekaan terhadap makanan atau minuman sejuk.
Mengetahui jenis makanan atau minuman tertentu yang boleh meningkatkan kesakitan atau sensitiviti adalah langkah pertama untuk mengurangkan sakit gigi semasa kehamilan.
Mampatan sejuk, petua hilangkan sakit gigi ketika mengandung

Jika muka mengalami bengkak disebabkan sakit gigi ini, anda boleh menggunakan pek ais untuk memberikan sedikit kelegaan. Tekapkannya ke muka bagi mengurangkan bengkak.
Anda juga boleh menggunakan sayur beku jika tidak mempunyai pek ais. Sekiranya menggunakan ketulan ais, pastikan anda membalutnya dengan tuala bersih bagi mengelakkan haba sejuk terus kepada kulit.
Berkumur air garam
Berkumur dengan air suam bercampur 1 sudu teh garam boleh membantu mengurangkan keradangan dan mungkin memberikan sedikit kelegaan.
Bawang putih, antara petua hilangkan sakit gigi ketika mengandung
Bawang putih adalah alternatif ubat penahan sakit.
Ini kerana selain dapat mengurangkan kesakitan, ia juga berfungsi sebagai antibiotik semula jadi yang membantu membunuh mana-mana bakteria pada bahagian dijangkiti.
Anda boleh mencuba petua ini sama ada dengan mengunyah seulas bawang putih atau menyapunya pada bahagian yang sakit.
Lidah buaya

Lebih dikenali dengan panggilan aloe vera, ia mempunyai sifat antibakteria dan antikulat.
Menggunakan tumbuhan ini pada gusi dan gigi boleh membantu mengurangkan pertumbuhan bakteria dan bengkak gusi.
Ia sangat baik untuk gusi, cuma pastikan anda menggunakan aloe vera tulen dan bukannya produk yang mengandungi tumbuhan ini sebagai bahan sampingan!
Petua hilangkan sakit gigi ketika mengandung #Susu
Kalsium dan vitamin K – kedua-dua ini terdapat dalam susu dan penting untuk kesihatan gusi.
Minum susu suam beberapa kali sehari boleh membantu mengurangkan pendarahan dan keradangan gusi. Namun pastikan anda menggosok gigi dua kali sehari kerana susu cenderung meningkatkan pembentukan plak.
Buah delima
Berkesan sebagai langkah pencegahan, jus delima boleh membantu melawan pembentukan plak dan jangkitan kuman. Pastikan anda minum atau berkumur dengan jus delima asli tanpa tambahan gula, ya?
Bunga cengkih
Merupakan antiseptik semula jadi, bunga cengkih atau minyaknya boleh disapu terus pada gigi yang sakit untuk memberikan kelegaan segera.
Ubat tahan sakit
Jika anda memerlukan ubat penahan kesakitan, berundinglah dengan doktor sebelum pengambilan ubatan berikut:
- Acetaminophen (tetapi elakkan ibuprofen, aspirin dan ubat antiradang nonsteroid)
- Benzocaine (gel kebas)
Mencegah masalah sakit gigi
Mencegah sudah pastinya lebih baik berbanding merawat, walaupun anda sudah mengetahui petua hilangkan sakit gigi ketika mengandung.
Berikut antara amalan harian yang disarankan sebagai rutin penjagaan mulut:
- Berus dua kali sehari dengan ubat gigi rumusan khas untuk melegakan kesakitan disebabkan oleh sensitiviti gigi dan gusi
- Gunakan berus gigi berbulu lembut atau beralih kepada berus gigi elektrik
- Gunakan ubat kumur khas untuk mengurangkan tanda-tanda awal penyakit gusi
- Flos sekurang-kurangnya sekali sehari
- Amalkan diet sihat terdiri daripada sayuran, buah-buahan, tenusu dan bijirin penuh
- Lakukan pemeriksaan dengan doktor gigi secara berkala walaupun semasa hamil
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda!
