Bersalin secara pembedahan caesarean bermakna memerlukan lebih penjagaan terutamanya pada parut czer. Ia penting untuk elakkan jangkitan. Jom kenal pasti tanda-tandanya!
Jangkitan pada parut czer
Jangkitan luka selepas pembedahan caesarean atau C-Sec biasa berlaku selepas pembedahan. Ia lazimnya disebabkan jangkitan bakteria pada kawasan pembedahan.
Mikrob berbahaya yang bersentuhan dengan luka atau memasuki pembedahan C-Sec boleh menyebabkan jangkitan.
Umumnya, Staphylococcus aureus atau bakteria Staph adalah jangkitan pada parut czer yang paling biasa dialami.
Bakteria Staph secara semula jadi hidup pada rambut dan kulit manusia.
Apabila ia membiak dan memasuki luka, ia boleh menyebabkan beberapa jenis jangkitan pada luka pembedahan caesarean seperti:
- Impetigo
Ia boleh menyebabkan lepuh cecair yang akan pecah dan meninggalkan kerak berwarna seperti coklat kekuningan. Ia boleh menjadi sangat menyakitkan dan gatal.
- Benjolan nanah
Merupakan luka yang dipenuhi dengan kulit mati dan nanah berkembang di bawah kulit. Ia mungkin menyebabkan sensasi hangat dan menyakitkan.
- Selulitis
Adalah jangkitan pada kulit dan tisu di bawahnya. Jangkitan boleh merebak dengan cepat daripada luka pembedahan caesarean ke bahagian luar.
Ia mengakibatkan timbulnya rasa sakit, kemerahan dan sensasi hangat apabila disentuh.
Jenis bakteria lain yang boleh menyebabkan jangkitan pada luka jahitan C-Sec termasuklah Enterococcus dan Escherichia coli.
Jangkitan tersebut boleh merebak sama ada menjadi jangkitan sementara (incisional), atau jangkitan organ.
Incisional yang berlaku boleh menjejaskan kawasan luka parut czer atau bahagian kulit mahupun tisu yang lebih dalam sekitar luka.
Manakala bagi jangkitan melibatkan organ pula boleh terjadi apabila mikroba mencapai bahagian dan organ sekitarnya, seperti pundi kencing atau saluran kencing.
Jika wujud simptom dalam tempoh 28 jam selepas pembedahan caesarean, puncanya mungkin disebabkan Streptococcus, atau bakteria Strep.
Jangkitan bakteria Strep pada luka czer boleh menyebabkan erysipelas. Ia adalah sejenis selulitis yang melibatkan sistem limfa.
Individu wanita yang mengalami erysipelas akan mempunyai luka berwarna merah, berkilat dan timbul di permukaan kulit.
Risiko jangkitan pembedahan caesarean
Membaca risiko jangkitan pada luka C-Sec yang mungkin dialami pastinya merisaukan para ibu yang sedang hamil, kan?
Pun begitu, bukan semua individu yang menjalani prosedur kelahiran ini akan mengalami jangkitan.
Cuma terdapat beberapa faktor yang akan meningkatkan risiko berlakunya jangkitan seperti:
- Kegemukan
- Usia
- Kawasan persekitaran
- Diabetes
- Gangguan hipertensi
- Kehamilan kembar
- Menjalani banyak pemeriksaan faraj
- Penggunaan epidural
- Keguguran yang berulang
Terdapat juga faktor melibatkan prosedur pembedahan C-Sec itu sendiri yang meningkatkan risiko berlakunya jangkitan seperti tempoh pembedahan yang lama.
Tanda & simptom jangkitan pada pembedahan caesarean
Wanita yang menjalani prosedur pembedahan C-Sec perlu memeriksa luka setiap hari untuk mengetahui jika muncul tanda-tanda jangkitan.
Kebanyakan jenis jangkitan tidak menyebabkan simptom sehinggalah selepas 4 hingga 7 hari pembedahan berlangsung. Pada waktu itu, kebanyakan wanita sudah berada di rumah.
Kebiasaannya selepas pembedahan, ia sesuatu yang normal untuk mengalami bengkak, kemerahan dan sakit pada sekitar kawasan luka.
Dalam sesetengah kes, terdapat cecair yang dirembes keluar daripada luka. Tetapi jika berlaku jangkitan, intensiti cecair yang keluar akan meningkat.
Beberapa tanda dan simptom yang perlu dikenal pasti adalah:
- Bengkak, kemerahan dan kesakitan luar biasa pada sekitar luka pembedahan caesarean
- Cecair jernih atau berubah warna daripada kawasan luka
- Pendarahan faraj yang tidak normal
- Sakit atau bengkak pada kaki
- Ketidakselesaan perut
Simptom yang disenaraikan mungkin disertai dengan gejala demam seperti:
- Berpeluh
- Suhu badan melebihi 38°C
- Sakit kepala
- Menggigil
- Hilang selera makan
- Dehidrasi
- Keletihan
- Kesakitan otot
- Kesukaran menumpukan perhatian
Anda harus ingat, tanda jangkitan tidak akan muncul sejurus selepas pembedahan C-Sec. Ia mungkin memakan masa sehingga 30 hari untuk berkembang.
Jika anda menyedari wujud sebarang gejala, dapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor dengan segera.
Mencegah jangkitan pada parut czer
Jika anda mengalami luka selulitis, antibiotik dapat membantu membersihkan jangkitan. Secara khususnya, ia menyasarkan bakteria Staph dan Strep.
Terdapat beberapa faktor yang dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan pada luka czer, iaitu:
Sebelum pembedahan, lakukan ini:
- Kekalkan berat badan yang sihat
- Menjaga tahap keseimbangan gula dalam darah
- Tidak merokok
Selepas pembedahan, lakukan:
- Menjaga tahap kebersihan luka dengan cara mencuci menggunakan sabun dan air suam
- Menutup atau membalut luka selama yang dinasihatkan doktor
- Mengelakkan mandian air panas, berendam dalam tab mandi atau kolam renang
- Mematuhi jadual ubat yang diberikan
- Menghindari pakaian yang ketat
Pemeriksaan segera
Jangkitan melambatkan masa pemulihan luka parut czer.
Namun keadaan tersebut dapat dipulihkan dengan kombinasi penggunaan antibiotik, pembedahan kecil (jika perlu) dan penjagaan parut czer serta kebersihan luka yang betul.
Jangkitan boleh menyebabkan komplikasi serius, jadi seseorang harus mempertimbangkan untuk bercakap dengan doktor jika mereka melihat tanda-tanda jangkitan parut czer selepas pembedahan caesarean.
[embed-health-tool-due-date]