Mengapa masih tidak hamil sedangkan ketika tempoh subur anda melakukan hubungan seks? Apakah punca yang mungkin menjadi penyebabnya? Ikuti penjelasan ini.
Bukan hanya tempoh subur
Jadi anda masih tidak mengandung walaupun sudah bersama pasangan semasa tempoh subur?
Pastinya ia sedikit mengecewakan apabila anda sudah bersedia untuk membina keluarga, namun masih tidak hamil walaupun telah mencuba berkali-kali.
Anda tahu antara faktor kesihatan umum yang menjadi punca kehamilan sukar untuk berlaku adalah seperti:
- Sperma tidak berkualiti
- Penyakit radang pelvis (PID)
- Sindrom ovari polisistik (PCOS)
Tetapi berdasarkan pemeriksaan doktor, anda dan pasangan sihat.
Jadi apakah faktor yang menyebabkan anda tidak hamil walaupun telah melakukan hubungan seks dengan kerap semasa tempoh subur?
5 sebab tidak hamil walaupun mengalami tempoh subur
Berikut boleh menjadi faktor yang mendasari mengapa anda masih tidak hamil, seperti:
-
Tekanan
Apabila anda meluahkan kepada keluarga dan rakan bahawa anda dan pasangan sedang mencuba untuk hamil, pastinya jawapan balas yang biasa diterima adalah seperti, “Bersabar, adalah nanti rezeki tu”, kan?
Bercakap memang lebih mudah daripada melakukannya.
Tekanan, sama ada baik atau buruk, boleh memberikan kesan kepada anda dari aspek fizikal dan mental.
Pada dasarnya, keseimbangan dan ketenangan adalah perkara penting dalam usaha untuk mendapatkan zuriat.
Sebaliknya, jika anda berada dalam tekanan, sistem adrenal anda akan terganggu.
Akhirnya menyukarkan peluang anda untuk mengandung walaupun kerap melakukan hubungan intim dalam tempoh subur.
Jadi anda perlu belajar untuk lebih bertenang. Siapa tahu, mungkin peluang anda untuk hamil lebih tinggi selepas ini.
-
Tidak cukup tidur
Sudah tentu anda sedia maklum bahawa tidur mencukupi penting bagi memastikan badan mendapat tenaga yang diperlukan untuk kekal fokus sepanjang hari.
Tetapi ada sebab lain yang akan menyebabkan anda mahu mendapatkan tidur yang cukup selepas ini.
Umumnya, individu yang kurang tidur akan memberikan tekanan pada badan dan apabila berada dalam keadaan letih, badan tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya.
Bahkan, bagi mereka yang tidak cukup tidur, sistem imun badan akan menurun dan akan lebih terdedah untuk mendapat jangkitan.
Dalam masa yang sama ia juga akan menjejaskan kitaran tempoh subur anda. Wanita yang tidak cukup tidur akan mudah berasa gelisah.
Bukan itu sahaja, individu lelaki turut menerima impak jika kurang tidur.
Jangkitan yang berlaku boleh mengakibatkan demam dan kepanasan berlebihan, sekali gus merosakkan kualiti sperma untuk sementara waktu.
-
Masalah berat badan
Seorang wanita dengan kurang atau berlebihan berat badan mungkin lebih cenderung untuk mengalami kesukaran mengandung.
Badan yang kurang makan berkemungkinan besar tidak mengalami tempoh subur yang betul.
Manakala, individu yang mempunyai berat badan berlebihan pula boleh memberikan impak lebih besar terhadap kesuburan.
Ini kerana berat badan yang berlebihan akan mengurangkan peluang anda hamil walaupun mempunyai kitaran ovulasi berkala.
Semakin jauh anda tersasar di atas nilai 25 berdasarkan nilai indeks jisim badan (BMI), lebih tinggi risiko untuk tidak hamil.
Mengekalkan berat badan seimbang dengan amalan diet yang sihat serta melakukan senaman secara berkala, boleh mendatangkan keajaiban pada minda dan badan anda.
-
Kekeliruan mengenai tempoh subur
Sebenarnya, ramai wanita yang masih tidak memahami kitaran haid mereka sendiri.
Kebanyakan daripada kita, diajar bahawa tempoh kitaran biasa adalah antara 28 hari. Tetapi pada dasarnya setiap wanita mempunyai tempoh masa kitaran yang berbeza.
Ini bermakna perkara paling penting anda lakukan jika ingin berbadan dua adalah untuk memahami tempoh kitaran anda.
Rezeki dan peluang untuk mendapat zuriat akan lebih besar jika anda memantau ovulasi dan melakukan hubungan seks pada waktu yang tepat.
Perkara lain yang perlu anda ketahui adalah mengenai panjang hayat sperma selepas ia dilepaskan di dalam faraj.
Umumnya, sperma dapat hidup selama 3 hari dalam serviks. Jadi anda tidak perlu berasa tertekan untuk berjimak dengan pasangan setiap hari pada tempoh subur.
-
Bersikap positif
Sikap positif dalam diri juga penting sekiranya anda sedang merancang untuk mengandung. Ini kerana wujud hubungan yang besar antara minda dan badan.
Elakkan daripada mendengar perkara yang negatif dan cuba untuk bersabar walaupun masih tidak hamil.
Mempersiapkan diri dalam tempoh setahun lebih awal adalah idea yang baik jika anda merancang untuk mula membina keluarga pada masa hadapan.
Ia memberikan anda masa untuk melakukan perubahan dalam gaya hidup seharian.
Dapatkan bantuan pakar
Walaupun anda dan pasangan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan seksual yang boleh menyukarkan peluang anda untuk hamil, tetapi tiada salahnya jika kalian melakukan rundingan bersama pakar.
Lebih-lebih lagi jika sudah terlalu lama mencuba namun masih tidak hamil.
Sebaiknya, berbincanglah dengan pakar mengenai pilihan yang ada untuk menjalani rawatan kesuburan.
Semoga ada rezeki untuk anda dan pasangan memperolehi zuriat satu masa nanti, teruskan berusaha!
[embed-health-tool-ovulation]