Tahukah anda, ibu yang melakukan pembedahan cesarean semasa bersalin boleh melakukan senaman? Malahan, aktiviti fizikal ini boleh bantu para ibu sembuh dengan lebih cepat!
Pembedahan caesarean ataupun C-section merupakan sebuah pembedahan yang dilakukan semasa melahirkan anak. Pembedahan ini akan dijalankan jika cara tradisional didapati terlalu berisiko untuk ibu ataupun anak.
C-section merupakan pembedahan yang selamat walaupun mempunyai risiko yang lebih besar berbanding kelahiran normal.
Ibu yang melakukan kelahiran secara normal selalunya akan sembuh lebih cepat berbanding ibu yang melakukan caesarean.
Oleh itu, senaman mungkin tidak dapat dilakukan secepat mungkin oleh para ibu yang melakukan caesarean.
Namun, senaman penting untuk memastikan para ibu sembuh dengan sempurna selepas kelahiran. Bukan sahaja senaman boleh buatkan ibu bertambah kuat, malah senaman juga boleh kurangkan risiko ibu untuk tercedera.
Walau bagaimanapun, ibu-ibu perlu ingat supaya tidak terlalu memaksa diri untuk bersenam.
Apabila anda melahirkan anak, perubahan yang berlaku kepada badan anda dan juga trauma dari segi emosi yang para ibu rasakan boleh mencetuskan masalah.
Jika anda mendapat kebenaran daripada doktor, anda boleh lakukan beberapa jenis senaman yang boleh membantu anda untuk sembuh lebih cepat daripada pembedahan.
Kepada ibu-ibu yang sudah ready untuk melakukan senaman, jom ikuti artikel kami di bawah untuk idea-idea senaman yang anda boleh lakukan di rumah!
Tapi, tunggu dulu! Senaman ringan sahaja untuk 6 minggu pertama!
Senaman yang high-intensity ataupun berat adalah DILARANG untuk ibu yang berada dalam 6 minggu pertama kelahiran!
Walau bagaimanapun, jika anda ingin bersenam atau bergerak sedikit, anda boleh cuba lakukan senaman di bawah:
- Berjalan – Badan anda pasti akan berterima kasih jika anda berjalan-jalan di sekitar kawasan rumah. Mental anda juga pasti akan rasa lebih baik jika anda bergerak sambil melapangkan minda.
- Lakukan senaman kegel – Selepas bersalin, anda boleh lakukan senaman kegel untuk kuatkan lantai pelvis anda.
- Lakukan regangan secara berkala – Cuba lakukan regangan pada bahagian leher, bahu, lengan dan kaki. Tapi, kalau boleh elakkan daripada lakukan regangan yang menekan kawasan c-section anda!
Jika anda telahpun melepasi 6 minggu, anda boleh perlahan-lahan lakukan senaman sebagai salah satu rutin harian anda!
Senaman abdomen untuk ibu bersalin
Salah satu senaman yang anda boleh lakukan ialah senaman abdomen. Selain dapat melindungi tulang belakang anda, senaman ini juga boleh bantu anda untuk bertenang dan membaiki postur tubuh.
Namun pastikan anda berunding terlebih dahulu bersama doktor untuk mengetahui sama ada boleh atau tidak untuk anda melakukannya, okay?
Mudah sahaja untuk lakukan senaman abdomen ini. Cuba lakukan langkah-langkah di bawah:
- Baring mengiring dan bengkokkan lutut anda.
- Cuba bertenang. Relaks dan tarik nafas.
- Semasa anda lepaskan nafas, cuba tegangkan otot abdomen anda.
- Pada masa yang sama, cuba kemutkan otot lantai pelvis anda selama 10 saat.
- Lakukan senaman ini 10 kali, dan ulang 3 kali sehari.
Lakukan wall sit
Senaman wall sit boleh bantu para ibu bersalin secara cesarean untuk menguatkan otot hamstring, otot pada lantai pelvis dan bahagian bawah badan. Mudah sahaja jika anda ingin lakukan wall sit. Caranya ialah:
- Berdiri 1 hingga 2 kaki jauh daripada dinding.
- Perlahan-lahan, sandar pada dinding. Kaki anda patut membengkok 90 darjah.
- Tarik nafas perlahan-lahan.
- Anda boleh lakukan senaman kegel pada waktu ini jika anda mahu.
- Cuba bertahan dalam posisi yang sama selama mungkin. Rehat 1 minit dan ulang selama 5 kali.
Bila saya boleh kembali melakukan senaman seperti biasa?
Jika anda ingin kembali bersenam seperti dulu, anda perlu tunggu sekurang-kurangnya 6-8 minggu selepas kelahiran.
Walau bagaimanapun, pastikan anda berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum melakukan senaman yang berat.
Kadar pemulihan setiap individu selepas melakukan pembedahan cesarean adalah berbeza. Oleh sebab itu, doktor boleh memeriksa keadaan anda berdasarkan tahap kesihatan untuk melihat sama ada anda boleh bersenam ataupun tidak.
Pada awalnya, ibu yang baru bersalin boleh lakukan senaman ringan seperti berenang, melakukan pilates ataupun yoga, dan berjoging.
Selepas 12 minggu, barulah anda boleh lakukan senaman yang berat seperti berlari, aerobik ataupun mengangkat berat.
Selain itu, elakkan juga senaman seperti:
- Zumba ataupun kickboxing yang melibatkan banyak lompatan.
- Senaman yang meregang bahagian perut seperti plank, dan berbasikal.
- Apa-apa jenis senaman yang boleh menekan parut c-section anda.
- Apa-apa senaman yang menyebabkan anda rasa sakit.
Kesimpulan
Senaman merupakan aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat secara mental dan fizikal kepada ibu yang baru bersalin.
Jika anda lakukannya dengan betul, senaman ini dapat membantu anda untuk sembuh dengan lebih pantas selepas pembedahan caesarean.
Selain itu, aktiviti fizikal juga dapat membuatkan para ibu rasa gembira dan mempunyai mood yang lebih baik.
Ibu yang baru bersalin terdedah kepada postpartum depresion. Oleh sebab itu, apa-apa jenis senaman yang boleh buatkan ibu rasa lebih baik dapat mengurangkan risiko untuk ibu menghidap depresi.
Selain itu, ibu boleh melawan perasaan stres yang disebabkan oleh kelahiran dengan melakukan senaman.
Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak terlalu memaksa diri semasa bersenam. Luka c-section boleh terkena jangkitan atau kembali berdarah jika anda tidak berhati-hati!
[embed-health-tool-ovulation]