backup og meta

Ingin Lakukan IVF? Ketahui Kos Serta Risikonya Terlebih Dahulu!

Ingin Lakukan IVF? Ketahui Kos Serta Risikonya Terlebih Dahulu!

Bagi pasangan yang berhadapan dengan cabaran untuk hamil, kaedah persenyawaan in vitro atau lebih dikenali sebagai rawatan IVF merupakan antara opsyen yang popular.

Namun, sebelum mula, pasangan perlulah mempertimbangkan mengenai kos IVF di Malaysia. Selain itu, pasangan yang ingin melakukan IVF juga perlu cakna mengenai risiko rawatan tersebut. 

Menurut laman sesawang NHS, IVF selalunya boleh dilakukan oleh wanita berusia bawah 43 tahun yang sudah sedaya upaya cuba untuk hamil dalam masa 2 tahun. 

Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai kos IVF di Malaysia, mengapa anda perlu melakukannya dan risiko yang mungkin timbul. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Apa itu IVF?

Rawatan IVF merupakan satu teknik yang dapat membantu pasangan menimang cahaya mata. 

Ketika IVF dilakukan, ovum (telur) akan dikeluarkan dari ovari dan disenyawakan bersama sprema di dalam makmal. 

Telur yang telah disenyawakan, juga digelar embrio, akan dipulangkan semula ke dalam rahim wanita supaya ia dapat membesar dengan baik. 

Kos IVF di Malaysia

Rawatan IVF yang boleh membantu ibu bapa bermasalah kesuburan.
Rawatan IVF yang boleh membantu ibu bapa bermasalah kesuburan.

Kos rawatan IVF di Malaysia berbeza mengikut tempat rawatan dan juga kepakaran doktor yang terlibat. Secara amnya, kos IVF di Malaysia bermula sekitar RM15,000 hingga RM30,000 untuk satu kitaran rawatan. 

Harga tersebut merangkumi kos konsultasi doktor, ubat hormon untuk merangsang ovari, prosedur pengambilan telur,dan proses persenyawaan telur dengan sperma di makmal.

Di samping itu, terdapat juga kos tambahan yang mungkin perlu ditanggung seperti kos menyimpan embrio jika pasangan ingin menyimpannya untuk kegunaan masa hadapan. 

Kos untuk menyimpan embrio biasanya sekitar RM1,000 hingga RM2,000 setahun. Bagi sesetengah pasangan, satu kitaran IVF mungkin tidak mencukupi untuk hamil. 

Perkara tersebut boleh meningkatkan lagi jumlah kos yang perlu ditanggung.

Mengapa pasangan perlu membuat IVF?

Golongan paling sesuai untuk melakukan IVF.
Golongan paling sesuai untuk melakukan IVF.

IVF menjadi pilihan untuk sesetengah pasangan yang menghadapi kesukaran untuk hamil secara semula jadi. 

Terdapat beberapa sebab mengapa ada pasangan yang memilih untuk melakukan IVF. Antaranya: 

  • Masalah kesuburan. Ada wanita yang mengalami masalah kesuburan hingga menyukarkan mereka untuk hamil. Mereka mungkin alami masalah tiub falopio tersumbat atau endometriosis. Dengan IVF, telur yang matang boleh diambil terus dari ovari dan disenyawakan di luar rahim, sekaligus mengatasi masalah tiub falopio yang tersumbat.
  • Kualiti sperma rendah. Lelaki yang mempunyai kualiti sperma rendah, sama ada dari segi bilangan atau pergerakan sperma, juga boleh melakukan IVF sebagai ikhtiar untuk menimang cahaya mata. Sperma terbaik akan dipilih untuk disenyawakan dengan telur.
  • Masalah ovulasi. Sesetengah wanita tidak mengalami ovulasi secara teratur. Ada juga yang mempunyai jumlah telur yang sedikit. Rawatan IVF boleh menggunakan ubat hormon bagi merangsang ovari supaya menghasilkan lebih banyak telur yang boleh disenyawakan.
  • Faktor usia. Usia wanita memainkan peranan besar dalam kesuburan. Wanita yang berumur lebih dari 35 tahun mempunyai peluang lebih rendah untuk hamil secara semula jadi.
  • Masalah kesihatan lain. Pasangan yang mempunyai masalah kesihatan disebabkan genetik juga boleh memilih untuk melakukan rawatan IVF. Dalam kes ini, ujian genetik praimplantasi (PGT) boleh dilakukan untuk memastikan embrio yang dipilih adalah sihat.

Selain kos IVF di Malaysia, apa lagi yang pasangan perlu tahu?

Walaupun IVF boleh meningkatkan peluang bagi pasangan yang ingin mempunyai cahaya mata sendiri, ia juga mempunyai beberapa risiko yang perlu dipertimbangkan,

Selain  kos IVF di Malaysia, pasangan juga perlu mempertimbangkan risiko IVF. Antaranya:

1. Sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS)

OHSS merupakan kesan sampingan yang mungkin berlaku apabila ovari bertindak balas secara berlebihan terhadap ubat hormon yang digunakan ketika IVF. 

Antara gejala OHSS ialah kembung perut, loya dan sakit di bahagian perut. Dalam kes yang jarang berlaku, OHSS boleh menjadi serius sehingga pesakit perlu mendapatkan rawatan. 

2. Kehamilan berganda

IVF juga boleh meningkatkan kebarangkalian kehamilan berganda.
IVF juga boleh meningkatkan kebarangkalian kehamilan berganda.

IVF boleh meningkatkan peluang untuk ibu hamil dari satu anak (kembar). Sewaktu rawatan dijalankan, lebih dari satu embrio mungkin dipindahkan ke dalam rahim. 

Kehamilan berganda mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi termasuklah kelahiran pramatang dan berat badan bayi yang rendah.

3. Keguguran ketika rawatan IVF 

Seperti kehamilan biasa, terdapat risiko keguguran dalam rawatan IVF. Risiko ini boleh meningkat mengikut usia wanita, terutamanya bagi wanita yang lebih berusia daripada 35 tahun. 

Sudah tentulah, kos IVF di Malaysia akan meningkat sekiranya pasangan ingin melakukan IVF sekali lagi pada masa akan datang. 

4. Tekanan emosi dan kewangan

Pasangan berkemungkinan mengalami tekanan emosi jika tidak berjaya mendapatkan cahaya mata.
Pasangan berkemungkinan mengalami tekanan emosi jika tidak berjaya mendapatkan cahaya mata.

IVF adalah satu proses yang memerlukan komitmen besar dari segi emosi dan kewangan. Manakan tidak, pasangan yang memilih untuk melakukan rawatan IVF selalunya telah melaburkan banyak masa dan wang. 

Malah, bukan semua kitaran IVF akan berjaya. Kegagalan boleh menjadi satu cabaran emosi yang besar bagi pasangan.

5. Komplikasi semasa pengambilan telur

Proses pengambilan telur bagi rawatan IVF melibatkan penggunaan jarum untuk mengeluarkan telur dari ovari. Perkara ini boleh menyebabkan pendarahan, jangkitan atau kerosakan pada struktur di sekeliling ovari.

Oleh itu, berbincanglah dengan doktor sebelum melakukan rawatan IVF. Pastikan anda tahu mengenai setiap komplikasi yang boleh berlaku. 

[embed-health-tool-ovulation]


  • IVF merupakan salah satu cara bagi pasangan yang menghadapi masalah kesuburan untuk mencapai impian memiliki zuriat. 
  • Namun, kos IVF di Malaysia yang bermula dari RM15,000 hingga RM30,000 bagi setiap kitaran menjadikannya satu keputusan besar yang perlu dipertimbangkan dengan teliti oleh setiap pasangan.
  • Pasangan yang berminat perlu memahami sebab-sebab mereka memerlukan IVF serta risiko-risiko yang mungkin timbul sepanjang proses tersebut. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. IVF. https://www.nhs.uk/conditions/ivf/. Diakses pada Oktober 6, 2024. 
  2. In vitro fertilization (IVF). https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/in-vitro-fertilization/about/pac-20384716. Diakses pada Oktober 6, 2024. 
  3. IVF (In Vitro Fertilization). https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/22457-ivf. Diakses pada Oktober 6, 2024. 
  4. In Vitro Fertilization (IVF). https://www.yalemedicine.org/conditions/ivf. Diakses pada Oktober 6, 2024. 
  5. In vitro fertilization (IVF). https://medlineplus.gov/ency/article/007279.htm. Diakses pada Oktober 6, 2024. 

Versi Terbaru

11/10/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

“Tak Kisah Hamil Lambat, Sebab IVF Kan Ada", Ini 7 Mitos Tentang Kemandulan

Alamak! Wanita Ini Tertukar Sperma Sewaktu Rawatan IVF, Bagaimana Boleh Terjadi?


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 11/10/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan