Apakah punca demam semasa hamil?
Semasa kehamilan, terdapat beberapa kondisi yang boleh mengakibatkan demam, iaitu:
- Jangkitan virus influenza
- Keracunan makanan
- Infeksi saluran air kencing
- Infeksi saluran pernafasan
- Pneumonia (infeksi paru-paru)
- Gastroenteritis (infeksi perut)
- Tonsilitis (infeksi tonsil)
- Pyelonephritis (infeksi buah pinggang)
Kondisi-kondisi ini merupakan kondisi biasa yang boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan. Namun begitu, terdapat juga kemungkinan berlakunya kondisi yang lebih serius dan demam semasa hamil merupakan antara petandanya, iaitu:
- Listeria
- Keguguran septik
- Chorioamnionitis
Apakah implikasi demam semasa hamil?
Demam semasa hamil kebiasaannya tidak akan mendatangkan bahaya kepada anda dan kandungan. Namun begitu, anda disarankan untuk sentiasa berwaspada terhadap suhu badan anda. Demam dengan suhu badan yang terlalu tinggi dan tidak dirawat dengan betul akan mendatangkan kesan sampingan seperti keguguran selain boleh membawa maut kepada bayi dan juga anda. Oleh itu, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
Rawatan demam semasa hamil
Umum mengetahui bahawa paracetamol adalah selamat digunakan untuk merawat demam semasa hamil. Setiap dos paracetamol iaitu satu hingga dua tablet 500mg akan berkesan sehingga empat jam, dan maksimum 4g iaitu bersamaan lapan tablet 500mg boleh diambil dalam masa 24 jam.
Namun begitu, anda perlu mengelakkan daripada mengambil paracetamol terlalu kerap terutamanya ketika lewat kehamilan. Ini kerana pengambilan paracetamol pada setiap hari ketika trimester ketiga disahkan menjadi antara punca semput pada awal usia bayi anda setelah lahir kelak.
Terdapat juga ubat-ubatan selain paracetamol yang berupaya mengurangkan demam. Seperti contoh, ibuprofen serta aspirin. Namun begitu, ubat-ubatan ini tidak disyorkan oleh doktor kerana ia tidak selamat untuk ibu hamil dan mempunyai kesan sampingan yang lain.