home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Kekurangan Vitamin D Tingkat Risiko Anak Hidap Skizofrenia

Kekurangan Vitamin D Tingkat Risiko Anak Hidap Skizofrenia

Bayi baru lahir dengan kekurangan vitamin D mempunyai risiko menghidap skizofrenia yang lebih tinggi di kemudian hari, pasukan penyelidik Australia dan Denmark melaporkan.

Penemuan ini boleh membantu mencegah beberapa kes penyakit dengan merawat kekurangan vitamin D semasa peringkat awal kehidupan.

Kajian yang diketuai oleh Profesor John McGrath dari University of Queensland (UQ) di Australia dan Aarhus University di Denmark, mendapati bayi baru lahir dengan kekurangan vitamin D mempunyai 44 peratus peningkatan risiko didiagnosis dengan skizofrenia sewaktu dewasa berbanding mereka yang mempunyai tahap vitamin yang normal.

Apa itu Skizofrenia?

Skizofrenia ialah penyakit mental kronik yang dikategorikan di bawah jenis gangguan psikotik. Ia mengganggu pemikiran, perasaan dan tingkah laku dengan simptom seperti halusinasi, khayalan dan gangguan kognitif. Penghidap keadaan mental ini seolah-olah telah terpisah daripada dunia realiti.

Beberapa faktor risiko dikaitkan dengan skizofrenia termasuklah sejarah keluarga, usia bapa yang tua, penyakit autoimun dan jangkitan virus, keracunan, dan pemakanan tidak seimbang semasa dalam kandungan, terutamanya dalam 6 bulan pertama. Penggunaan ubat perangsang atau perencat saraf juga didapati boleh meningkatkan risiko skizofrenia.

Kepentingan vitamin D

Vitamin D memainkan peranan penting dalam homeostasis dan kesihatan tulang. Terhasil daripada kulit yang didedahkan dengan UVB daripada sinaran matahari, vitamin ini juga dianggap sebagai hormon neurosteroid yang penting. Ini bermakna ia memainkan peranan penting dalam perkembangan dan fungsi otak.

Kekurangan vitamin ini dikaitkan dengan obesiti, rintangan insulin, diabetes, hiperlipidaemia dan penyakit jantung, yang turut biasa ditemui dalam pesakit skizofrenia.

Kaitan kekurangan vitamin D dan Skizofrenia

Disebabkan janin yang sedang berkembang bergantung sepenuhnya kepada simpanan vitamin D ibu mengandung, penemuan tersebut menunjukkan bahawa memastikan wanita mengandung mempunyai tahap vitamin penting ini dengan mencukupi dapat mencegah beberapa kes skizofrenia, sepertimana suplemen folat memainkan peranan dalam pencegahan spina bifida.

Profesor McGrath, dari Institut Brain Queensland UQ, berkata kajian yang berdasarkan 2602 individu itu mengesahkan kajian terdahulu yang turut diketuai beliau yang mendapati kaitan antara kekurangan vitamin D neonatal dan peningkatan risiko skizofrenia.

Pasukan tersebut membuat penemuan ini dengan menganalisis tahap vitamin D dalam sampel darah yang diambil dari bayi baru lahir di Denmark antara 1981 dan 2000 yang kemudiannya menghidap skizofrenia sewaktu dewasa.

Para penyelidik membandingkan sampel mereka dengan individu dengan jantina dan tarikh kelahiran sama tetapi tidak mengalami skizofrenia.

Profesor McGrath juga mengetuai kajian Belanda 2016 yang mendapati hubungan antara kekurangan vitamin D prenatal dan peningkatan risiko autisme zaman kanak-kanak.

Oleh itu, pencegahan boleh dilakukan para ibu dengan pendedahan kepada cahaya matahari yang mencukupi dan pengambilan dalam diet seperti salmon, udang, kuning telur dan minyak ikan kod.

Baca Juga:

Kalkulator Ovulasi

Kalkulator Ovulasi

Memantau kitaran haid, menentukan waktu kesuburan dan lebih membantu anda untuk merancang kehamilan dengan baik.

Kalkulator Ovulasi

Memantau kitaran haid, menentukan waktu kesuburan dan lebih membantu anda untuk merancang kehamilan dengan baik.

Kalkulator Ovulasi

Panjang Kitaran

(hari)

28

Objektif

(hari)

7

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Chiang, Mathew, Radhika Natarajan, and Xiaoduo Fan. ‘Vitamin D in Schizophrenia: A Clinical Review’. Evidence-Based Mental Health 19, no. 1 (1 February 2016): 6–9. https://doi.org/10.1136/eb-2015-102117.

‘Link between Neonatal Vitamin D Deficiency and Schizophrenia Confirmed’. Accessed 24 December 2018. https://medicalxpress.com/news/2018-12-link-neonatal-vitamin-d-deficiency.html.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Helma Hassan Disemak pada 15/05/2020
Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel