backup og meta

Risau Kakak Masih Belum Hamil Sebab Endometriosis, Ibu Pun Pernah Alaminya, Ini Penyakit KETURUNAN?

Risau Kakak Masih Belum Hamil Sebab Endometriosis, Ibu Pun Pernah Alaminya, Ini Penyakit KETURUNAN?

Apa yang anda faham tentang penyakit endometriosis? Ada kata ia masalah ketidaksuburan yang diwarisi, benarkah? Jom fahami tentang keadaan kesihatan ini.

Penyakit endometriosis

Endometriosis adalah keadaan di mana tisu hampir sama dengan lapisan dalam rahim, dikenali sebagai endometrium, wujud di luar rahim.

Keadaan kesihatan tersebut menimbulkan reaksi keradangan kronik dan mengakibatkan wujudnya tisu parut. 

Antara simptom endometriosis adalah termasuk kesakitan ketika haid dan proses ovulasi menyakitkan, rasa sakit semasa atau selepas hubungan seksual dan pendarahan yang banyak.

Wanita dengan endometriosis turut akan mengalami gejala seperti kesakitan pelvis kronik, keletihan, ketidaksuburan dan kesan kepada kesejahteraan fizikal, mental serta sosial.

Dianggarkan 1 daripada 10 wanita atau kira-kira 176 juta wanita di dunia, yang berusia antara usia 15 hingga 49 tahun, akan mengalami penyakit endometriosis. 

9 fakta tentang penyakit endometriosis

Banyak salah faham tentang keadaan kesihatan ini yang sering menjadi kepercayaan wanita di luar sana. 

Tidak mengapa. Di sini Hello Doktor kongsikan serba sedikit fakta penting tentang keadaan kesihatan berkaitan wanita ini agar anda akan lebih dapat memahami tentangnya. 

  1. Adakah endometriosis 1 penyakit yang diwarisi?

Hakikat sebenarnya tentang punca masalah kesihatan ini masih tidak diketahui. Namun, tidak dinafikan selain faktor persekitaran, keturunan turut memainkan peranannya. 

Penyakit ini dikatakan sering menjejaskan anggota keluarga nuklear yang sama, seperti adik-beradik perempuan, ibu dan nenek.

Kes wanita dengan sepupu yang mempunyai endometriosis juga meningkat. Jadi secara tidak langsung, endometriosis dipercayai boleh diwarisi melalui keturunan keluarga ibu atau bapa.

  1. Keadaan kesihatan sukar difahami

Pada perspektif wanita, penyakit endometriosis adalah keadaan melibatkan pantang-larang, mitos, diagnosis tertunda dan kurangnya kesedaran.

Keadaan tersebut secara tidak langsung boleh menjejaskan kehidupan seseorang wanita.

Kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang terjejas kesan penyakit ini boleh mempengaruhi kemampuan individu berkaitan pendidikan, kerjaya serta kehidupan.

Hampir separuh wanita yang mengalami endometriosis menderita kesakitan berkaitan hubungan intim. 

keadaan kesihatan

  1. Tiada definisi terlalu muda 

Masih ada yang mempercayai bahawa keadaan ini jarang berlaku kepada individu wanita atau remaja perempuan yang masih muda. 

Kesannya, diagnosis berkaitan endometriosis tidak dilakukan pada wanita atau remaja yang mengadu simptom seperti kesakitan ketika haid, sakit pelvis ataupun hubungan seks yang menyakitkan. 

Remaja seawal usia 15 tahun atau wanita pada usia awal 20-an, bukanlah 1 usia yang terlalu muda untuk mengalami penyakit ini. 

Bahkan, kebanyakan wanita endometriosis mengalami gejala semasa remaja. Namun, malangnya tidak didiagnosis dan dirawat sehingga mereka berusia 20-an atau 30-an.

  1. Kesakitan kronik adalah tidak normal

Kebanyakan wanita dengan penyakit ini diberitahu bahawa kesakitan dialami (rasa sakit yang teruk) adalah perkara normal, sebahagian daripada hidup sebagai wanita, atau hanyalah di kepala mereka sahaja. 

Jika kesakitan yang berlaku sehingga menjejaskan kehidupan seharian, seperti kemampuan pergi ke sekolah, melaksanakan tugasan kerja mahupun aktiviti harian lain, ia tidak boleh dianggap normal.

  1. Kehamilan tidak menyembuhkan penyakit endometriosis

Ada yang mempercayai bahawa apabila seseorang wanita dengan endometriosis hamil, masalah kesihatan yang dialami akan hilang sebaik sahaja mengandung.

Namun, kenyataannya, kehamilan sama seperti rawatan ubat hormon, hanyalah ‘menghentikan’ simptom keadaan kesihatan itu untuk sementara tetapi bukan menyingkirkan terus,

Oleh itu, biasanya gejala endometriosis akan berulang sebaik sahaja selepas anda melahirkan anak

Ada sesetengah wanita dapat menunda simptom tersebut dengan proses penyusuan badan

Tetapi ia hanya jika penyusuan berlaku dengan kerap dan cukup kuat untuk menghentikan sebentar kitaran haid

  1. Endometriosis BUKAN endometrium

Ada yang merujuk endometriosis sebagai “endometrium”, iaitu lapisan rahim tetapi ia tidak tepat sama sekali.

Pakar penyelidik endometriosis bersetuju bahawa endometriosis adalah tisu seperti endometrium dijumpai di luar rahim.

  1. Endometriosis tidak sama dengan ketidaksuburan

Terlalu banyak wanita muda mempercayai bahawa mengalami endometriosis bermakna mereka tidak subur. 

Namun sebenarnya, kepercayaan itu tidak benar 100%. Kebanyakan wanita dengan penyakit endometriosis masih mampu untuk mempunyai anak.

Secara umumnya, dipercayai bahawa 60 hingga 70% wanita dengan keadaan kesihatan ini subur. 

  1. Endometriosis melibatkan fisiologi dan bukannya emosi

Kesan komplikasi melibatkan emosi bukanlah akibat daripada endometriosis. 

Endometriosis adalah penyakit yang berasal daripada faktor keturunan, epigenetik dan molekul nyata serta sangat kompleks. Ia 1 penyakit fisiologi berpunca daripada pelbagai faktor.

Wanita dengan keadaan kesihatan ini mungkin berdepan dengan tekanan emosi akibat kesakitan dan ketidaksuburan.

Namun emosi tersebut adalah kesan daripada rasa sakit, bukannya yang menyebabkan penyakit.

fakta-penyakit-endometriosis-melibatkan-keturunan

  1. Pengguguran dan meruang bukan punca endometriosis

Masih tiada bukti saintifik dapat mengaitkan antara proses pengguguran dan tabiat meruang yang boleh mengembangkan keadaan kesihatan ini.

Ia mungkin berlaku akibat kekeliruan antara endometriosis dengan endometritis, iaitu keradangan pada lapisan rahim yang biasa berlaku disebabkan jangkitan. 

Rundingan doktor

Jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan berkaitan dengan kesihatan diri, sebaiknya dapatkan rundingan dan pemeriksaan daripada doktor pakar. 

[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.womenshealth.gov/a-z-topics/endometriosis/ Accessed on June 12, 2020

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2911462// Accessed on June 12, 2020

http://endometriosis.org/resources/articles/facts-about-endometriosis// Accessed on June 12, 2020

http://endometriosis.org/resources/articles/myths// Accessed on June 12, 2020

https://www.medicinenet.com/endometriosis/article.htm / Accessed on June 12, 2020

Versi Terbaru

19/06/2023

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Kurang Folikel Punca Sukar Hamil? Fahami Kaedah AFC Dalam Rawatan Kesuburan

Ingin Tahu Sperma Lelaki Subur Atau Tidak, Lihat Warna Air Mani, Betul Ke?


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 19/06/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan