Melahirkan anak adalah proses yang melibatkan pelbagai perubahan pada diri ibu, baik secara emosi mahupun fizikal. Oleh sebab itu penjagaan diri selepas bersalin amat penting!
Baca lebih lanjut tentang Kehamilan di sini.
Tempoh penjagaan diri selepas bersalin
Tidak kira bagaimana kaedah anda melahirkan anak, jangka masa 6 minggu pertama dianggap sebagai masa penjagaan diri selepas bersalin atau tempoh pemulihan.
Mungkin proses kelahiran yang anda tempuhi lancar, tidak seperti sesetengah wanita mengalami kesukaran sewaktu bersalin.
Namun hakikatnya badan telah meregang sehingga ke tahap maksimum dan memerlukan masa untuk pulih.
Umumnya, setiap ibu mempunyai badan berbeza, maka tempoh pemulihan juga adalah pada kadar dan simptom selepas bersalin yang tidak sama.
Sesetengah simptom mungkin akan mereda dalam tempoh seminggu.
Sementara gejala seperti sakit puting, kesakitan pada belakang badan dan kadangkala rasa menyucuk pada perineal, boleh berlanjutan selama berminggu-minggu.
Ada juga simptom seperti payudara bengkak dan kesakitan pada bahagian pinggul yang boleh berterusan sehinggalah bayi membesar.
Bagi ibu yang melalui kelahiran normal atau faraj, pastinya tertanya-tanya berapa lama masa diperlukan untuk menghilangkan rasa sakit dan luka perineum akan sembuh.
Kebiasaannya, pemulihan boleh berlaku antara 3 minggu (jika tidak berlaku koyak an) sehingga 6 minggu atau lebih sekiranya anda mengalami luka perineum atau jahitan episiotomi.
Keadaan miss V selepas bersalin? Sudah tentu akan ada perubahan, itu yang pasti.
Bagi ibu yang menempuh prosedur melahirkan anak melalui pembedahan caesarean, anda perlu menjangkakan untuk bermalam di hospital selama 3 hingga 4 hari pertama selepas bersalin.
Anda juga akan mengambil masa 4 hingga 6 minggu sebelum kembali normal.
Bergantung sama ada anda meneran atau tidak dan jangka masa bersalin itu sendiri, akan wujud risiko untuk mengalami kesakitan perineum.
Pendarahan selepas melahirkan anak
Bercakap mengenai penjagaan diri selepas bersalin, ibu pastinya sedia maklum mengenai pendarahan yang akan dialami setelah melahirkan anak.
Pendarahan ini dikenali sebagai lochia atau dalam Islam, ia disebut darah nifas. Umumnya, pendarahan ini boleh berlangsung selama tempoh 6 minggu.
Seperti pendarahan haid yang sangat banyak, ia adalah merupakan sisa darah, tisu serta lendir daripada rahim.
Tempoh pendarahan paling berat adalah selama 3 hingga 10 hari pertama dan akan berkurangan – berubah daripada merah kepada merah jambu hingga coklat dan akhirnya putih kekuningan.
Sekiranya menyedari terdapat gumpalan darah besar atau pendarahan banyak sehingga perlu menukar tuala wanita lebih daripada 1 bagi setiap sejam, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.
Ini perlu bagi mengelakkan berlakunya tumpah darah atau dalam istilah perubatan – Postpartum Hemorrhage.
Percepatkan proses penyembuhan penjagaan diri selepas bersalin
Berikut ada beberapa petua yang boleh membantu mempercepatkan tempoh pemulihan serta penjagaan diri selepas bersalin, sehingga anda sembuh dan berasa lebih sihat:
1. Bantu penyembuhan perineum
Lalukan ais pada bahagian perineum beberapa jam bagi tempoh 24 jam pertama selepas kelahiran.
Anda juga digalakkan untuk menyembur air suam ke kawasan jahitan sebelum dan selepas kencing bagi mengelakkan urin daripada menyebabkan kerengsaan. Jangan lupa lap sehingga kering, ya?
Elakkan daripada berdiri atau duduk terlalu lama dan tidur secara mengiring.
2. Penjagaan parut C-Sec
Bersihkan bahagian Czer dengan sabun dan air sehari sekali. Keringkan dengan tuala bersih, kemudian sapu salap antibiotik.
Tanyakan kepada doktor sama ada perlu menutup bahagian luka atau dibiarkan terbuka.
Hindari daripada membawa bebanan selain mendukung si kecil.
3. Melegakan kesakitan dalam penjagaan diri selepas bersalin
Kesakitan yang dialami boleh diredakan dengan mandian air panas atau pad pemanas. Anda juga boleh mendapatkan urutan bagi memberikan kelegaan.
4. Pergerakan usus
Pergerakan usus pertama selepas melahirkan anak mungkin akan mengambil sedikit masa. Tetapi jangan memaksa!
Perbanyakkan pengambilan makanan tinggi serat seperti bijirin penuh, buah-buahan dan sayuran serta berjalan-jalan.
Jangan meneran semasa membuang air besar, ia tidak baik untuk luka jahitan perineum atau parut Czer anda.
5. Senaman Kegel
Untuk memulihkan faraj dalam penjagaan diri selepas bersalin, menjadikan hubungan seks menyeronokkan dan mengatasi masalah kencing tidak lawas, senaman Kegel adalah jawapannya!
Baca juga: