Penggunaan vape semakin meningkat dalam kalangan masyarakat, terutama dalam kalangan generasi muda. Walaupun sering dipromosikan sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok konvensional, kajian terbaru mendedahkan bahawa bahaya vape mungkin lebih serius daripada yang disangka.
Adakah vape bagus untuk kesihatan seperti yang sering difikirkan?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Bahaya vape, kajian dedahkan ia boleh jejaskan kardiovaskular tubuh

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Public Health mendapati bahawa, lebih satu juta individu di England kini menggunakan vape walaupun mereka tidak pernah merokok secara tetap sebelum ini.
Peningkatan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan kerana ia menunjukkan bahawa vape bukan sahaja digunakan oleh perokok yang ingin berhenti merokok, tetapi juga menarik golongan yang tidak pernah mengambil tembakau sebelum ini.
Sebelum tahun 2021, kadar penggunaan vape dalam kalangan individu bukan perokok adalah sekitar 0.5%.
Namun, pada tahun 2024, angka ini melonjak kepada 3.5%, bersamaan lebih satu juta pengguna baharu.
Lebih separuh daripada jumlah ini terdiri daripada golongan muda berusia 18 hingga 24 tahun.
Pakar kesihatan seperti Profesor Nick Hopkinson menyuarakan kebimbangan bahawa walaupun vape boleh membantu perokok berhenti merokok, ia tidak bebas daripada sebarang risiko.
Penggunaan yang tinggi dalam kalangan orang muda yang tidak pernah merokok boleh menyebabkan ketagihan nikotin dan masalah kesihatan jangka panjang.
Ini menimbulkan persoalan besar – adakah vape bagus untuk kesihatan, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai sejarah merokok?
Kajian yang dijalankan di Institute of Sport, Manchester Metropolitan University mengkaji kesan bahaya vape terhadap kesihatan kardiovaskular.
Kajian ini melibatkan peserta berusia antara 18 hingga 45 tahun dengan tahap kecergasan yang sama.
Sebelum ujian dilakukan, peserta hanya dibenarkan mengambil air selama 12 jam dan dilarang daripada melakukan aktiviti fizikal, merokok atau menggunakan vape.
Dalam ujian Flow-Mediated Dilation (FMD), di mana tekanan pada lengan digunakan untuk mengukur keanjalan saluran darah, hasilnya menunjukkan bahawa, pengguna vape dan perokok mengalami bacaan yang sama.
Ini menunjukkan bahawa dinding arteri mereka telah mengalami kerosakan dan tidak lagi mampu mengembang seperti biasa.
Masalah kardiovaskular akibat vape?
Keadaan bahaya vape ini meningkatkan risiko masalah kardiovaskular yang serius pada masa hadapan.
Lebih membimbangkan, ujian lanjut mendapati bahawa aliran darah ke otak dalam kalangan pengguna vape dan perokok juga terjejas.
Keadaan ini meningkatkan risiko mereka mengalami gangguan kognitif, termasuk demensia pada usia tua.
Menurut Dr. Boidin, pensyarah kanan dalam pemulihan jantung, kerosakan ini dipercayai berpunca daripada keradangan akibat nikotin, serta bahan kimia dan logam berat yang terdapat dalam vape seperti propylene glycol, vegetable glycerine, dan sebatian karbonil dalam perisa vape.
Bahan-bahan ini menyebabkan keradangan dan tekanan oksidatif, yang boleh membawa kepada kerosakan dinding arteri serta kematian sel.
Beliau turut menegaskan bahawa apabila seseorang memasukkan campuran logam dan bahan kimia ke dalam badan mereka, kesan sampingan pasti berlaku.
Di UK, kadar penggunaan vape semakin meningkat sejak rokok elektronik mula diperkenalkan pada tahun 2005.
Statistik menunjukkan bahawa sekitar 5.1 juta orang berusia 16 tahun ke atas menggunakan vape, dengan kadar penggunaan tertinggi dalam kalangan mereka yang berumur 16 hingga 24 tahun iaitu sebanyak 15.8%.
Apa kesan vape pada paru-paru? Kajian ini mengesahkan bahawa bahaya vape bukan sahaja membahayakan paru-paru tetapi juga boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular serta gangguan kognitif pada masa hadapan.
Jadi, adakah nikotin bahaya untuk kesihatan?

Salah satu bahan utama dalam vape ialah nikotin, bahan yang sama terdapat dalam rokok biasa. Adakah nikotin bahaya?
Jawapannya adalah ya.
Nikotin boleh menyebabkan ketagihan yang tinggi dan memberi kesan buruk kepada kesihatan, terutamanya kepada sistem saraf dan kardiovaskular.
Antara kesan utama nikotin termasuklah:
- Meningkatkan tekanan darah: Nikotin boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
- Menjejaskan perkembangan otak: Bagi golongan muda, nikotin boleh mengganggu perkembangan otak, yang boleh memberi kesan kepada tumpuan dan kawalan emosi.
- Bahaya vape menyebabkan ketagihan: Pengguna yang terdedah kepada nikotin sejak awal lebih berisiko untuk menjadi ketagih, yang boleh membawa kepada penggunaan produk tembakau lain di masa hadapan.
Oleh sebab itu, pakar menegaskan bahawa pengambilan vape tanpa sebab perubatan yang jelas boleh membawa kepada masalah kesihatan jangka panjang. Ini menjawab persoalan adakah nikotin bahaya.
Kesimpulan
Walaupun vape sering dianggap sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok, kajian terbaru menunjukkan bahawa ia masih membawa risiko kesihatan yang ketara.
Bahaya vape bukan sahaja terhad kepada ketagihan nikotin, tetapi juga kepada kesan vape pada paru-paru dan sistem kardiovaskular.
Oleh itu, masyarakat perlu lebih berhati-hati sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan vape, terutamanya golongan muda yang belum pernah merokok sebelum ini.
[embed-health-tool-bmi]