home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Nak Kembali Langsing Lepas Bersalin, Pakai Bengkung, Tapi Benarkah Ini Manfaatnya? Atau Ada Mudarat?

Nak Kembali Langsing Lepas Bersalin, Pakai Bengkung, Tapi Benarkah Ini Manfaatnya? Atau Ada Mudarat?

Selepas melahirkan anak, pastinya akan ada yang menyarankan untuk anda mengamalkan pemakaian bengkung bersalin. Namun adakah ia boleh mendatangkan manfaat atau lebih kepada mudarat?

Apa sebenarnya bengkung bersalin?

Secara mudahnya bengkung bersalin ini adalah produk yang dililitkan di pinggang untuk memberikan sokongan kepada badan selepas melahirkan anak.

Umumnya, terdapat pelbagai jenis produk bengkung yang berbeza di pasaran. Berikut adalah variasi bengkung yang sering digunakan di negara Barat, seperti:

#Belly wrap

Merupakan bengkung elastik lebar yang boleh dilaraskan dan akan menutupi badan daripada tulang rusuk sehingga ke bahagian atas pinggul. Ia memberikan tekanan pemampatan lembut.

#Abdominal compression binder

Bengkung ini adalah antara alat perubatan yang direka untuk dipakai selepas pembedahan pada abdomen.

Ia memberikan tekanan pemampatan sederhana sehingga kuat yang boleh dilaraskan (velcro) mengikut kesesuaian.

Walaupun ia tidak dikhususkan untuk penggunaan wanita selepas bersalin, tetapi masih ada yang memilih untuk menggunakannya.

#Waist trainers/cinchers

Juga merupakan bengkung lebar boleh dilaraskan yang merangkumi bahagian tengah badan – dari bawah dada sehingga ke bahagian atas pinggul.

Jenis bengkung ini biasanya digunakan oleh golongan selebriti. Ia diperbuat daripada bahan getah atau bahan lain dan berkemungkinan mengandungi plastik atau logam.

Tujuan pemakaiannya adalah bagi mengurangkan ukuran pinggang secara drastik dan menawarkan pemampatan lebih kuat.

melahirkan anak

#Korset

Terdapat dalam pelbagai bentuk, ukuran, gaya dan tahap pemampatan yang berbeza. Namun, kebanyakannya dianggap untuk membentuk badan agar tampak lebih menarik.

Itu adalah jenis bengkung yang digunakan di Barat. Bagaimana pula jenis bengkung bersalin yang terdapat di Malaysia?

Terdapat beberapa pilihan bengkung daripada tradisional sehingga moden seperti:

  • Bengkung tradisional bertali
  • Bengkung lilitan jawa
  • Bengkung tali zig zag
  • Bengkung bertali/barut
  • Bengkung sarung moden – tube
  • Bengkung moden – velcro

Pastinya setiap jenis produk bengkung mempunyai fungsinya yang tersendiri dan dapat membantu pemulihan selepas melahirkan anak.

Tetapi perkara paling penting adalah untuk memastikan ia sesuai dan dicipta khusus untuk membantu wanita pulih selepas bersalin sama ada secara normal mahupun pembedahan.

Ini kerana jika anda menggunakan produk yang salah, ia boleh menyebabkan kesakitan dan berisiko mendatangkan bahaya.

Manfaat pemakaian bengkung bersalin

Fungsi utama membalut perut anda selepas bersalin adalah untuk memberikan sokongan dan menyelaraskan bahagian tersebut agar organ dan otot abdomen dapat menjalankan tugasnya dengan baik.

Ia juga membantu mengatasi masalah kulit mengelebeh dan regang serta memberikan tekanan ringan untuk mempercepatkan pengecutan rahim.

Bagi ibu mengandung yang menjalani pembedahan caesarean, penggunaan bengkung dapat mengurangkan tekanan pada luka dalam proses penyembuhannya.

Pemakaian bengkung bersalin mungkin dapat mengurangkan kesakitan, memudahkan pergerakan, menstabilkan dasar pelvis dan membantu menyembuhkan diastis rektum – keadaan selepas kehamilan biasa di mana otot-otot abdomen terpisah.

Berdasarkan kajian, pemakaian bengkung juga dapat membantu wanita bangun dan berjalan lebih jauh.

Dalam penyelidikan lain pun mendakwa bahawa bengkung yang dipakai dapat mengurangkan kesakitan dan pendarahan selepas menjalani pembedahan C-Sec.

Bagi wanita yang mempunyai masalah estetika – berkaitan penampilan fizikal, sudah pasti pemakaian bengkung dapat membantu anda untuk tampak lebih langsing dan mengembalikan bentuk badan seperti sebelum hamil lebih cepat.

Jadi adakah ia bermakna pemakaian bengkung selepas melahirkan anak membawa manfaat seperti mengurangkan berat badan?

bengkung kuruskan badan

Bengkung bantu kurangkan berat badan?

Sememangnya ada yang mengatakan bengkung bersalin dapat membantu mengurangkan berat badan.

Namun, menurut pakar kesihatan wanita, dakwaan bahawa bengkung dapat mengawal pengekalan air dan mengurangkan berat badan tidak dapat dibuktikan secara perubatan.

Pun begitu, kebanyakan ibu selepas bersalin yang mengamalkan penggunaan bengkung ini menyatakan mereka kehilangan berat dengan lebih cepat.

Tetapi keadaan itu mungkin disalah ertikan dengan penyingkiran semua cecair kehamilan tambahan sebagai penurunan berat badan.

Walau apapun, jika pemakaiannya dapat membantu mengurangkan kesakitan sehingga membolehkan anda bergerak lebih aktif, pastinya secara tidak langsung ia membolehkan penurunan berat badan berlaku.

Tidak sesuai untuk semua

Walaupun bengkung sekadar produk yang dipakai pada bahagian luar badan, namun bukan semua wanita boleh memakainya selepas bersalin.

Ini terutamanya bagi mereka yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan, khususnya pada luka bahagian czer atau mengalami komplikasi kehamilan atau kelahiran lain seperti preeklampsia atau amnionitis.

Pokok pangkalnya, jika penggunaan bengkung bersalin dapat memberikan keselesaan dan sokongan tambahan, anda bebas untuk memakainya.

health-tool-icon

Kalkulator Tarikh Bersalin

Gunakan kalkulator ini untuk menentukan tarikh akhir anda. Walau bagaimanapun, ini hanyalah anggaran semata-mata! Kebanyakan wanita akan melahirkan anak dalam masa seminggu sebelum atau selepas tarikh ini.

Panjang Kitaran

28 hari

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 10/08/2020
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor