backup og meta

Ada Manfaat Jika Simpan Darah Tali Pusat Bayi, Tapi Bolehkah Bagi Yang Beragama Islam?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/11/2021

    Ada Manfaat Jika Simpan Darah Tali Pusat Bayi, Tapi Bolehkah Bagi Yang Beragama Islam?

    Sebelum melahirkan anak, anda mempunyai pilihan menyimpan darah tali pusat bayi. Tetapi apakah manfaatnya?

    Ingin tahu dengan lebih lanjut, baca perkongsian artikel sempena Bulan Kesedaran Darah Tali Pusat Sedunia sepanjang Julai ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Menyimpan darah tali pusat bayi?

    Jika dahulu selepas melahirkan anak, tali pusat mereka biasanya akan ditanam tetapi sekarang terdapat pilihan lain, iaitu dengan menyimpannya.

    Simpanan darah tali pusat adalah proses mengumpulkan sel-sel stem berpotensi menyelamatkan nyawa daripada tali pusat serta plasenta dan disimpan untuk kegunaan masa depan.

    Sel stem adalah sel induk badan belum matang kerana ia mempunyai kebolehan unik untuk replikasi dan mengkhusus menjadi sel jenis lain di dalam badan.

    Darah tali pusat adalah sumber yang kaya dengan sel stem hematopoetik HSC. Ia bertanggungjawab menjana semula darah dan sel sistem imun dalam badan.

    Jom kita fahami lebih lanjut mengenai proses serta manfaat menyimpan darah tali pusat bayi ini.

    Manfaat penyimpanan darah tali pusat bayi 

    Seperti yang dinyatakan tadi, tali pusat mengandungi jumlah sel stem yang banyak. Ia boleh merawat barah dan penyakit darah seperti anemia.

    Di samping itu, sel stem ini juga dapat merawat beberapa masalah kesihatan berkaitan sistem imunisasi yang menjejaskan kemampuan tubuh mempertahankan dan melindungi diri.

    Sel stem ini akan berkembang menjadi sel darah matang, termasuklah:

  • Sel darah merah
  • Sel darah putih
  • Platelet 
  • Sel stem dianggap sebagai rawatan penting untuk pelbagai jenis penyakit. Antaranya seperti barah, gangguan darah dan penyakit genetik metabolik.

    darah tali pusat bayi

    Cecair daripada tali pusat ini mudah dikumpulkan dan mempunyai lebih 10 kali ganda lebih banyak sel induk berbanding yang terdapat di dalam sumsum tulang.

    Sel stem daripada darah tali pusat bayi jarang membawa penyakit berjangkit dan risiko kebarangkalian untuk ditolak sel induk dewasa adalah rendah. 

    Tapi bagaimana pula bagi mereka yang beragama Islam? Apakah hukumnya memotong dan menyimpan tali pusat bayi selepas lahir?

    Berdasarkan carian penulis dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dapat disimpulkan seperti yang di bawah:

    • Makruh hukumnya menyimpan tali pusat bayi jika tanpa tujuan atau sebagai kenangan
    • Harus sekiranya bagi tujuan perubatan terbukti oleh pakar perubatan, seperti kaedah rawatan stem cell (sel induk) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit leukemia, thalassemia dan seumpamanya
    • Haram jika disimpan atas tujuan kepercayaan dan khurafat yang tidak ada sandarannya di dalam Islam

    Baca juga:

    Pengambilan tali pusat semasa melahirkan anak

    Biasanya tali pusat dan plasenta akan dibuang selepas melahirkan anak, betul tak?

    Namun sekiranya anda memilih untuk menyimpan darah tali pusat bayi, pasukan kakitangan perubatan akan melakukannya setelah bayi dilahirkan.

    Dengan jarum yang disteril, darah akan ditarik keluar daripada tali pusat ke dalam beg pengumpulan dan dihantar ke bank penyimpanan jangka panjang.

    Bank penyimpanan darah tali pusat

    Dua jenis bank yang menyimpan darah tali pusat adalah:

    Bank awam

    Menyimpan darah tali pusat yang diderma untuk kegunaan awam atau penyelidikan. Apabila didermakan, ia tidak akan disimpan untuk kegunaan peribadi keluarga anda.

    Tiada bayaran akan dikenakan.

    Di Malaysia, Pusat Darah Negara menubuhkan Bank Darah Tali Pusat pada 2002, yang menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan awam.

    Bank swasta

    Simpanan dalam bank swasta ini adalah untuk kegunaan peribadi keluarga dan ada bayaran yang dikenakan.

    Kos penyimpanan jangka panjang bergantung kepada pakej yang anda ambil. Ia bermula daripada serendah sekitar RM280 sebulan dan ke atas.

    Antara contoh bank darah swasta di Malaysia adalah StemLife Bhd atau CryoCord.

    darah tali pusat bayi

    Jenis penyakit yang boleh dirawat

    Sel induk sudah digunakan dalam merawat lebih daripada 70 penyakit – limfoma, anemia sel sabit, kekurangan imun dan penyakit metabolik.

    Secara amnya, berikut antara beberapa penyakit yang boleh dirawat menggunakan darah tali pusat bayi ini:

    #Gangguan darah

    1. Anemia Aplastik (teruk).
    2. Beta Thalassemia Major.
    3. Myelofibrosis akut.
    4. Polycythemia Vera.
    5. Penyakit sel sabit.

    #Kanser

    1. Limfoma Hodgkin.
    2. Limfoma bukan Hodgkin.
    3. Tumor Wilms.
    4. Myeloma berganda.
    5. Neuroblastoma.

    darah tali pusat bayi

    Darah tali pusat bayi boleh merawat #Gangguan imun

    1. Neutropenia kongenital.
    2. Sindrom DiGeorge.
    3. Sindrom Evans.
    4. Penyakit Granulomatous Kronik.
    5. Fucosidosis.

    #Gangguan metabolik

    1. Penyakit Gaucher.
    2. Sindrom Hunter (MPS-II).
    3. Penyakit Krabbe.
    4. Mannosidosis.
    5. Penyakit Sandhoff.

    Perkara penting berkaitan penyimpanan darah tali pusat bayi 

    Doktor biasanya tidak mengesyorkan penyimpanan darah tali pusat. 

    Ini kerana jika bayi anda memerlukan sel stem, dia mungkin harus mendapatkan sel stem individu lain dan bukan sel induknya sendiri.

    Namun jika terdapat ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan seperti leukemia, penyakit sel sabit, limfoma Hodgkin atau talasemia, mungkin anda disarankan untuk melakukan penyimpanan ini.

    Sekiranya berminat untuk menyimpan sel stem ini, anda perlu menguruskannya lebih awal dan ia bukanlah perkara yang boleh dilakukan pada saat-saat akhir.

    Paling penting, pengumpulan darah tali pusat ini tidak akan menyebabkan kesakitan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 25/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan