Sebenarnya, dehidrasi semasa hamil akibat kurang air dalam badan itu mungkin satu kondisi yang bahaya. Jom baca artikel ini untuk tahu tanda dan cara untuk mengatasi masalah ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Apa tanda-tanda dehidrasi pada ibu hamil?
Apabila mengalami dehidrasi semasa hamil, badan mereka akan mula menunjukkan beberapa tanda yang spesifik, antaranya adalah ibu mengalami suhu badan terlalu panas.
Ini adalah petanda dehidrasi yang paling nyata. Anda boleh memastikannya dengan melihat kepada warna air kencing anda.
Jika ia berwarna kekuningan, anda mungkin mengalami dehidrasi dan jika ia berwarna jernih, anda tidak perlu terlalu risau.
Dehidrasi juga akan mendatangkan simptom-simptom seperti berikut:
- Mulut kering
- Kerap mengantuk
- Berasa haus
- Kurang pergi ke tandas untuk membuang air kecil
- Sakit kepala
- Sembelit
- Pening
Jika anda mengalami simptom-simptom ini, minum air dan rehat dengan secukupnya. Anda juga perlu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat dan rawatan.
Dehidrasi yang tidak berapa teruk selalunya boleh dirawat dengan hanya mengambil air secukupnya. Tetapi dehidrasi semasa hamil yang teruk pula, memerlukan rawatan perubatan secepatnya.
Simptom dehidrasi yang teruk termasuklah:
- Berasa sangat dahaga
- Mulut dan kulit mengalami kekeringan yang teruk
- Berasa runsing dan cepat marah
- Air kencing jadi sedikit atau tiada langsung
- Air kencing menjadi keruh
- Mata kelihatan tenggelam
- Degupan jantung dan pernafasan menjadi laju
- Tekanan darah menjadi rendah
Anda juga perlu memerhatikan perubahan pada kulit anda. Anda mungkin mengalami dehidrasi sekiranya kulit anda menjadi kering, kurang elastik atau jika dicubit ia lambat kembali ke keadaan asal.
Jika anda mengalaminya, segera berjumpa doktor.
Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?
Sebenarnya, dehidrasi semasa hamil tidak terlalu sukar untuk diatasi. Kuncinya adalah untuk minum air setiap hari secukupnya.
Cuba minum sekurang-kurangnya 8 hingga 12 gelas air sehari. Jika anda mengalami masalah penghadaman, ambil air di antara waktu makan.
Ini kerana makan bersulam air akan mendatangkan masalah kepada penghadaman.
Jika ‘morning sickness’ mengakibatkan anda mengalami muntah-muntah, cuba minum air secukupnya apabila anda mula berasa mual.
Sekiranya ini berlarutan dan cubaan untuk minum air juga tidak berkesan, berhubunglah dengan doktor anda.
Jauhi kafein kerana ia hanya akan meningkatkan keperluan anda pergi ke tandas untuk membuang air kecil. Air putih adalah yang paling terbaik.
Namun begitu, susu, jus buah-buahan dan sup juga memadai untuk mendapatkan amaun air yang secukupnya.
Anda juga perlu berhati-hati dengan aktiviti yang akan mengakibatkan peningkatan suhu badan seperti senaman berat.
Aktiviti luar yang mendedahkan anda kepada haba atau kesesakan juga perlu dielakkan.
Sesiapa sahaja boleh mengalami dehidrasi gara-gara kurang air dalam badan. Namun ia lebih membahayakan buat ibu hamil.
Cara paling terbaik untuk mengatasinya adalah mengambil berat hal hidrasi dan pengambilan air anda.
Biasakan diri membawa botol air berisi air putih ke mana-mana sahaja anda pergi dan lihat sendiri amaun air yang anda minum.
Selagi anda minum air dalam kuantiti yang secukupnya setiap hari, badan anda dan bayi dalam kandungan juga pasti akan dapat manfaatnya.
[embed-health-tool-due-date]