
Tidak dinafikan, alam persekolahan dulu memang seronok sebab dapat berjumpa dan bermain dengan kawan-kawan, kan? Akan tetapi, waktu pembelajaran di bilik darjah adakalanya sangat membosankan. Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk mengatasi kebosanan ini? Adakah senaman ringan benar-benar membantu? Jom sama-sama ikuti artikel ini!
Kajian tentang senaman ringan terbaharu dari London
Menurut kajian University College London, murid-murid yang aktif melakukan aktiviti fizikal atau senaman ringan seperti berlari setempat atau lompat bintang semasa sedang belajar di dalam bilik darjah, akan cenderung untuk cemerlang dalam peperiksaan mereka. Kajian terbaharu ini melibatkan pakar dari Belanda, Australia dan Singapura.
Dr Emma Norris, ketua penyelidik kajian ini menyatakan bahawa senaman ringan sudah tentu bagus untuk kesihatan kanak-kanak. Beliau turut mendedahkan yang murid-murid berkemungkinan besar mempunyai prestasi yang baik dalam pembelajaran mereka, terutamanya dalam mata pelajaran matematik, sains dan bahasa Inggeris.
Tambah beliau lagi, anjakan paradigma dalam diri kanak-kanak ini mungkin disebabkan oleh mereka tidak lagi menganggap bahawa sesi pembelajaran ini sesuatu yang membosankan. Jadi, para guru di luar sana mungkin boleh menggunakan idea ini dalam sesi pengajaran anda!
Kajian terhadap 13,000 kanak-kanak
Kajian ini telah melibatkan hampir 13,000 murid sekolah rendah dan menengah yang berusia antara 3 hingga 14 tahun di London. Para pengkaji kemudiannya meneliti tingkah laku mereka untuk mengetahui jika benar aktiviti senaman ringan dapat membuat murid lebih berminat untuk belajar atau tidak.
Hasilnya, para pengkaji menemui bahawa kanak-kanak tersebut akan menjadi lebih aktif dan sekali gus lebih fokus untuk belajar. Menurut pengkaji lagi, murid yang diminta untuk melakukan senaman ringan seperti berlari setempat, lompat bintang dan lain-lain sangat seronok ketika melakukannya. Inilah punca mengapa mereka lebih berminat untuk belajar di bilik darjah.
Dr Tommy van Steen dari Leiden University, mendedahkan bahawa peningkatan dalam minat murid untuk belajar ini sudah tentu datangnya dari aktiviti fizikal yang dilakukan bersama teman-teman mereka. Jadi, jika anda sebagai guru terlihat murid anda sudah kelihatan mengantuk di dalam bilik darjah, minta mereka bangun dan lakukan senaman ringan bersama-sama!
Konklusi
Kesimpulannya, situasi belajar di dalam bilik darjah memang membosankan terutamanya jika tiada langsung aktiviti menarik yang dilakukan ketika itu. Jadi, para guru di luar sana perlu jadikan ini sebagai satu teknik pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan murid anda kekal seronok dan cergas semasa berada di dalam bilik darjah.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
- Senaman Mengaktifkan Rangkaian Saraf Memori
- Senaman Berkesan Tingkatkan Fungsi dan Memori Otak
- Perbezaan Cara Belajar Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.