Dalam banyak-banyak serangga, serangga apa yang anda paling takut masuk saluran telinga? Ada yang kata kumbang, lipas dan ada juga yang kata labah-labah.
Ia bukanlah satu kes yang lazim dialami, namun, jika ada serangga masuk telinga, mereka boleh duduk di dalam ruangan tersebut untuk satu tempoh masa yang lama.
Ada individu yang tidak sedar pun, lipas sedang merangkak menerusi ruang telinga menuju ke arah struktur gegendang.
Jika anda pernah mengalami perkara yang sama, sudah tentu anda tahu akan kepentingan untuk mengeluarkan serangga tersebut secepat mungkin kan?
Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut apa perlu anda buat sekiranya serangga seperti lipas masuk ke dalam telinga.
Baca lebih lanjut tentang Keadaan Telinga, Hidung & Tekak di sini.
Serangga masuk saluran telinga bukan kes yang jarang berlaku
Jika dilihat pada laporan perubatan bagi kes yang berkaitan dengan serangga masuk telinga, anda akan sedar bahawa pada kebanyakan masa, lipas merupakan serangga tersebut.
Kajian yang dijalankan pada tahun 1993 melibatkan 98 pesakit di sebuah hospital di Los Angelles menunjukkan lipas merupakan objek asing yang dijumpai pada 43 pesakit.
Begitu juga dengan kajian yang dijalankan pada tahun 2006 yang melibatkan 24 pesakit.
10 daripadanya, doktor menemukan lipas di dalam ruangan telinga mereka. Selain lipas, serangga lain seperti lalat dan kumbang turut menghiasi telinga subjek lain.
Oleh sebab lipas mempunyai tubuh yang agak besar, sukar untuk ia berpatah balik untuk keluar.
Maka, kebarangkalian untuk mereka tersekat tinggi. Pada ketika itulah ramai yang akan mengalami simptom seperti sakit telinga, keradangan dan jangkitan.
Lebih teruk, kita cenderung untuk mengorek menggunakan putik kapas atau jari apabila terasa gatal.
Perkara ini akan menyebabkan serangga tersebut ditolak masuk lebih dalam.
Apabila ia sampai ke gegendang telinga, pergerakan kaki lipas boleh menyebabkan kecederaan pada struktur tersebut.
Ia boleh mengakibatkan keradangan dan jangkitan telinga memandangkan serangga seperti lipas mempunyai banyak bakteria dan virus.
Anda mungkin berminat:
- Racun Serangga Boleh Beri Kesan Kepada Bayi Dalam Kandungan? AWAS Ya Ibu!
- 9 Isu Utama Berkaitan Kesihatan Telinga, Hidung & Tekak (ENT), #8 Paling Biasa!
Kenapa lipas suka masuk saluran telinga manusia?
Pelbagai jenis berita pernah kita dengar berkaitan dengan kes lipas masuk telinga.
Malah, ada doktor pakar telinga pernah menemui sekeluarga lipas Jerman (lebih daripada 10) di dalam telinga orang dewasa.
Itu masih lagi dikira sebagai “bernasib baik” memandangkan lipas Jerman kebiasaannya mengeluarkan di antara 30 hingga 40 telur.
Persoalannya, kenapa lipas suka masuk telinga manusia?
Risiko untuk serangga tersebut mati tinggi namun banyak kes objek asing masuk telinga melibatkan lipas kerap berlaku.
Jawapan kepada persoalan ini terletak pada ‘keenakan’ bau yang dikeluarkan oleh tahi telinga.
Tahi telinga mempunyai bakteria yang boleh menghasilkan kompaun asid lemak meruap (volatile fatty acid).
Oleh sebab sumber pemakanan lipas kebanyakannya mengandungi kompaun yang sama, ia boleh masuk ke dalam telinga untuk mencari sumber makanan tersebut.
Cecair di dalam hidung juga boleh mengeluarkan bau yang hampir sama.
Namun, kes lipas masuk ke dalam hidung adalah lebih jarang berlaku.
Walau bagaimanapun, jangan salah faham. Lipas bukanlah suka-suka hendak masuk ke dalam telinga untuk mencari makanan. Seperti serangga lain, ia juga takut kepada manusia.
Oleh sebab tahi telinga manusia mengeluarkan aroma yang mengasyikkan mereka, jadi serangga ini terdorong untuk merangkak masuk semasa individu berada dalam keadaan tidak aktif.
Itulah sebabnya kebanyakan kes serangga masuk telinga berlaku ketika manusia sedang tidur. Saiz lipas yang masuk juga tidak sebesar mana.
Cuma apabila ia sudah menyelinap lebih dalam dan tersekat, ia boleh membesar sebelum individu terbabit sedar telinga mereka sudah dimasuki lipas.
Apa yang anda perlu buat sekarang?
Apabila terdapat serangga asing di dalam saluran telinga, anda tidak perlu panik.
Ada beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan situasi menjadi lebih parah.
- Jangan gunakan putik kapas atau sebarang peralatan untuk mengorek keluar serangga tersebut. Ia boleh menyebabkan ia masuk lebih dalam.
- Letak minyak zaitun ke dalam telinga. Tujuannya adalah untuk membunuh serangga tersebut sebelum ditarik keluar. Jika objek asing tersebut bukan serangga, jangan guna sebarang minyak. Ia juga tidak sesuai digunakan pada individu yang mengalami simptom gegendang telinga bocor seperti sakit, pendarahan dan keluar lendiran.
- Jika serangga masih tidak keluar dapatkan khidmat perubatan daripada pakar telinga bagi mengeluarkan serangga tersebut. Jangan gunakan sebarang alat untuk menarik keluar serangga melainkan anda pasti ia sudah mati dan ia mudah untuk ditarik keluar.
Konklusi
Kes serangga masuk saluran telinga tidaklah seasing mana.
Dalam banyak-banyak serangga, lipas menjuarai carta sebagai serangga yang sering dijumpai.
Jika tidak diuruskan dengan baik, komplikasi seperti masalah keradangan dan jangkitan telinga boleh berlaku.
Kalau anda mempunyai sebarang simptom seperti sakit telinga, masalah pendengaran, keluar lendir telinga, demam dan sebagainya, rujuk doktor untuk pemeriksaan lanjut.