Masalah pendengaran seperti pekak, atau kehilangan pendengaran merujuk kepada ketidakupayaan seseorang secara keseluruhan atau sebahagian untuk mendengar.
Sesetengah individu mungkin sememangnya dilahirkan pekak, manakala ada juga yang diakibatkan oleh kemalangan atau kecederaan hingga menyebabkan masalah pendengaran.
Namun begitu, pernah tak terlintas di fikiran anda sama ada mampukah mereka untuk mendengar semula suatu hari nanti?
Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut, teruskan membaca artikel ini okay!
Punca-punca masalah pendengaran
Beberapa penyakit atau kondisi yang boleh menyebabkan masalah pendengaran termasuk:
- Cacar air
- Sitomegalovirus
- Beguk
- Meningitis
- Sickle cell disease
- Sifilis
- Penyakit Lyme
- Diabetes, kerana kajian menunjukkan bahawa penghidap diabetes lebih cenderung mengalami gangguan pendengaran
- Rawatan untuk tuberkulosis (TB), streptomisin, yang dipercayai merupakan faktor risiko utama
- Hipotiroidisme
- Arthritis
- Kanser
Telinga dalam juga adalah tempat bagi beberapa tulang yang paling halus di dalam badan, dan kerosakan pada gegendang telinga atau bahagian tengah akan menyebabkan kehilangan pendengaran dan pekak dalam pelbagai cara.
Perbezaan antara kehilangan pendengaran dan pekak
Terdapat perbezaan antara mereka yang pekak dan kehilangan pendengaran kerana mereka mempunyai tahap untuk mendengar yang berbeza.
- Kehilangan pendengaran: Ini adalah keupayaan mendengar berkurangan berbanding mereka yang memiliki deria pendengaran normal
- Pekak: Ini berlaku apabila seseorang tidak dapat memahami pertuturan melalui pendengaran, walaupun suara telah dikuatkan
- Pekak secara total: Ini merujuk kepada tiada pendengaran secara total. Individu sebegini tidak akan dapat mengesan bunyi sama sekali.
Tahap masalah pendengaran dikategorikan dengan seberapa banyak kelantangan yang perlu ditetapkan sebelum mereka dapat mengesan sebarang bunyi.
Adakah individu pekak mampu pulih dan mendengar semula?
Jawapan ringkasnya adalah, tidak. Tidak ada penyembuhan bagi masalah pendengaran terutamanya pekak buat masa ini.
Selain itu, oleh sebab ada banyak punca dan jenis kehilangan pendengaran, para saintis sukar untuk mendapatkan satu jenis penyembuhan untuk merawat kesemua masalah tersebut.
Penyebab umum bagi kehilangan pendengaran adalah kerosakan pada saraf pendengaran, yang disebut sel rambut, yang tidak tumbuh semula atau dapat membaiki secara sendiri.
Saat ini, semua penelitian bagi penyembuhan gangguan pendengaran telah dilakukan pada haiwan kecil, seperti tikus dan burung, bukan dengan sel manusia.
Tambahan itu, perubahan berkaitan usia yang dialami telinga manusia juga memberikan cabaran kepada para penyelidik, kerana telinga terus berubah dan berkembang mengikut umur.
Satu lagi penyebab kehilangan pendengaran yang ketara adalah gangguan genetik yang sukar dikesan ketika di dalam rahim.
Sebaik sahaja seseorang bayi dilahirkan dengan kehilangan pendengaran kongenital, ia sudah terlambat dan mustahil untuk disembuhkan.
Pun begitu, kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh tulang yang rosak kadang-kadang dapat diatasi dengan campur tangan pembedahan.
Jenis-jenis rawatan
Malangnya, kehilangan pendengaran sensorineural tidak dapat diubati. Apabila sel-sel rambut di koklea rosak, ia tidak dapat diperbaiki.
Walau bagaimanapun, pelbagai kaedah dan strategi dapat membantu untuk meningkatkan kualiti hidup.
- Alat bantuan pendengaran
Ini adalah alat yang boleh dipakai oleh individu yang memerlukan bantuan pendengaran.
Terdapat beberapa jenis alat bantu pendengaran dan ia hadir dalam berbagai-bagai ukuran, litar, dan daya kuasa.
Alat pendengaran mungkin tidak akan menyembuhkan masalah pekak tetapi ia boleh menguatkan suara yang masuk ke telinga sehingga pendengar dapat mendengar dengan lebih jelas.
Ahli audiologi akan mengambil kesan telinga untuk memastikan alat ini dapat dipasang dengan baik. Ia juga akan disesuaikan dengan keperluan pendengaran seseorang individu.
Contoh-contoh alat bantu pendengaran termasuklah:
#1 Behind the ear (BTE):
Ini terdiri daripada kubah yang disebut gegendang telinga dan casing, dengan sambungan yang menghubungkan satu dengan yang lain.
Sarung itu terletak di belakang telinga luar, dengan sambungan ke kubah yang berada di depan telinga.
Bunyi dari peranti disalurkan secara elektrik atau akustik kepada telinga.
Alat bantu dengar BTE cenderung untuk bertahan lebih lama daripada peranti lain, kerana komponen elektrik berada di luar telinga, yang bermaksud hanya sedikit potensi kerosakan berlaku akibat kelembapan dan tahi telinga.
Selain itu, peranti ini lebih popular pada kanak-kanak yang memerlukan alat yang kukuh dan senang digunakan.
#2 In the canal (ITC):
Alat ini akan memenuhi bahagian luar saluran telinga dan dapat dilihat. Sisipan telinga lembut, biasanya diperbuat daripada silikon, digunakan untuk meletakkan pembesar suara di dalam telinga.
Peranti ini sesuai dengan kebanyakan pesakit dan mempunyai kualiti bunyi yang lebih baik.
#3 Completely-in-canal (CIC):
Ia adalah alat bantu pendengaran yang kecil, tetapi tidak digalakkan untuk mereka yang mengalami gangguan pendengaran teruk.
#4 Bone conduction:
Alat ini membantu mereka yang mengalami masalah pendengaran konduktif, dan juga individu yang tidak dapat memakai alat bantu pendengaran jenis konvensional.
Bahagian alat yang bergetar dipegang melawan mastoid dengan headbank. Getaran bunyi akan melalui tulang mastoid, ke koklea.
Peranti ini boleh menjadi agak menyakitkan atau tidak selesa jika dipakai terlalu lama.
Rumusan
Walaupun mereka yang cacat pendengaran sejak lahir mungkin tidak akan dapat merasai nikmat deria ini, usahlah bersedih kerana kewujudan bahasa isyarat masih boleh digunakan sebagai medium berkomunikasi.
Dengan dunia yang serba canggih sekarang, sudah banyak alat bantuan pendengaran terhasil, mana tahu pada masa akan datang para saintis dapat menghasilkan rawatan bagi mereka yang pekak secara total?