backup og meta

Lelaki Dewasa Tetapi Suara Seperti Budak, Meski Kedengaran Aneh, Kan? Ini Sejenis Penyakit!

Lelaki Dewasa Tetapi Suara Seperti Budak, Meski Kedengaran Aneh, Kan? Ini Sejenis Penyakit!

Sudah namanya seorang lelaki, pastilah suara yang keluar daripada mulut mereka cenderung untuk besar, rendah, tebal, garau dan ‘jantan’.

Pun begitu, tidak semua kaum Adam ada suara seperti ini kerana wujud juga suara lelaki yang lembut umpama seorang kanak-kanak.

Meskipun kedengaran agak aneh, ketahuilah bahawa ia memang wujud dan ini disebabkan oleh sejenis penyakit! Apakah ia?

Suara lelaki juga boleh menjadi lembut?

Ya, dan ia bukanlah bermaksud suara yang dibuat-buat (falsetto) untuk tujuan meniru seorang wanita, kanak-kanak atau watak dalam kartun.

Sebaliknya, ada lelaki yang secara semula jadinya akan mempunyai suara yang lembut seakan di saat mereka masih belum mencapai akil baligh.

Ia disebabkan oleh sejenis keadaan kesihatan yang bernama Puberphonia!

penyakit lelaki

Apa itu puberphonia?

Untuk pengetahuan anda, puberphonia adalah kondisi yang menyebabkan suara individu menjadi sangat halus dan bernada tinggi.

Kebiasaannya, ia akan dihidapi oleh lelaki namun jangan salah sangka kerana wanita juga ada yang mengalami kondisi ini.

Mungkin bagi seorang wanita, ia masih boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal namun lain pula cerita untuk seorang lelaki.

Berikut adalah antara karakteristik penderita keadaan kesihatan ini:

  • Mempunyai suara yang bernada tinggi dan tidak sesuai dengan jantina, umur dan fizikal mereka
  • Mempunyai kesukaran untuk bercakap dengan kuat dan mudah penat jika terpaksa berbicara dalam tempoh yang lama
  • Mempunyai frekuensi suara yang tinggi berbanding lingkungan biasa yakni 120Hz untuk lelaki dan 210Hz untuk wanita
  • Sering kali disalahertikan sebagai seorang wanita atau kanak-kanak ketika berbual di dalam telefon

Apa punca puberphonia?

Untuk mengetahui punca sebenar ia berlaku, kita semua perlu faham terlebih dahulu mengenai pita suara manusia.

Bagi seorang kanak-kanak, kadar kepanjangan pita suara yang normal bagi kedua-dua lelaki dan wanita adalah sekitar 2 mililiter.

Disebabkan strukturnya yang sangat kecil, maka suara yang terhasil juga akan mempunyai frekuensi yang tinggi iaitu sekitar 300Hz.

Namun segalanya akan berubah tatkala individu mula mencapai usia dan proses akil baligh yang akan mengubah pita suara seseorang.

Bagi kaum wanita, pita suara akan membesar sekitar 0.4mm dalam masa setahun sehinggalah masuk usia akil baligh.

Bagi lelaki pula, pita suara akan membesar sekitar 0.7mm dalam masa setahun sehinggalah masuk usia akil baligh.

Pembesaran pita suara ini kemudian akan mempengaruhi suara agar ia sesuai dengan jantina, umur dan fizikal lelaki serta wanita.

Namun penderita penyakit puberphonia akan menyebabkan pita suara mereka masih mengalami perubahan atau pembesaran, tapi tidak pada suara mereka.

hormon lelaki

Terdapat dua teori utama yang dikaitkan dengan keadaan kesihatan ini iaitu:

Faktor fizikal

Faktor fisiologikal

  • Masalah berkaitan akil baligh yang membuat individu berasa malu atau resah dengan perubahan suara yang dialami. Kesannya, mereka secara tidak sedar dan sengaja akan mengekalkan suara seperti mana sebelum mereka akil baligh.

Apa yang boleh dibuat untuk merawat suara tidak sesuai?

Suara lelaki yang terlalu bernada tinggi pasti akan menjejaskan kehidupan dan pekerjaan seharian, ekoran rasa malu pada diri sendiri.

Namun, berita baik buat penderita puberphonia kerana keadaan kesihatan ini sebenarnya boleh dirawat dengan menggunakan 2 pendekatan.

#1. Pendekatan bukan perubatan

Antara kaedah rawatan yang boleh dicuba adalah dengan menjalani terapi suara dengan tujuan:

  • Membantu penderita memahami fungsi pita suara
  • Membantu penderita mengetahui kualiti suara sendiri
  • Membantu penderita menentukan nada suara yang dimahukan

Terapi ini akan menggunakan peralatan perubatan termasuklah monitor untuk memantau nada suara dan frekuensi suara penderita.

Kemudian, ketiga-tiga objektif di atas tadi akan cuba dicapai dengan latihan demi latihan bersama pakar vokal sehingga berjaya.

#2. Pendekatan perubatan

Kadangkala, kondisi ini tidak boleh diselesaikan dengan sekadar terapi sahaja dan memerlukan kaedah perubatan yang lebih kompleks.

hormon lelaki

Antara kaedah tersebut adalah seperti berikut:

Suntikan botox

Ia merupakan kaedah rawatan yang memerlukan suntikan botox ke dalam otot spesifik (pita suara) bagi memastikan ia mampu menjadi lebih relaks dan mengeluarkan suara yang lebih sesuai.

Pembedahan

Sekiranya kesemua usaha yang dicuba telah menemui jalan buntu, maka kaedah pembedahan yang dikenali sebagai prosedur Isshiki Type III boleh dilakukan untuk merendahkan nada serta frekuensi suara.

Konklusinya, memang wujud suara lelaki dewasa yang seakan seorang kanak-kanak dan ia adalah sejenis penyakit yang perlu dirawat dengan kadar segera!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. http://www.myhealth.gov.my/en/a-male-with-female-voice/
  2. https://www.entcolumbia.org/health-library/puberphonia
  3. https://www.alliedacademies.org/articles/puberphonia-conservative-approach-a-review.pdf
  4. https://www.laryngologyandvoice.org/article.asp?issn=2230-9748;year=2012;volume=2;issue=1;spage=26;epage=29;aulast=Desai;type=3

Versi Terbaru

21/05/2021

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

AWAS, Jangan Buat Main Jika Suara Serak. Ia Mungkin Boleh Jadi Punca Bisu!

Sukar Bernafas & Bercakap Mungkin Tanda Ada Masalah Pita Suara? Ini Dia Bahayanya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 21/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan