Pita suara manusia adalah salah satu daripada otot yang sangat penting buat kita semua untuk berkomunikasi di antara satu sama lain.
Sekiranya berlaku sebarang kerosakan atau kelumpuhan terhadapnya, maka individu tidak akan mampu untuk mengeluarkan suara.
Ada satu kondisi berbahaya berkaitan otot ini iaitu kelumpuhan pita suara. Apakah ia? Jom kita ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi!
Pita suara manusia, otot yang sangat penting
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, adalah wajar untuk kita semua berkenalan dengan otot yang sangat penting ini terlebih dahulu.
Untuk pengetahuan anda, pita suara (kotak suara/kord suara) adalah sejenis tisu otot yang wujud pada tekak dan berfungsi untuk menghasilkan bunyi.
Ia mempunyai 2 bahagian yang serupa iaitu kiri dan kanan serta mempunyai 3 lapisan; squamous, lamina propria dan vocalis dengan fungsi tersendiri.
Cara ia berfungsi adalah dengan bergetar apabila terkena udara yang keluar dari paru-paru bagi membolehkan seseorang itu bercakap atau bernyanyi.
Jadi, apakah yang akan terjadi jika berlaku sebarang kerosakan atau kelumpuhan otot pada tekak ini?
Ya, kalian mungkin tidak akan mampu untuk bercakap, bernyanyi atau bernafas dengan baik lagi selepas itu!
Apa itu kelumpuhan pita suara?
Kondisi ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan akan membuat salah satu atau dua bahagian pita suara terjejas.
Kelumpuhan ini akan mengakibatkan kemampuan individu untuk bercakap, bernyanyi, bernafas mahupun menelan makanan dan minuman terganggu.
Ini ekoran daripada salah satu atau dua bahagian otot ini yang tidak mampu untuk membuka dan menutup seperti mana ia berfungsi ketika normal.
Sekiranya anda menghidapi kondisi ini, berikut merupakan antara simptom yang mungkin akan berlaku:
- Kesukaran bernafas
- Kesukaran bercakap
- Suara menjadi garau
- Suara beransur hilang
- Tidak mampu menaikkan nada suara
- Kerap tercekik ketika makan atau minum
- Selalu batuk namun tekak tidak lega
- Bunyi nafas yang terlalu kuat
Jangan dibiarkan sahaja kondisi ini dengan menyangka bahawa anda sekadar menghidapi sakit tekak biasa yang boleh dihilangkan dengan memakan lozeng.
Kadangkala, masa bukan merupakan penawar untuk segala kondisi kesihatan yang berlaku pada tubuh badan kita dan sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera.
Apa punca kelumpuhan pita suara?
Sebenarnya, tidak wujud hanya satu sebab kukuh yang boleh membuat pita suara ini menjadi rosak atau lumpuh.
Sebaliknya, kondisi ini mungkin didasari oleh beberapa keadaan lain yang berlaku pada tekak termasuklah:
- Strok
- Tumor
- Kecederaan pada leher atau dada
- Jangkitan pada pita suara
- Kondisi neurologikal seperti Parkinson, Myasthenia gravis, Multiple Sclerosis
Pun begitu, ada beberapa golongan individu yang mungkin mempunyai risiko lebih tinggi terkena kondisi ini iaitu buat mereka yang ada faktor risiko seperti berikut:
Kondisi neurologikal
Kelumpuhan pita suara manusia berlaku akibat sistem saraf yang rosak dan ia didalangi oleh beberapa kondisi lain seperti yang kami nyatakan di atas tadi.
Antara kondisi tersebut adalah Parkinson, Myasthenia gravis dan Multiple Sclerosis – kesemuanya akan merosakkan sistem saraf termasuklah pada tekak.
Pendek kata, anda yang menghidapi kondisi ini adalah lebih berisiko terkena kelumpuhan pita suara.
Pembedahan tekak dan dada
Selain itu, kelumpuhan pita suara manusia juga mungkin disebabkan individu pernah melakukan pembedahan tekak dan dada yang dekat dengan kawasan tekak.
Pembedahan pada tiroid, esofagus dan laring serta yang memerlukan proses intubasi (kemasukan tiub ke dalam mulut) akan membawa risiko tinggi terhadap kondisi ini.
Kajian pada tahun 2007 menyatakan bahawa individu yang berusia 50 tahun ke atas dan melakukan intubasi selama lebih 6 jam adalah lebih berisiko tinggi.
Apa yang boleh dilakukan untuk merawatnya?
Jika terkena penyakit ini, anda tidak perlu risau kerana kondisi ini pasti boleh didiagnosis dan dirawat seandainya berjumpa doktor dengan lebih awal.
Berikut adalah kaedah rawatan yang mungkin akan disyorkan oleh doktor:
#1. Terapi suara
Untuk pengetahuan anda, kondisi ini mungkin boleh sembuh dengan sendiri dalam masa satu tahun namun masih memerlukan bantuan rawatan.
Antara bantuan yang boleh dicuba adalah terapi suara untuk mengembalikan komunikasi saraf antara otak dan laring penderita.
Ketika ini juga, pakar patologi akan membantu anda untuk melakukan senaman berkala bagi melatih kembali fungsi pita suara.
#2. Suntikan pita suara
Prosedur ini memerlukan doktor untuk menyuntik material ke dalam otot ini agar ia lebih mudah untuk bergerak dan berfungsi.
Caranya adalah dengan menyuntik laring anda dengan material untuk membetulkan kembali kedudukan dan keadaannya seperti asal semula.
#2. Pembedahan
Akhir sekali, penderita mungkin terpaksa melakukan pembedahan untuk membaiki semula struktur akibat kerosakan atau kelumpuhan pita suara manusia.
Ya, ia adalah satu kondisi yang sangat bahaya jika dibiarkan kerana kehidupan seharian anda mungkin akan terjejas dan terganggu.
Jadi sila berjumpa doktor untuk rawatan segera jika suara anda mula kedengaran aneh atau pelik okay?