backup og meta

Anda Alami Alahan Selepas Bersetubuh? Mungkin Ini Tanda Anda Alergik Kondom

Anda Alami Alahan Selepas Bersetubuh? Mungkin Ini Tanda Anda Alergik Kondom

Hubungan seksual sepatutnya merupakan situasi yang menyenangkan untuk anda dan pasangan. Jika anda memilih untuk menggunakan alat pencegah kehamilan tertentu, ia sepatutnya membantu perhubungan anda dan bukannya menyulitkan keadaan. Dalam sesetengah situasi di mana anda atau pasangan mempunyai tindak balas terhadap kondom, mungkin anda patut mengambil tahu jika anda mungkin mempunyai alahan kondom.

Ada apa dengan kondom?

Lateks, produk yang diperbuat daripada pokok getah terdapat dalam banyak barangan biasa. Salah satunya, tentu saja, ialah kondom. Sekiranya anda menggunakan kaedah kawalan kelahiran ini dan menyedari bahawa anda tidak berasa selesa di bahagian kemaluan, anda mungkin mempunyai alahan pada getah.

Jangan risau, anda tidak bersendirian. Sekitar satu hingga tiga peratus orang di Amerika Syarikat alah kepada getah, dan jumlah tersebut meningkat kepada kira-kira 10 peratus bagi mereka yang bersentuhan dengannya secara berterusan (seperti pekerja industri kesihatan yang menggunakan sarung tangan getah setiap hari dan pekerja syarikat pengeluarannya).

Berikut adalah apa yang anda perlu tahu mengenai alahan – dan bagaimana untuk menentukan sama ada anda memilikinya.

Apakah simptom alahan lateks?

Terdapat tahap alahan lateks yang berlainan. Tahap paling ringan muncul pada vagina atau zakar sebagai gatal-gatal, kulit merah atau ruam. Simptom yang lebih teruk termasuk kesukaran bernafas, batuk, bersin, hidung berair, mata gatal, atau gatal tekak. Reaksi ini biasanya muncul lewat- dalam enam hingga 48 jam selepas pendedahan. Ini boleh menyukarkan anda mengetahui dengan segera bahawa ia berkaitan dengan lateks yang anda pakai.

Jika anda benar-benar alah, anda boleh mengalami kejutan anafilaktik. Ini biasanya tidak berlaku pada kali pertama anda terdedah, tetapi jika anda sangat sensitif, ia boleh berlaku dengan serta-merta selepas anda bersentuhan dengan bahan tersebut. Anda akan tahu bahawa anda akan mengalami kejutan anafilaktik jika anda pening, sukar untuk bernafas, nafas berdehit, mual, muntah, tekanan darah anda jatuh, atau anda pengsan.

Mengalami kejutan seperti ini jarang berlaku tetapi sangat berbahaya! Jika ini pernah berlaku kepada anda, sila beritahu doktor dengan segera.

Mengapa sesetengah orang mempunyai alahan kepada lateks?

Walaupun tidak diketahui mengapa sesetengah orang alah kepada susu getah, tetapi saintis membuat hipotesis bahawa orang yang mempunyai pendedahan yang lebih tinggi lebih cenderung untuk mengalami simptom alahan. Ini didapati pada mereka yang membuat produk lateks atau memakainya sepanjang masa lebih cenderung mengalami alahan.

Alahan kepada lateks juga dikaitkan dengan banyak makanan yang berkongsi beberapa pencetus alahan yang sama. Jadi, jika anda alah kepada lateks, anda mungkin juga alah kepada avokado, pisang, buah Markisa, kiwi, dan buah berangan, di samping makanan lain.

Apa yang patut saya lakukan jika alami alahan kondom?

Jika ini kedengaran seperti apa yang berlaku dengan anda, bincanglah dengan doktor anda untuk mendapatkan ujian untuk memastikan jika anda alah kepada getah. Sekiranya anda mengalami kejutan anafilaktik, dapatkan bantuan segera. Dan jika anda mengalami sebarang simptom, maklumkan kepada doktor anda. Berikut adalah beberapa perubahan yang mungkin juga membantu simptom anda:

Gunakan kondom alternatif

Jika anda mengalami simptom ringan atau sederhana, anda boleh mencuba kondom tanpa lateks dan melihat bagaimana tindak balas anda. Ini mungkin lebih mahal, tetapi lebih berbaloi untuk dicuba.

Anda boleh membeli kondom poliuretana di tempat yang sama terdapat kondom lateks. Sama seperti kondom lateks, ia dapat mencegah kehamilan dan jangkitan seksual. Kondom jenis ini juga lebih nipis, tahan daya, kurang ketat dan lebih baik menyebarkan haba berbanding lateks. Pun begitu, poliuretana kurang elastik berbanding lateks. Oleh itu, kondom ini lebih mudah terkoyak atau terlepas.

Anda juga boleh cuba menggunakan kondom kulit biri-biri. Ia dapat mencegah kehamilan sebagaimana kondom lain namun mungkin kurang berkesan mencegah penyakit kelamin kerana rongga mikroskopiknya. Oleh itu, adalah idea yang baik untuk hanya menggunakan ini jika tiada risiko jangkitan kelamin daripada pasangan anda.

Bergantung kepada simptom anda, doktor anda mungkin memberikan ubat kepada anda. Tindak balas yang lewat dan lebih ringan boleh dirawat dengan krim atau ubat steroid. Sekiranya anda adalah salah seorang yang mempunyai alahan serius dan boleh mengalami kejutan anafilaktik, doktor anda akan menetapkan suntikan epinefrin.

Apakah kemungkinan lain selain alahan lateks?

Banyak perkara lain yang boleh menyebabkan simptom sama dengan alahan lateks. Sabun wangi boleh merengsakan bahagian kelamin anda. Anda juga mungkin alah kepada unsur-unsur lain dalam kondom anda selain lateks – seperti spermisida. Jika anda menyedari simptom alahan yang tidak berbahaya, cuba tukar jenis kondom anda dan berhenti menggunakan sabun berbau. Jika keadaan tidak bertambah baik, bincang dengan doktor anda.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.bustle.com/articles/72883-how-do-you-know-if-youre-allergic-to-latex-condoms-heres-what-you-need-to-know

Versi Terbaru

28/02/2020

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Tak Tahan Badan Gatal-gatal? Jangan Selalu Ambil Ubat Antihistamin, Ada Kesan Sampingannya!

Tak Boleh Makan Ubat Antibiotik Kalau Ada Alergi Sulfa? Kenali Alahan Jenis Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 28/02/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan