backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Masih Kurang Faham Mengenai Penyakit Kanser? Dalam Artikel Ini Ada Penjelasannya..

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 19/10/2022

Masih Kurang Faham Mengenai Penyakit Kanser? Dalam Artikel Ini Ada Penjelasannya..

Sakit kanser ataupun barah merupakan sejenis penyakit yang boleh bermula pada mana-mana bahagian dalam tubuh badan manusia. Ia terjadi apabila sel normal dalam badan bertukar menjadi kanser, ia akan membesar dan merebak tanpa kawalan.

Di Malaysia, penyakit kanser merupakan salah satu punca kematian terbesar dengan hampir 40 000 kes baru setiap tahun. Berdasarkan Data Registri Kanser Kebangsaan 2011, 1 daripada 4 rakyat Malaysia berisiko untuk menghidap penyakit kanser.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

Penyakit kanser di Malaysia

Kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia ialah:

  1.       Kanser payudara (17.7%)
  2.       Kanser kolorektal (13.2%)
  3.       Kanser paru-paru (10.2%)
  4.       Limfoma (5.2%)
  5.       Kanser pangkal hidung (nasopharyngeal cancer) (4.9%)
  6.       Leukemia (4.4%)
  7.       Kanser serviks (4.2%)
  8.       Kanser hati (4.2%)
  9.       Kanser ovari (4.0%)
  10.       Kanser perut (3.4%)

Sakit kanser boleh dirawat dan boleh dielakkan. Malah, ramai pesakit barah yang boleh hidup dengan normal setelah menerima rawatan kanser.

sakit kanser

1. Penyakit kanser payudara

Kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia terutama sekali dalam golongan wanita. 

Di Malaysia, wanita berbangsa Cina mempunyai risiko yang paling besar untuk menghidap kanser payudara, diikuti dengan wanita berbangsa India dan kemudiannya wanita Melayu.

2. Sakit kanser kolorektal

Kanser kolorektal ataupun penyakit barah usus besar merupakan kanser kedua yang paling lazim dalam kalangan lelaki dan ketiga di kalangan wanita di Malaysia.

Di Malaysia, kebanyakan pesakit yang didiagnos dengan kanser kolorektal selalunya sudah berada pada tahap yang serius.

Kanser usus besar selalunya berlaku dalam kalangan individu yang sudah berusia. Namun, itu tidak bermakna kanser ini tidak menyerang golongan muda.

3. Sakit kanser serviks

Semua wanita berisiko untuk mendapat penyakit kanser serviks, terutamanya wanita yang berumur lebih daripada 30 tahun.

Punca utama kanser serviks ialah jangkitan jangka masa panjang oleh sejenis virus yang dinamakan human papillomavirus (HPV).

Kanser serviks boleh terjadi sekurang-kurangnya 10 tahun selepas individu tersebut dijangkiti oleh HPV.  Namun, bukan semua wanita akan mendapat kanser serviks setelah dijangkiti HPV. 

4. Penyakit kanser paru-paru

Kanser paru-paru merupakan barah dengan jumlah kematian yang paling ramai, merangkumi 25% daripada jumlah kematian keseluruhan penyakit kanser.

Kanser paru-paru selalunya berlaku di kalangan individu yang sudah berusia. Kebanyakan individu yang didiagnos dengan kanser paru-paru berumur 65 tahun ke atas.

Merokok merupakan faktor risiko nombor satu untuk penyakit barah paru-paru. Perokok mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap kanser selagi mereka tidak meninggalkan tabiat ini.

Baca juga:

https://wp.hellodoktor.com/kanser/jenis-kanser/

5. Penyakit kanser perut  

Penyakit kanser perut berlaku apabila sel barahterbentuk pada kawasan dalam lapisan perut. 

Sel ini kemudiannya akan membesar menjadi tumor secara perlahan-lahan dalam tempoh masa beberapa tahun.

Saintis masih lagi menyiasat punca sebenar kanser perut. Namun, pakar sudah mengenal pasti satu faktor risiko yang penting iaitu jangkitan bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan ulser dalam perut.

Kanser perut juga banyak berlaku di kalangan rakyat di negara Jepun akibat tabiat mereka yang gemar ambil makanan yang dijeruk ataupun disalai.

6. Penyakit kanser prostat 

Kanser prostat merupakan sejenis kanser yang lazim dalam kalangan lelaki.

Penyakit kanser prostat mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi jika sel barah tersebut dikesan ketika ia masih lagi berada dalam kelenjar prostat.

7. Sakit kanser hati

Hati merupakan organ yang paling besar dalam tubuh manusia. Tanpa hati, manusia tidak boleh hidup. Di Malaysia, kanser hati merangkumi hampir 4.2% kematian akibat kanser ini. 

Simptom lazim penyakit kanser

Kebanyakan kanser merebak tanpa sebarang simptom yang ketara. Walau bagaimanapun, penting untuk setiap individu mengenali simptom lazim yang disebabkan oleh kanser.

Namun, bukan semua simptom di bawah disebabkan oleh kanser. Jika anda mengalami simptom berikut, segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

1. Mengalami perubahan dalam pola pembuangan air besar

Individu yang mengalami masalah ketika membuang air besar ataupun kerap mengalami cirit birit mungkin mengalami kanser kolorektal. Simptom lain termasuklah najis berdarah dan kerap alami rasa tidak selesa pada bahagian perut.

2. Luka yang tidak sembuh

Jika anda mengalami luka yang tidak sembuh dan kerap berdarah, itu mungkin tanda anda sedang mengalami kanser kulit. 

Jika anda seorang perokok tegar, kemudian mengalami luka pada kawasan mulut yang tidak pernah sembuh maka ia antara simptom kanser oral.

sakit kanser

Sakit kanser #3. Pendarahan yang luar biasa

Pendarahan yang luar biasa, lebih-lebih lagi pada kawasan vagina merupakan salah satu tanda kanser serviks

Tanda ini selalunya disertai oleh pengeluaran cecair berwarna putih, jernih atau coklat yang berbau busuk. Kadang-kadang, cecair tersebut boleh mengandungi darah.

4. Ketulan pada bahagian payudara

Ketulan pada bahagian payudara merupakan salah satu simptom kanser payudara yang diketahui umum. Walaupun ketulan pada bahagian payudara mungkin tidak berkaitan dengan kanser, wanita yang mengalami masalah ini digalakkan untuk berjumpa doktor untuk sesi konsultasi.

5. Masalah pencernaan ataupun sukar untuk menelan makanan

Masalah sukar untuk menelan makanan ataupun dipanggil sebagai dysphagia merupakan salah satu simptom kanser esofagus. Masalah pencernaan pula boleh menjadi salah satu simptom kanser pankreas yang menyebabkan pesakit kerap rasa sakit pada kawasan dada.

6. Perubahan ketara pada kawasan kulit atau tahi lalat

Apa-apa perubahan pada tahi lalat ataupun mana-mana bahagian kulit dari segi warna, saiz atau bentuk perlu segera dirujuk kepada doktor. Perubahan ini merupakan salah satu simptom lazim penyakit kanser kulit.

Sakit kanser #7. Batuk yang berpanjangan dan suara menjadi garau

Batuk yang berpanjangan atau tidak pernah hilang merupakan antara simptom penyakit kanser paru-paru yang kerap diendahkan oleh pesakit. Perubahan dari segi suara seperti suara menjadi garau pula boleh berlaku pada individu yang menghidap kanser tekak. 

Baca juga:

https://wp.hellodoktor.com/kanser/proses-kemoterapi/

Punca penyakit kanser

Penyakit kanser atau barah boleh berpunca daripada mutasi genetik, gaya hidup, faktor persekitaran dan jangkitan beberapa jenis virus ataupun mikroorganisma tertentu.

1. Mutasi genetik

Mutasi genetik yang diwarisi memainkan peranan penting dalam hampir semua kanser. Mutasi yang spesifik dalam DNA manusia dikesan mempunyai kaitan dengan hampir 50 jenis kanser.

Sebagai contoh, mutasi inilah yang menyebabkan individu yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menghidap kanser.

2. Faktor persekitaran

Bukan semua bahan kimia boleh menyebabkan kanser. Namun, sebahagian besar daripada bahan ini boleh membawa mudarat kepada tubuh badan manusia. Sebagai contoh, individu yang terlalu lama terdedah kepada pancaran cahaya matahari ataupun gas radon boleh menghidap kanser.

Selain itu, pesakit yang menerima rawatan terapi radiasi untuk merawat kanser berisiko untuk mendapat kanser lain pula sebagai kesan sampingan rawatan tersebut.

Sakit kanser #3. Faktor gaya hidup

Cara yang paling mudah untuk tidak menjadi mangsa penyakit ini ialah dengan mengamalkan amalan gaya hidup yang sihat.

Individu yang mengamalkan tabiat merokok, ambil makanan ringan, minum alkohol dan pada masa yang sama menjalani gaya hidup yang tidak aktif lebih berisiko untuk menghidap kanser.  

sakit kanser

4. Jangkitan virus atau mikroorganisma punca sakit kanser

Hampir 15% penyakit kanser berpunca daripada virus ataupun mikroorganisma.

Sebagai contoh, Burkitt’s lymphoma berpunca daripada virus Epstein-Barr, kanser serviks pula berpunca daripada human papillomavirus dan kanser hati berpunca daripada virus hepatitis B dan C.

Bila anda perlu berjumpa dengan doktor

Penyakit kanser mempunyai peratusan yang tinggi untuk dirawat jika ia dikesan ketika masih dalam peringkat yang awal.

Sekiranya anda mempunyai simptom kanser seperti yang digariskan di atas, anda perlu berjumpa doktor serta merta lebih-lebih lagi jika simptom tersebut berlarutan hingga lebih daripada 2 minggu.

Walau bagaimanapun, bukan semua simptom tersebut merupakan tanda anda mengalami sakit kanser. Namun, lebih baik untuk anda mengambil langkah berjaga-jaga sebelum nasi menjadi bubur.

#OpenYourMind #CelikKanser

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 19/10/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan