Perkataan kemoterapi seolah-olah merupakan satu pengakhiran bagi seseorang yang menghidap kanser. Mungkin disebabkan pengaruh daripada bacaan dan apa yang sering ditunjukkan di dalam drama di televisyen.
Itu mungkin apa yang berlaku 10 tahun lalu. Kini, rawatan kemoterapi sudah semakin baik bagi banyak jenis kanser termasuk kanser paru-paru dan kanser payudara.
Keresahan yang dialami pesakit
Menjalani kemoterapi bukanlah satu perkara yang mudah. Diagnosis kanser itu sendiri pun sudah cukup berat untuk dihadapi, ditambah pula dengan rawatan kemoterapi yang harus dilalui.
Emosi orang yang sakit adalah berbeza, terutamanya bagi penyakit serius seperti kanser. Mereka melihat kehidupan ini daripada dimensi yang berbeza. Lebih banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan. Contohnya, apabila ingin memilih pekerjaan, berapa lama boleh terus bekerja dengan kompeten? Bolehkah berkahwin dan bahagia?
Keadaan kesihatan mereka memberikan rasa tidak tenang dan resah. Kesannya, tidur menjadi susah dan tidak nyenyak, hilang selera makan atau mudah marah. Ditambah pula dengan kesan-kesan fizikal seperti sesak nafas, pening kepala, berpeluh atau batuk-batuk.
[embed-health-tool-bmi]
Bagaimana ingin menghadapinya?
Apa pun keadaan kesihatan yang anda alami, ia harus diterima dengan sepenuh hati. Walaupun susah, ini adalah langkah pertama yang paling penting. Jika fasa ini berjaya dilepasi, langkah-langkah berikutnya akan menjadi lebih mudah.
Asas yang penting dalam menghadapi keadaan ini adalah pengetahuan tentangnya secara komprehensif dan menyeluruh. Tiada maklumat yang harus disembunyikan, baik daripada doktor mahupun pesakit. Perbincangan antara doktor dan pesakit adalah penting untuk menjelaskan tentang penyakit, rawatan dan peluang untuk sembuh. Ini akan memberikan gambaran sebenar, seterusnya membantu merancang pelan tindakan terbaik.
Faktor lain yang tidak boleh dikesampingkan juga adalah sokongan daripada orang sekeliling. Keluarga, jiran dan rakan-rakan berperanan besar dalam menyuntik semangat ke dalam diri pesakit. Medan perkongsian dan luahan perasaan perlu diwujudkan. Semangat dan tip turut boleh dikongsi dalam kalangan pesakit.
Akhir sekali, hadapinya dengan berani. Jangan pandang rendah terhadap kekuatan yang ada pada minda anda. Ramai pesakit yang mampu hidup lebih lama kerana mempunyai minda yang positif serta motivasi yang tinggi. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Yakinlah!