backup og meta

Kanser dan Faktor Genetik: Perlukah Anda Menjalani Ujian Genetik?

Kanser merupakan salah satu penyakit yang sering dikaitkan dengan faktor genetik. Tetapi, perlukah kita ambil ujian genetik kanser untuk mengenal pasti sekiranya kita mempunyai sel kanser?

Kanser dan Faktor Genetik: Perlukah Anda Menjalani Ujian Genetik?

Walaupun kebanyakan kes kanser berpunca daripada gaya hidup dan persekitaran, terdapat juga individu yang mempunyai kecenderungan genetik yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini. 

Dalam kes tertentu, ujian genetik boleh membantu dalam mengenal pasti risiko kanser lebih awal, membolehkan individu mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya. 

Namun, tidak semua orang perlu menjalani ujian genetik kanser. Jadi, bilakah ujian ini perlu dilakukan?

Sel kanser dan peranan faktor genetik

Sel kanser
Faktor genetik boleh meningkatkan risiko beberapa jenis kanser.

Faktor genetik memainkan peranan penting dalam beberapa jenis kanser seperti kanser payudara, kanser ovari, kanser prostat dan kanser kolorektal. 

Mutasi gen kanser tertentu boleh meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap barah. Contohnya:

  • BRCA1 dan BRCA2 – Mutasi dalam gen ini dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara dan ovari.
  • MLH1, MSH2, MSH6, PMS2 – Mutasi dalam gen ini berkait dengan sindrom Lynch, yang meningkatkan risiko kanser kolorektal.
  • TP53 – Mutasi dalam gen ini dikaitkan dengan sindrom Li-Fraumeni, yang meningkatkan risiko pelbagai jenis kanser.

Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan kanser tertentu mungkin mempunyai mutasi genetik yang diwarisi, sekali gus menjadikan mereka lebih berisiko.

Siapa yang perlu menjalani ujian genetik kanser?

Ujian genetik tidak diperlukan untuk semua orang. Ia lebih relevan bagi individu yang mempunyai faktor-faktor berikut:

  1. Sejarah keluarga dengan kanser – Jika terdapat lebih daripada seorang ahli keluarga terdekat yang menghidap kanser yang sama atau berkaitan (seperti kanser payudara dan ovari), risiko genetik mungkin lebih tinggi.
  2. Kanser pada usia muda – Jika seseorang didiagnosis dengan kanser sebelum usia 50 tahun, ini mungkin menandakan kecenderungan genetik.
  3. Pelbagai jenis kanser dalam satu individu – Jika seseorang pernah menghidap lebih daripada satu jenis kanser, ini boleh menjadi tanda mutasi genetik sel kanser.
  4. Kanser yang diwarisi secara dominan – Jika kanser sering berlaku dalam beberapa generasi dalam keluarga, ini menunjukkan kemungkinan besar faktor genetik terlibat.

Etnik tertentu – Sesetengah etnik, seperti keturunan Ashkenazi Jewish, mempunyai kadar mutasi BRCA yang lebih tinggi berbanding populasi lain.

Bagaimana ujian genetik sel kanser dilakukan?

Sel kanser
Sampel darah, air liur atau tisu akan diambil sebelum melakukan ujian.

Ujian genetik biasanya dilakukan dengan mengambil sampel darah, air liur atau tisu daripada individu yang diuji. 

Sampel ini akan dianalisis untuk mengesan mutasi gen tertentu yang diketahui meningkatkan faktor risiko kanser. Proses ini melibatkan:

  • Kaunseling genetik sebelum ujian – Doktor atau pakar genetik akan menerangkan manfaat, risiko dan implikasi ujian.
  • Pengambilan sampel – Biasanya dilakukan melalui darah atau air liur.
  • Analisis makmal – Sampel sel kanser akan dianalisis untuk melihat sama ada terdapat mutasi gen yang boleh meningkatkan risiko.
  • Kaunseling selepas ujian – Jika keputusan menunjukkan mutasi gen berisiko, pakar genetik akan memberikan maklumat mengenai langkah pencegahan dan rawatan yang sesuai.

Kelebihan melakukan ujian genetik


  • Pengesanan awal risiko kanser – Membantu individu mengambil langkah pencegahan lebih awal.
  • Perancangan rawatan yang lebih baik – Bagi mereka yang sudah didiagnosis dengan kanser, ujian ini boleh membantu menentukan rawatan terbaik.
  • Maklumat berguna untuk keluarga – Ahli keluarga lain juga boleh mengambil ujian untuk mengetahui risiko mereka.

Langkah pencegahan jika keputusan positif

Sel kanser
Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko kanser.

Jika ujian genetik menunjukkan mutasi yang meningkatkan faktor risiko kanser, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil:

  • Pemeriksaan berkala lebih kerap – Contohnya, wanita dengan mutasi BRCA mungkin disarankan untuk menjalani mamogram dan MRI payudara dengan lebih kerap.
  • Pencegahan melalui perubahan gaya hidup – Mengamalkan pemakanan sihat, bersenam secara berkala, dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok dan alkohol.
  • Ubat pencegahan – Dalam beberapa kes, doktor boleh mengesyorkan ubat tertentu untuk mengurangkan risiko kanser.
  • Pembedahan pencegahan – Sesetengah individu memilih untuk menjalani pembedahan seperti mastektomi profilaktik (pembuangan payudara) atau ooforektomi (pembuangan ovari) untuk mengurangkan risiko kanser yang tinggi.

Kesimpulan

Ujian genetik untuk kanser adalah alat penting dalam mengenal pasti individu yang berisiko tinggi. 

Walaupun tidak semua orang perlu menjalani ujian ini, mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang kuat atau faktor risiko lain patut mempertimbangkannya. 

Walau bagaimanapun, keputusan ujian genetik sel kanser perlu dibincangkan dengan doktor atau pakar genetik bagi memastikan langkah yang diambil sesuai dengan keadaan kesihatan individu. 

Pencegahan awal dan pemeriksaan berkala masih merupakan kunci utama dalam mengurangkan risiko kanser dan meningkatkan kualiti hidup.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Genetic Testing for Cancer Risk. https://www.cancer.org/cancer/risk-prevention/genetic-testing.html. Diakses pada Februari 5, 2025.

Hereditary Cancer Syndromes. https://www.cdc.gov/genomics/disease/cancer.htm. Diakses pada Februari 5, 2025.

Genetic Testing and Counseling. https://www.nccn.org/guidelines/guidelines-detail?category=3&id=1430. Diakses pada Februari 5, 2025.

Inherited Cancer Risk and Genetic Testing. https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/genetics/genetic-testing-fact-sheet. Diakses pada Februari 5, 2025.

Genetic Risk and Cancer. https://www.genome.gov/genetics-glossary/Genetic-Risk. Diakses pada Februari 5, 2025.

Versi Terbaru

21/09/2026

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Kaedah Digital Kesan Kanser Payudara Pertama Di Malaysia, Ikuti Huraian Pakar!

Jangan Ambil Ringan, Wanita Perlu Buat Ujian Kanser Serviks Untuk Kesan Awal!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 6 jam lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan