backup og meta

Usah Bertangguh! Ini Manfaat Jika Dapat Kesan Awal Kanser

Usah Bertangguh! Ini Manfaat Jika Dapat Kesan Awal Kanser

Tahukah anda, mengapa pengesanan awal penyakit kanser merupakan sesuatu yang amat penting? Ini sebabnya kita disarankan kesan awal kanser, lebih-lebih lagi buat yang berisiko tinggi. Jom teruskan membaca!

Mengapa perlu kesan awal kanser?

Kanser merupakan penyakit yang mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia. Menurut statistik, penyakit ini telah meragut hampir 19.3 juta nyawa dan 50% daripadanya (9.5 juta) berasal dari benua Asia.

Di negara kita, kanser yang paling lazim ialah kanser payudara, kanser paru-paru, kanser kolorektal, kanser hati dan kanser hidung.

Kebanyakan kanser ini dikesan pada saat akhir, sewaktu simptom yang dialami pesakit sudahpun berada di tahap yang kritikal.

Tidak dinafikan, penyakit kanser merupakan sesuatu yang menakutkan dan sering dikaitkan dengan kematian. 

Walaupun begitu, menurut statistik yang sama, hampir 5 juta pesakit kanser boleh hidup lebih lama dengan mendapatkan rawatan yang lebih berkesan jika kanser mereka dikesan awal.

Malah, individu yang menjalani ujian saringan dan didiagnosis dengan lebih awal selalunya mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk sembuh.

Mereka juga tidak perlu melalui rawatan yang ekstensif. Dalam masa yang sama, kos rawatan kanser juga dapat dikurangkan.

Disebabkan kemajuan dalam bidang perubatan terutamanya dalam kesan awal kanser, kadar kemandirian saban tahun semakin meningkat. Malah, melalui ujian saringan, sebarang abnormaliti yang dikesan lebih mudah untuk diubati.

Pada waktu ini, kesedaran mengenai kepentingan ujian saringan kanser masih lagi rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sempena Hari Kanser Sedunia, mari ketahui dengan lebih lanjut mengenai kepentingan kesan awal kanser dan bagaimana ia dapat membantu meningkatkan kadar kemandirian pesakit kanser. 

Kesan awal kanser melalui ujian saringan

kesan awal kanser

Tahukah anda, kebanyakan kanser mula menunjukkan simptom hanya pada saat akhir? Ketika ini, kanser tersebut mungkin sudah merebak dan sukar untuk dirawat.

Oleh sebab itu, individu dengan faktor risiko tertentu perlu melakukan ujian saringan untuk mengesan kanser.

Ujian ini dapat membantu doktor untuk mengesan sel yang abnormal dalam badan pesakit ketika ia masih belum merebak dan sukar untuk dirawat.

Antara faktor risiko yang perlu diperhatikan adalah:

  1. Sejarah keluarga. Penting untuk anda mengetahui sejarah penyakit kanser dalam kalangan keluarga. Jika anda mempunyai ahli keluarga yang didiagnosis dengan kanser, anda perlulah melakukan ujian saringan sekurang-kurangnya setahun sekali sebelum terlambat.  
  2. Gaya hidup dan kondisi kesihatan. Terdapat beberapa faktor seperti umur, jantina, masalah kesihatan tertentu, atau gaya hidup yang boleh meningkatkan risiko kanser.

Sebagai contoh, wanita yang berusia 45-54 tahun digalakkan untuk melakukan mamogram setiap tahun, manakala wanita yang berusia 55 tahun ke atas boleh melakukannya 2 tahun sekali.

Selain itu, wanita juga boleh mendapatkan ujian pap smear untuk kanser serviks di antara usia 21 hingga 65 tahun setiap 3-5 tahun.

Individu yang mempunyai risiko kanser paru-paru, terutamanya mereka yang merokok atau sudah berhenti merokok juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan.

[embed-health-tool-bmi]

Kebaikan jika dapat kesan awal kanser

Tidak dinafikan, pengesanan awal kanser dapat meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup. Namun, ada banyak lagi kebaikan lain seperti:

1. Dapat mengurangkan kos rawatan kanser

Menurut WHO, dengan kesan awal kanser dapat membantu pesakit untuk mendapatkan rawatan yang efektif dengan kos yang lebih rendah.

Bukan itu sahaja, pesakit kanser yang dikesan awal mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk sembuh dan boleh menjalani hidup seperti biasa pada masa akan datang.

2. Meningkatkan kadar kemandirian

kesan awal kanser

Kanser merupakan punca utama kematian di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, jumlah ini boleh dikurangkan jika lebih ramai melakukan ujian saringan dan mendapat pengesanan awal. 

Di India, sebuah kajian telah dijalankan dalam kalangan wanita yang menghidap kanser serviks.

78% wanita yang didiagnosis ketika tahap 1 mempunyai jangka hayat yang panjang dan melebihi 5 tahun, berbanding hanya 9% jika didiagnosis pada tahap 4.

Tujuan utama ujian saringan adalah untuk mengesan kanser dalam kalangan pesakit seawal mungkin supaya mereka boleh mendapatkan rawatan yang berkesan.

Apabila rawatan dilewatkan, kebarangkalian untuk pesakit tersebut terus hidup akan berkurangan. Malah, kos rawatan juga akan meningkat disebabkan rawatan yang lebih kompleks.

3. Dapat memperbaiki kualiti hidup pesakit

Pesakit kanser yang mendapat pengesanan awal bukan sahaja mempunyai kadar kemandirian yang lebih tinggi, mereka juga mempunyai kualiti hidup yang lebih baik berbanding pesakit yang didiagnosis pada tahap yang lebih tinggi.

Mereka juga kurang mengalami komplikasi dan tekanan perasaan ketika melalui rawatan kanser. Ini secara tidak langsung dapat memperbaiki kualiti hidup pesakit tersebut.  

Kesimpulan

kesan awal kanser

Walaupun kanser merupakan sesuatu yang menakutkan, namun ada beberapa jenis kanser yang boleh sembuh sepenuhnya disebabkan kemajuan dalam teknologi perubatan kini.

Kajian juga menunjukkan kadar kematian dalam kalangan pesakit kanser berkurangan disebabkan kemajuan dalam rawatan kanser, termasuklah penggunaan teknologi, peralatan dan juga ujian yang lebih maju.

Jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser, atau mempunyai faktor risiko yang meningkatkan risiko penyakit ini, berhubunglah dengan doktor secepat mungkin untuk sesi konsultasi. 

#OpenYourMind #CelikKanser

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Cancer Screening Overview. https://www.cancer.gov/about-cancer/screening/patient-screening-overview-pdq. Accessed December 22, 2021.
  2. Cancer – Symptoms and causes. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cancer/symptoms-causes/syc-20370588. Accessed December 22, 2021.
  3. Promoting Cancer Early Diagnosis. https://www.who.int/activities/promoting-cancer-early-diagnosis. Accessed December 22, 2021.
  4. Understanding Perceived Benefit of Early Cancer Detection: Community-Partnered Research with African American Women in South Los Angeles. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4589099/. Accessed December 22, 2021.
  5. Why is early diagnosis important? https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/cancer-symptoms/why-is-early-diagnosis-important. Accessed December 22, 2021.

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

AWAS! Ini 9 Faktor Risiko Kanser Ovari, Salah Satunya Tidak Datang Haid!

Bukan Semua Tanda Kanser Kulit Sama! Kenali Gejala Untuk 5 Jenis Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan