backup og meta

Cara Untuk Mencegah Kanser Serviks, Salah Satunya Pakai Kondom!

Cara Untuk Mencegah Kanser Serviks, Salah Satunya Pakai Kondom!

Kanser serviks merupakan kanser yang senyap tetapi berbahaya. Walaupun kanser ini tidak diketahui puncanya, ada beberapa cara mencegah kanser serviks. Kebanyakan perubahan ini mungkin perlu dilakukan dari segi gaya hidup. 

Setiap tahun, lebih daripada 1000 orang wanita di Amerika Syarikat didiagnos dengan kanser serviks. Malah, ada di antara wanita ini yang tidak dapat dirawat kerana telah menghidap kanser pada tahap yang terakhir ketika didiagnos.

Di Malaysia, dianggarkan 18 daripada 100,000 wanita menghidap kanser serviks. Hampir 7.9% daripada kes kanser di hospital adalah disebabkan oleh kanser serviks. 

Selain itu, kematian untuk kanser serviks di Malaysia mencatatkan peratusan sebanyak hampir 10.5%, yang bermakna 1 daripada 10 pesakit kanser di Malaysia meninggal dunia akibat kanser serviks.

Kanser serviks selalunya disebabkan oleh jangkitan human papillomavirus (HPV). Jangkitan HPV merupakan penyakit kelamin yang lazim berlaku – hampir 97% wanita yang mempunyai kanser serviks dikesan mengalami jangkitan HPV.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Serviks, sila dapatkannya di sini.

Di Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga yang kerap menyerang kaum Hawa selepas kanser payudara dan kanser kolorektal.

Kanser serviks boleh dielakkan dengan cara melakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup dan melakukan pemeriksaan atau ujian saringan secara berkala.

Perubahan gaya hidup, cara mencegah kanser serviks

Jika anda ingin mengurangkan risiko kanser serviks, anda boleh lakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup seperti:

1. Guna kondom ketika melakukan hubungan seks bagi mencegah kanser pangkal rahim

Penggunaan kondom ketika seks akan memberikan anda sedikit perlindungan daripada virus HPV semasa melakukan hubungan badan. 

Namun, HPV tidak dapat dielakkan sepenuhnya dengan penggunaan kondom kerana virus ini boleh menjangkiti satu sama lain melalui sentuhan kulit ke kulit.

Oleh itu, virus ini boleh merebak melalui satu individu ke individu yang lain tanpa sebarang hubungan seksual.

Walau bagaimanapun, penggunaan kondom masih lagi relevan kerana ia masih memberikan perlindungan kepada anda walaupun sedikit. Dalam masa yang sama, kondom juga dapat menghalang jangkitan penyakit kelamin.

2. Elakkan mempunyai pasangan seksual lebih daripada seorang

Melakukan hubungan seksual bersama dua atau lebih pasangan seksual boleh meningkatkan risiko anda untuk dijangkiti HPV.

Jangkitan HPV merupakan salah satu faktor yang dikenal pasti dapat menyebabkan kanser serviks dalam kalangan wanita. 

Wanita yang melakukan seks dengan ramai lelaki mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk terkena jangkitan ini berbanding wanita yang setia dengan satu pasangan.

Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai satu pasangan juga boleh terkena jangkitan jika pasangannya itu telah dijangkiti virus HPV

Namun, jangkitan HPV ini merupakan sesuatu yang amat lazim berlaku. Jadi, sukar untuk anda tidak terdedah dengan virus ini. 

Kebanyakan wanita tidak menyedari mereka telah dijangkiti virus HPV. Oleh itu, ujian saringan amat penting sebagai salah satu langkah pencegahan awal iaitu cara mencegah kanser serviks.

3. Berhenti merokok, antara cara mencegah kanser serviks

Racun dalam asap rokok boleh melemahkan sistem imun badan. Oleh itu, apabila anda diserang penyakit, sukar untuk badan anda bertindak menghalang jangkitan tersebut daripada terus merebak.

Salah satu cara yang berkesan untuk mencegah kanser serviks ialah dengan berhenti merokok.

Amalan merokok bukan sahaja meningkatkan risiko anda untuk menghidap kanser serviks, malah ia juga boleh menyebabkan anda terkena kanser lain seperti kanser paru-paru, kanser esofagus, kanser mulut dan tekak dan juga kanser pankreas.

Individu yang berhenti merokok sebelum umur 40 tahun akan mengalami penurunan risiko untuk meninggal disebabkan penyakit yang berkaitan dengan rokok sebanyak 90%.  

Vaksinasi HPV antara cara mencegah kanser serviks atau kanser pangkal rahim

Suntikan vaksin HPV.
Suntikan vaksin HPV.

Anda boleh mendapatkan vaksinasi untuk HPV di klinik LPPKN yang terdekat. Vaksin ini memberikan perlindungan terhadap jangkitan HPV yang boleh menyebabkan kanser serviks.

Walau bagaimanapun, vaksinasi ini hanya berfungsi untuk menghalang jangkitan dalam kalangan wanita yang tidak pernah dijangkiti virus HPV sahaja. Tapi, vaksin ini tidak akan merawat jangkitan yang sedia ada. 

Oleh itu, vaksin ini paling efektif diberikan ketika wanita yang masih belum melakukan sebarang aktiviti seksual.

Vaksin ini biasanya diberikan secara percuma kepada kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun oleh kementerian kesihatan. Namun, wanita di luar usia ini yang ingin mendapatkannya boleh datang ke klinik swasta bagi berbincang dengan doktor. Vaksin ini boleh diambil sehingga usia 45 tahun sebagai cara mencegah kanser serviks.

Walaupun vaksinasi dapat menurunkan risiko anda menghidap kanser serviks, ia tidak dapat menghalang penyakit ini daripada berlaku secara sepenuhnya.

Penting untuk anda melakukan ujian saringan secara rutin bagi mengesan kanser yang mungkin berlaku kepada anda.

[embed-health-tool-due-date]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Cancer Society. 2018. Benefits of Quitting Smoking Over Time. November 1. Accessed September 3, 2020. https://www.cancer.org/healthy/stay-away-from-tobacco/benefits-of-quitting-smoking-over-time.html.
  2. —. 2020. Can Cervical Cancer Be Prevented? July 30. Accessed September 3, 2020. https://www.cancer.org/cancer/cervical-cancer/causes-risks-prevention/prevention.html.
  3. CDC. 2020. Smoking & Tobacco Use. April 28. Accessed September 3, 2020. https://www.cdc.gov/tobacco/basic_information/health_effects/cancer/.
  4. Go Ask Alice! n.d. Multiple sex partners = Greater risk of cervical cancer? Accessed September 3, 2020. https://goaskalice.columbia.edu/answered-questions/multiple-sex-partners-greater-risk-cervical-cancer-0.
  5. LPPKN. n.d. PROGRAM VAKSINASI HPV. Accessed September 3, 2020. https://www.lppkn.gov.my/index.php/perkhidmatan-kesihatan-reproduktif/99-pvhpv-human-papilloma-virus.html.
  6. Mayo Clinic. 2020. HPV test. May 22. Accessed September 3, 2020. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/hpv-test/about/pac-20394355#:~:text=The%20HPV%20test%20is%20a,increase%20your%20cervical%20cancer%20risk.
  7. —. 2020. Pap smear. June 25. Accessed September 3, 2020. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/pap-smear/about/pac-20394841#:~:text=A%20Pap%20smear%2C%20also%20called,greater%20chance%20at%20a%20cure.
  8. NHS. 2018. Prevention. May 11. Accessed September 3, 2020. https://www.nhs.uk/conditions/cervical-cancer/prevention/.http://www.myhealth.gov.my/kanser-serviksss/
  9. MyHEALTH Portal. 2012. Kanser Servik. Accessed September 6, 2020. 
  10. Rush. n.d. 5 Tips for Preventing Cervical Cancer. Accessed September 3, 2020. https://www.rush.edu/health-wellness/discover-health/preventing-cervical-cancer.

 

 

Versi Terbaru

04/02/2025

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Selain Jangkitan HPV, Ini Punca Lain Yang Boleh Menyebabkan Kanser Serviks, Anda Wajib Tahu

Sejauh Mana Kanser Serviks Merebak, Usah Bimbang Ini Rawatan & Terapi Yang Boleh Dilakukan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada seminggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan